Lebih ramai pelajar berpeluang mengikuti kursus Nitec Lanjutan selama tiga tahun di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), dengan tujuh program baru bermula pada 2026.
Ini akan menjadikan jumlah keseluruhan kursus Nitec Lanjutan tiga tahun kepada 49 program.
Dalam satu kenyataan pada 18 Disember, ITE berkata langkah itu menandakan peralihan sepenuhnya kursus Nitec ITE kepada struktur kurikulum Nitec Lanjutan selama tiga tahun, lapor The Straits Times (ST).
Struktur tiga tahun itu, yang diperkenal secara berperingkat sejak 2022, memendekkan laluan pelajar ke pensijilan lanjutan dari empat tahun kepada tiga tahun, ujar ITE.
Sebelum ini, pelajar menghabiskan dua tahun untuk memperoleh kelayakan Nitec.
Selepas itu, sebahagian pelajar mula bekerja, manakala yang lain menyambung pengajian selama dua tahun lagi untuk memperoleh pensijilan Nitec Lanjutan.
Tujuh kursus baru selama tiga tahun adalah Nitec Lanjutan dalam Pembuatan/Perkilangan; Lanjutan Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Aeroangkasa; Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Automotif; Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Marin dan Luar Pesisir; Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Mekanikal; Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Mekatronik; dan Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Transit Pantas.
Di bawah kurikulum yang diperkemas, dengan tumpuan pada latihan industri, kebanyakan pelajar akan menjalani dua tempoh pengalaman kerja, iaitu selama tiga bulan pada tahun kedua pengajian dan enam bulan lagi pada tahun ketiga, tambah ITE.
Kursus itu terbuka kepada pelajar yang berpotensi menamatkan program Nitec Lanjutan tiga tahun dalam tempoh dua tahun.
Kursus berkenaan juga terbuka kepada pemegang Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ serta pelajar yang memasuki ITE melalui Skim Kemasukan langsung ke Program Politeknik (DPP).
Pelajar peringkat ‘N’ dan ‘O’ boleh memohon kursus tersebut menerusi Pendaftaran Pengambilan Bersama (JIE) dari 2.30 petang pada 18 Disember hingga 5 petang pada 22 Disember, kata ITE.
Maklumat lanjut mengenai keperluan khusus kursus boleh didapati di laman web ITE.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg