Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis keluarkan fatwa bolehkan ujian saringan penyakit genetik serius

Aug 18, 2025 | 8:04 PM
Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar (dua dari kiri) berkata fatwa yang membolehkan pasangan Islam untuk menjalani ujian saringan pembawa bagi penyakit genetik yang serius adalah selari dengan panduan Islam dan agama yang mencegah segala bentuk kemudaratan. Perincian mengenai fatwa itu dikongsi bersama asatizah di Masjid Al-Ansar pada 18 Ogos. Maklumat mengenai fatwa dan aspek medikal dikongsi Penyelidik Fatwa Lab, Ustaz Huzhaifah Mohd Kamal (kiri); (dari kanan) Timbalan Pengarah, Dasar & Pembangunan Agama (Fatwa) Ustazah Raihanah Halid selaku moderator; Perunding, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, Dr Jeannette Goh; dan anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa, Ustazah Dr Sakinah Saptu.
Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar (dua dari kiri) berkata fatwa yang membolehkan pasangan Islam untuk menjalani ujian saringan pembawa bagi penyakit genetik yang serius adalah selari dengan panduan Islam dan agama yang mencegah segala bentuk kemudaratan. Perincian mengenai fatwa itu dikongsi bersama asatizah di Masjid Al-Ansar pada 18 Ogos. Maklumat mengenai fatwa dan aspek medikal dikongsi Penyelidik Fatwa Lab, Ustaz Huzhaifah Mohd Kamal (kiri); (dari kanan) Timbalan Pengarah, Dasar & Pembangunan Agama (Fatwa) Ustazah Raihanah Halid selaku moderator; Perunding, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, Dr Jeannette Goh; dan anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa, Ustazah Dr Sakinah Saptu. - Foto BH oleh KHALID BABA

Jawatankuasa Fatwa kini membolehkan pasangan Islam menjalani ujian saringan pembawa bagi penyakit genetik yang serius.

Ini kerana ia membantu mencegah mudarat, melindungi generasi akan datang, dan membantu pasangan membuat keputusan dalam perancangan keluarga, menurut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 18 Ogos.

Muis menjelaskan bahawa fatwa itu mengambil kira dua pertimbangan utama – agama, serta teologi dan etika.

Fatwa ini dijelaskan dengan lebih lanjut kepada sekitar 112 asatizah dalam satu sesi Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) pada 18 Ogos di Masjid Al-Ansar itu agar mereka dapat membimbing pasangan Islam dengan lebih baik dalam membuat keputusan kesihatan reproduktif selaras dengan prinsip Islam.

Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar berkata, perkembangan teknologi pada hari ini memberikan pasangan pilihan untuk melaksanakan ujian saringan genetik.

“Ujian ini sebenarnya memberikan pasangan keupayaan mengenal pasti sama ada diri mereka berpotensi untuk mewariskan penyakit genetik yang serius kepada zuriat mereka,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Lantas, ia membolehkan pasangan merancang kehidupan masa depan mereka, tambahnya.

“Ia (fatwa itu) selari dengan panduan Islam dan agama yang mencegah segala bentuk kemudaratan.

“Selain itu, terdapat juga panduan agama tentang siapa yang sakit perlu dapatkan rawatan… dengan keyakinan bahawa yang mengurniakan kesembuhan itu ialah Allah,” ujar beliau.

Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar.
Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar. - Foto BH oleh KHALID BABA

Apabila pasangan sudah melalui ujian saringan, Ustaz Izal berkata mereka perlu membuat pilihan yang berpandukan fatwa dan selari dengan panduan agama.

Tambahnya, terdapat beberapa perkara yang Pejabat Mufti, SingHealth dan Hospital KK sedang membincangkan mengenai aspek selepas mendapat keputusan yang kurang senang untuk pasangan.

“Ada beberapa aspek dalam isu ini yang masih lagi memerlukan kajian lanjut.

“Sebagai contoh, pasangan yang telah melalui ujian saringan dan dapat keputusannya, apa pilihan yang ada untuk mereka dan kesemua pilihan ini perlu dikaji dan diteliti oleh Jawatankuasa Fatwa sama ada pilihan selari dengan Islam,” katanya.

Fatwa itu dikeluarkan susulan pelancaran inisiatif saringan pembawa oleh SingHealth Duke-NUS pada 2024.

Saringan ini ialah ujian genetik melalui darah untuk menentukan status pembawa pasangan, agar mereka peka sekiranya berisiko mendapat anak yang mempunyai penyakit genetik.

Ini kerana penyakit genetik yang serius boleh mengakibatkan jangka hayat yang pendek, kecacatan intelektual, serta masalah kesihatan serius yang lain.

Anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa, Ustazah Dr Sakinah Saptu, menjelaskan bahawa jawatankuasa itu mendapati fatwa itu disokong oleh banyak dalil daripada Al-Quran dan hadith Nabi.

“Kita dapati bahawa hal ini (saringan) tidak salah kerana walaupun kita menggunakan teknologi, kita menggunakan perkembangan pemodenan itu sebagai ruang untuk menyelesaikan isu, dan hal ini sangat digalakkan.

“Yang penting ia tidak bertentangan dengan syarak dan selari dengan apa yang terdapat dalam prinsip Islam,” ujarnya.

Anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa, Ustazah Dr Sakinah Saptu, menjelaskan bahawa jawatankuasa itu mendapati fatwa yang membolehkan pasangan Islam untuk menjalani ujian saringan pembawa bagi penyakit genetik yang serius disokong oleh banyak dalil daripada Al-Quran dan hadith Nabi. 
Anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa, Ustazah Dr Sakinah Saptu, menjelaskan bahawa jawatankuasa itu mendapati fatwa yang membolehkan pasangan Islam untuk menjalani ujian saringan pembawa bagi penyakit genetik yang serius disokong oleh banyak dalil daripada Al-Quran dan hadith Nabi.  - Foto BH oleh KHALID BABA


Mengenai pertimbangan yang diambil dalam mengeluarkan fatwa itu, kenyataan Muis menerangkan dalam Islam, penyakit genetik serius boleh memudaratkan generasi akan datang serta memberi cabaran besar kepada keluarga dan individu.

Undang-undang Islam juga bersifat proaktif dalam mencegah mudarat dan melarang dalam menyumbang kepada penularan dan penyebaran penyakit, seiring dengan tradisi nabi yang mengutamakan kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat.

Dari sudut pertimbangan teologi dan etika pula, pasangan Islam mempunyai pilihan untuk membuat keputusan, tambah kenyataan itu.

Menjalani ujian saringan genetik juga tidak bercanggah dengan takdir serta pencegahan penurunan penyakit yang serius kepada keturunan tidak bererti mengubah ciptaan Allah, menurut kenyataan Muis.

Akur mengenai kebimbangan pendapat itu, Ustazah Dr Sakinah menjelaskan:

“Sebenarnya bila kita faham tentang fatwa ini, kita bukan ingin mengambil peranan Allah dalam kehidupan ataupun menentukan nasib dan takdir kita.

“Apabila kita berikan panduan sebegini, kita berharap ibu bapa faham bahawa sebagai pembawa, mereka juga ada tanggungjawab untuk memberikan anak itu keselesaan dalam kehidupan mereka.”

Perunding, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, Dr Jeannette Goh, berkata mereka melihat empat daripada 1,000 – 0.4 peratus – pasangan di Singapura berisiko tinggi menjadi pembawa bagi penyakit genetik serius.

Menurutnya, mereka sering menerima pasangan yang mempunyai kerisauan mengenai saringan genetik.

“Penyakit genetik boleh diwarisi dalam keluarga, dan pasangan bimbang sama ada mereka juga berisiko mendapat anak yang menghidap keadaan serupa.

“Dengan saringan pembawa, ia berfungsi untuk mengenal pasti pasangan berisiko tinggi dan seterusnya memberi mereka maklumat yang jelas serta pilihan bagaimana mereka ingin meneruskan perancangan keluarga,” katanya.

Perunding, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, Dr Jeannette Goh, berkata mereka melihat empat daripada 1000 – 0.4 peratus – pasangan di Singapura berisiko tinggi menjadi pembawa bagi penyakit genetik serius. 
Perunding, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, Dr Jeannette Goh, berkata mereka melihat empat daripada 1000 – 0.4 peratus – pasangan di Singapura berisiko tinggi menjadi pembawa bagi penyakit genetik serius.  - Foto BH oleh KHALID BABA

Ujian itu terbuka kepada pasangan yang telah berkahwin dan akan dilakukan untuk mengesan sekitar 80 penyakit genetik yang paling kerap berlaku dalam kalangan penduduk Singapura.

Antaranya, Dr Goh menggariskan talasemia dan atrofi otot spina sebagai kondisi yang kerap berlaku di sini.

Menjelaskan proses saringan, Dr Goh berkata sebelum dan selepas pasangan menjalani saringan itu, mereka akan melalui sesi kaunseling genetik.

Mereka kemudian secara sukarela boleh membuat keputusan sama ada ingin menjalani ujian genetik bagi saringan pembawa atau tidak serta membuat keputusan seterusnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg