Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja S’pura buat 61 aduan diskriminasi usia setiap tahun, sejak dua tahun kebelakangan

Sep 26, 2025 | 8:18 PM
Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep) telah mengenal pasti purata 90 iklan pekerjaan setiap tahun yang mengandungi perkataan atau frasa yang berpotensi bersifat diskriminasi berdasarkan usia pada 2023 dan 2024
Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep) telah mengenal pasti purata 90 iklan pekerjaan setiap tahun yang mengandungi perkataan atau frasa yang berpotensi bersifat diskriminasi berdasarkan usia pada 2023 dan 2024 - Foto fail

Secara purata, sebanyak 61 aduan berhubung diskriminasi berdasarkan usia telah dilaporkan setiap tahun pada 2023 dan 2024.

Kebanyakan aduan berkenaan datang daripada tiga sektor, iaitu perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, perdagangan borong dan runcit, serta perkhidmatan penginapan dan makanan.

Laporan tahunan mengenai amalan pekerjaan adil menunjukkan tiada peningkatan sepanjang lima tahun lalu, dengan purata 77 aduan diskriminasi berdasarkan usia setiap tahun dari 2018 hingga 2022, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, di Parlimen pada 26 September.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Anggota Parlimen (AP) Dr Charlene Chan (GRC Tampines), mengenai bilangan dan jenis aduan yang terima oleh Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep).

Dr Koh menambah pemerintah merancang membentangkan Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja yang kedua di Parlimen menjelang akhir tahun ini (2025).

Ini di samping Akta Keadilan di Tempat Kerja yang dijangka berkuat kuasa pada 2026 atau 2027, jika diluluskan.

Selain aduan rasmi, Tafep bekerjasama dengan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) untuk menyemak iklan pekerjaan di portal kerja, ‘MyCareersFuture’, secara proaktif bagi mengesan iklan yang berpotensi bersifat diskriminasi, kata beliau.

Tafep telah mengenal pasti purata 90 iklan pekerjaan setiap tahun yang mengandungi perkataan atau frasa yang berpotensi bersifat diskriminasi berdasarkan usia pada 2023 dan 2024, lapor The Business Times (BT).

“Tafep telah berhubung dengan para majikan yang menyiarkan iklan-iklan pekerjaan sedemikian untuk membuat pindaan yang perlu untuk memastikan ia sejajar dengan Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Amalan Pekerjaan Adil (TGFEP),” ujar Dr Koh.

Agensi tersebut juga menyediakan para majikan dengan sumber, termasuk panduan dan sesi klinik untuk membantu syarikat-syarikat membina tempat kerja yang berasaskan merit.

Apabila ditanya sama ada pemerintah mengambil pendekatan proaktif dalam menangani kes sedemikian, Dr Koh berkongsi banyak aduan berpunca daripada pilihan perkataan yang kurang tepat dalam iklan pekerjaan dan bukannya diskriminasi yang disengajakan oleh majikan.

“Selalunya, apabila timbul aduan, tidak semestinya majikan benar-benar cuba mendiskriminasi kumpulan daripada umur tertentu.

“Tetapi kadangkala, pilihan perkataan dan frasa yang mereka gunakan dalam aplikasi mungkin tidak dipertimbangkan dengan baik, dan itu boleh menimbulkan salah faham dan tanggapan sebegitu.

“Dengan pendekatan berbentuk pendidikan, kami berharap perkara seperti ini dapat dicegah daripada berlaku lagi,” jelas beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg