Topik diikuti
Pergi ke BHkuPegawai kanan masjid didakwa seleweng wang derma berjumlah lebih $14,000
Seorang pegawai kanan kewangan Masjid Al-Mawaddah di Compassvale Bow, Sengkang, didakwa menyeleweng lebih $14,000 daripada tabung derma masjid itu.
Pada 12 Ogos, Mohamed Muhaimin Mohamed Sulaiman, 42 tahun, didakwa atas satu tuduhan pecah amanah. Dia dituduh melakukan kesalahan itu sekurang-kurangnya 15 kali antara 6 Februari dengan 15 Mei.
Dalam satu kenyataan pada 11 Ogos, polis menyatakan pihaknya menerima laporan mengenai kes itu pada 16 Mei.
Siasatan awal mendapati dia dipercayai telah menyalahgunakan wang masjid berjumlah lebih $14,000 antara Februari dengan Mei 2026.
Wang tersebut telah diamanahkan kepadanya sepanjang tempoh perkhidmatannya, tambah pihak polis.
Pihak polis menyatakan bahawa mereka memandang serius sebarang perbuatan yang melibatkan penipuan atau ketidakjujuran, sambil menambah pesalah “akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang”.
Ikat jamin Muhaimin ditetapkan sebanyak $10,000 dan kesnya akan didengar lagi di mahkamah pada 16 September.
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam respons kepada Berita Harian berkata pegawai masjid terbabit telah digantung tugasan serta-merta.
MUIS menambah bahawa sebaik sahaja pihak masjid mengesyaki berlaku penyelewengan dana, ia menyemak rakaman kamera litar tertutup, membuat laporan polis dan memaklumkan perkara tersebut kepada MUIS.
“MUIS dan masjid memikul tanggungjawab untuk melindungi sumbangan dan dana yang diamanahkan kepada kami oleh masyarakat secara serius.
“Kami mempunyai langkah yang telah ditetapkan, termasuk kawalan kewangan, audit dan pemantauan kamera litar tertutup.
“(Kami) akan terus memperkukuh proses ini, termasuk penggunaan bayaran digital lebih meluas dan pendidikan secara kerap terhadap kakitangan dan sukarelawan berkenaan tanggungjawab mereka dan langkah-langkah perlindungan yang telah ditetapkan,” kata Muis.
Jika didapati bersalah, Muhaimin boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda.
