Topik diikuti
Pergi ke BHkuMonumen Negara 38 Oxley Rd diperoleh pemerintah S’pura
Monumen Negara 38 Oxley Rd diperoleh pemerintah S’pura
NHB bakal jalankan kajian terperinci, jadikan ruang awam dengan cara hormati hasrat mendiang Lee Kuan Yew
Monumen Negara 38 Oxley Rd diperoleh pemerintah S’pura
Pemerintah telah menyelesaikan proses pemerolehan dan mengambil alih tapak di 38 Oxley Road pada 31 Julai, bagi memeliharanya selaras dengan kepentingan sejarah dan kepentingan negara.
Dalam satu kenyataan media pada 31 Julai, Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Lembaga Warisan Negara (NHB) menyatakan pemerolehan itu dibuat selepas tapak tersebut diwartakan sebagai Monumen Negara pada 12 Disember 2025, yang juga diwartakan untuk pemerolehan pada 29 Januari 2026.
“NHB akan menjalankan kajian terperinci mengenai tapak tersebut dan pilihan untuk membangunkannya menjadi ruang awam dengan cara yang menghormati hasrat mantan Perdana Menteri Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew, terhadap privasi,” kata kenyataan itu.
Dalam tempoh sementara itu, kerja penyelenggaraan yang perlu akan dijalankan mengikut keperluan dan orang awam tidak diberi akses ke tapak tersebut.
Tapak tersebut merangkumi sebuah banglo sebelum perang, yang merupakan kediaman keluarga mendiang Encik Lee.
Ia juga merupakan kediamannya dari pertengahan 1940-an sehingga beliau meninggal dunia pada 2015.
Ia juga tempat di mana perbincangan utama antara pemimpin pengasas Singapura telah berlangsung satu ketika dahulu.
Ruang makan di aras bawah tanah kediaman itu dianggap ruang paling bersejarah kerana tokoh politik PAP pada 1950-an, antaranya mantan Timbalan Perdana Menteri, mendiang Dr Goh Keng Swee – yang dianggap perunding utama perpisahan Singapura dan Malaysia pada Ogos 1965 – berbincang mengenai masa depan Singapura di ruang itu.
Pada 3 November 2025, apabila pemerintah mengumumkan niatnya untuk memartabatkan tapak tersebut sebagai monumen, ia juga menyatakan niatnya untuk mengambil alih tapak berkenaan bagi melindungi dan memeliharanya.
Pemilik terakhir tapak tersebut ialah anak bongsu mendiang Encik Lee, Encik Lee Hsien Yang, iaitu adik lelaki kepada Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Rumah keluarga tersebut telah menjadi topik pertikaian berpanjangan antara adik-beradik Lee.
Encik Lee Hsien Yang dan mendiang kakaknya, Dr Lee Wei Ling, mendakwa Encik Lee Hsien Loong mahu banglo satu tingkat itu dipelihara demi keuntungan politiknya, yang bertentangan dengan hasrat ayah mereka.
Encik Lee telah menafikan tuduhan mereka dalam satu kenyataan menteri di Parlimen, selepas membangkitkan “kebimbangan serius” mengenai “keadaan yang membimbangkan” di sekeliling penyediaan wasiat terakhir mendiang ayah mereka.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 31 Julai, Encik Lee Hsien Yang berkata:
“Pemerolehan secara paksa ke atas rumah beliau ini membelakangkan nilai-nilai beliau dan jelas mengabaikan hasrat yang sekian lama diinginkannya.”
Pada 29 Januari 2026, tapak tersebut telah diwartakan untuk pemerolehan oleh pemerintah.
SLA berkata dalam satu kenyataan ketika itu bahawa tindakan memelihara dan mengambil alih tapak tersebut bermakna ia tidak boleh dibangunkan semula untuk kegunaan kediaman, komersial atau kegunaan persendirian yang lain.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua (Pendidikan), Encik David Neo, telah menyatakan bahawa niat pemerintah adalah untuk membangunkan tapak tersebut menjadi ruang awam selepas pemerolehannya, seperti taman warisan, yang boleh diakses oleh rakyat Singapura.