Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasar Geylang Serai dibuka semula 1 Nov

Tidak semua gerai dibuka, kerja naik taraf diteruskan hingga Disember
Oct 31, 2024 | 3:56 PM
Pemilik TAKDeNAMA, Encik Noorham Noordin, membersihkan gerainya pada 31 Oktober, sebagai persiapan untuk menerima pelanggan semula pada 1 November, tiga bulan selepas Pusat Makanan dan Pasar Geylang Serai ditutup bagi dinaik taraf.
Pemilik TAKDeNAMA, Encik Noorham Noordin, membersihkan gerainya pada 31 Oktober, sebagai persiapan untuk menerima pelanggan semula pada 1 November, tiga bulan selepas Pusat Makanan dan Pasar Geylang Serai ditutup bagi dinaik taraf. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Selepas tiga bulan mencari nafkah dengan bertukang dan menjadi pekerja penghantaran Lalamove, Encik Noorham Noordin kini menghela nafas lega kerana dapat kembali ke dapur menyiapkan hidangan kegemaran pelangganya.

Pemilik gerai TAKDeNAMA di Pusat Makanan dan Pasar Geylang itu dapat menjaja semula kerana ia akan dibuka semula pada 1 November, selepas tiga bulan ditutup bagi dinaik taraf.

Tidak semua gerai akan dibuka semula pada 1 November. Beberapa penjaja memberitahu Berita Harian mereka masih membuat persiapan terakhir dan belum bersedia membuka semula gerai.

Apabila dihubungi pada 30 Oktober, Encik Noorham sedang sibuk menyediakan sambal dan membuat persiapan terakhir untuk menyambung operasinya. Gerainya menjual beraneka jenis nasi goreng dan nasi ayam, antara lain.

Encik Noorham, 48 tahun, berkata: “Kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa dan diberi kebenaran kembali ke kedai sejak 23 Oktober... itu pun hanya untuk membersihkan kedai.”

“Kerja naik taraf utama dilakukan di luar gerai, tetapi kerja pembaikan dalam gerai diserahkan kepada peniaga sendiri. Ini termasuk menukar papan tanda baru, membaiki peralatan, mengganti perkakas baru dan memasang jubin lantai baru,” tambahnya.

Encik Noorham berkata beliau telah memasang wayar baru dan menggantikan meja dan kabinet di gerainya.

Beliau memberitahu BH beliau tidak sempat untuk membuat persiapan menyeluruh untuk memasak beraneka hidangan dan hanya akan menjual nasi ayam pada 1 November.

Menurutnya, kebanyakan peniaga lain yang dikenalinya juga telah pergi ke gerai masing-masing untuk membersihkan dan mengecat serta membuat kerja ubah suai kecil.

Apabila BH melawat pusat makanan dan pasar itu pada 31 Oktober, beberapa gerai masih belum dibersihkan sepenuhnya.

Kontraktor melakukan kerja pembersihan di kawasan pusat makan di Pasar Geylang Serai pada 30 Oktober.
Kontraktor melakukan kerja pembersihan di kawasan pusat makan di Pasar Geylang Serai pada 30 Oktober. - Foto NOORHAM NOORDIN

Namun, kerja-kerja pembersihan kawasan luar gerai, yang difahami berlangsung pada 30 Oktober tidak lagi dilihat.

Antara pembaharuan yang dilihat ialah tandas dan tempat memulangkan dulang yang diperbarui, selain kawasan pemuatan dan pemunggahan yang baru.

Ada juga kipas tambahan yang dipasangkan di siling untuk pengudaraan lebih baik. Beberapa ciri untuk mengadang burung daripada menghinggap di meja juga bakal dipasangkan, kata beberapa pegerai yang dihubungi BH.

Kipas siling baru telah dipasangkan untuk menambah keselesaan pelanggan.
Kipas siling baru telah dipasangkan untuk menambah keselesaan pelanggan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI
Tempat pemulangan dulang dan tempat cuci tangan juga dipertingkat.
Tempat pemulangan dulang dan tempat cuci tangan juga dipertingkat. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sebelum ini, BH melaporkan bahawa kerja naik taraf akan dilakukan secara bertahap sehinggai 31 Disember, meskipun pasar dan pusat makanan itu dijadual kembali beroperasi sebelum itu.

Kerja naik taraf itu adalah sebahagian daripada Program Transformasi Pusat Penjaja (HTP) dan dikendalikan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Pasar Geylang Serai, Encik Osman Sudin berkata beliau berbesar hati kerana kerja-kerja naik taraf memenuhi keperluan pegerai di sana.

Ruang pemuatan dan pemunggahan telah diperluas untuk memudahkan  peniaga menerima barangan daripada pembekal.
Ruang pemuatan dan pemunggahan telah diperluas untuk memudahkan peniaga menerima barangan daripada pembekal. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sebagai contoh, beliau, yang juga pemilik gerai Pak Din Nasi Ayam Bakar, berkata kawasan pemuatan dan pemunggahan yang perlu dipertingkat untuk mempermudah urusan peniaga menerima barangan daripada pembekal adalah antara maklum balas utama yang diberikan pegerai kepada pihak berkuasa.

Pemilik Pak Din Nasi Ayam Bakar, Encik Osman Sudin, yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Pasar Geylang Serai, membuat persiapan terakhir seperti menyediakan cili dan sambal sehari sebelum membuka gerainya semula pada 1 November.
Pemilik Pak Din Nasi Ayam Bakar, Encik Osman Sudin, yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Pasar Geylang Serai, membuat persiapan terakhir seperti menyediakan cili dan sambal sehari sebelum membuka gerainya semula pada 1 November. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Cik Subaidah Saibe, pemilik D’Original Bumbu, antara peniaga yang tidak menjangka membuka semula gerainya pada 1 November.

“Keadaan gerai sangat kotor dan lantai yang dirombak belum dicuci lagi. Minggu ini macam belum boleh operasi lagi,” katanya.

Di bahagian pasar pula, beberapa pegerai dilihat sedang membersihkan gerai dan menyusun barangan.

Encik Anwar Sulaiman, yang menjual sayur-sayuran berkata: “Kebanyakan barang-barang untuk dijual sudah kami atur di dalam kedai. Tinggal tunggu hari pembukaan sahaja.”

Tandas yang diperbarui.
Tandas yang diperbarui. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Encik Osman meluahkan harapannya agar semua peniaga bersama-sama menjaga dan memelihara pusat makanan dan pasar yang telah dinaik taraf ini

“Semoga lebih ramai orang akan berkunjung dan perniagaan kita bertambah lebih baik,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg