MTI: S’pura catat defisit perdagangan dengan AS, kadar penghunian ruang industri kekal “sangat sihat”
MTI: S’pura catat defisit perdagangan dengan AS, kadar penghunian ruang industri kekal “sangat sihat”
Singapura mencatat defisit perdagangan dengan Amerika Syarikat, dan kadar penghunian ruang industri kekal “sangat sihat,” menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 12 Mac.
Maklumat ini bertentangan dengan notis oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) yang memulakan siasatan terhadap lebih 16 ekonomi utama, termasuk Singapura, berhubung dakwaan lebihan keupayaan perkilangan.
Lebihan keupayaan kilang bermakna mereka menghasilkan lebih banyak daripada permintaan pasaran. Lebihan ini dieksport pada harga rendah, berpotensi mencetuskan pertikaian perdagangan.
MTI menyatakan bahawa notis agensi Amerika itu menyenaraikan Singapura mencatat lebihan perdagangan dua hala barangan dan perkhidmatan dengan Amerika berjumlah AS$27 bilion ($34.5 bilion) pada 2024.
“Sebaliknya, data Biro Analisis Ekonomi Amerika menunjukkan Singapura mencatat defisit perdagangan dua hala barangan sebanyak AS$1.7 bilion dan defisit perkhidmatan sebanyak AS$25.1 bilion dengan Amerika pada 2024. Ini menjadikan jumlah defisit perdagangan sekitar AS$27 bilion,” jelas MTI.
Notis tersebut juga membayangkan Singapura terus memperluas keupayaan perkilangan meskipun kadar penghunian ruang industri menurun, tambah kementerian itu.
“Hakikatnya, kadar penghunian ruang industri di Singapura kekal teguh sekitar 90 peratus. Tanah adalah terhad, dan kawasan peruntukan untuk perusahaan semakin berkurangan akibat keperluan guna tanah lain,” tambah MTI.
MTI berkata pihaknya telah menyampaikan maklumat ini kepada agensi Amerika berkenaan dan akan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai data perdagangan serta siasatan tersebut.
Perniagaan dan pihak berkepentingan lain dialu-alukan untuk memberi maklum balas kepada MTI di go.gov.sg/contactmti.
Siasatan ini diumumkan oleh Wakil Perdagangan Amerika Encik Jamieson Greer pada 11 Mac. Ia merupakan langkah pertama dalam siri siasatan perdagangan utama yang membuka jalan kepada tarif baru. Ini adalah teras usaha untuk menggantikan levi yang sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Agung Amerika.
Siasatan tersebut penting bagi membolehkan Presiden Amerika Encik Donald Trump bertindak secara sepihak, iaitu tanpa rundingan dengan pihak terlibat, untuk mengenakan duti import dari wilayah tertentu yang dianggap mengamalkan amalan perdagangan tidak adil.
Indonesia, Thailand, Malaysia, Kemboja dan Vietnam turut disiasat, bersama rakan dagang utama Amerika seperti China, Kesatuan Eropah (EU), Mexico, India, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

