Pemandu teksi dan kereta sewa privet yang berminat menjadi pemandu bas kini boleh menyertai program yang membantu mereka beralih kerjaya dalam sektor yang pesat berubah akibat teknologi.

Program bermula 1 Oktober itu ditawarkan secara sambilan atau sepenuh masa selama dua hingga enam bulan.

Ia merangkumi latihan sambil bekerja dan kemahiran seperti diagnostik kenderaan elektrik serta pengurusan operasi pusat pertukaran bas.

Pelatih mempunyai kelonggaran mengimbangi pekerjaan dengan tanggungjawab peribadi atau penjagaan keluarga sepanjang kursus.

Ketika melawat Akademi Bas Singapura di Depoh Bas Ulu Pandan pada 28 September, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling berkata teknologi memudahkan perjalanan penumpang tetapi menjejas pekerjaan.

“Itulah sebabnya kami membuat persediaan awal. Kami mahu memastikan pekerja turut dibantu ketika industri berubah,” katanya.

Cik Sun berkata pekerja bimbang kenderaan berautonomi (AV) akan menjejaskan pekerjaan mereka.

Skim peralihan kerjaya itu antara beberapa pilihan yang disediakan, termasuk menjadi pakar AV.

Skim yang diumumkan di Parlimen pada Julai itu sebahagian pakej sokongan bagi membantu pemandu menghadapi kemajuan teknologi dan merebut peluang kerja baharu.

Dalam kenyataan bersama pada 28 September, Kementerian Pengangkutan (MOT), Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) serta Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) berkata program itu berlangsung dua hingga enam bulan.

Pemandu yang memiliki lesen Kelas 4 untuk kenderaan berat boleh menjalani latihan lebih singkat.

Selain latihan sambil bekerja, peserta akan mempelajari kemahiran untuk kerjaya masa depan, termasuk pemeriksaan kenderaan elektrik dan pengurusan operasi pusat pertukaran bas.

Mereka yang berminat boleh memohon terus kepada empat pengendali bas awam, iaitu Go-Ahead Singapore, SBS Transit, SMRT Buses dan Tower Transit Singapore.

Program itu turut menyokong usaha menarik dan mengekalkan pemandu bas tempatan.

Mulai 1 Januari 2027, warga Singapura dan penduduk tetap (PR) yang menjadi pemandu bas akan menerima gaji permulaan dan bonus menyertai perkhidmatan lebih tinggi.

Pemerintah akan membiayai kenaikan gaji bulanan $450 dan tambahan bonus penyertaan sebanyak $2,000.

Purata pendapatan bulanan pemandu baharu akan meningkat daripada sekitar $3,600 kepada lebih $4,000 termasuk bayaran kerja lebih masa dan elaun. Pemandu semasa menerima kenaikan gaji sekali sahaja.

Penolong Setiausaha Agung NTUC, Cik Yeo Wan Ling berkata kesatuan pekerja bekerjasama rapat dengan rakan tiga pihak bagi memastikan laluan penukaran kerjaya baharu itu memberi kelonggaran kepada pemandu.

Cik Yeo, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, berkata: “Ini memberikan pemandu yang berminat pilihan lain untuk memperluas kemahiran dan peluang kerjaya, sambil mengekalkan keanjalan yang penting bagi mereka.”

Perbincangan dengan pengendali bas sedang dijalankan bagi menyediakan aturan kerja yang lebih anjal.

Bekas pemandu kereta sewa privet, Encik Oh Hock Tiong, 38 tahun, beralih menjadi pemandu bas Tower Transit Singapore pada November 2025 kerana waktu kerja panjang dan pendapatan tidak menentu.

Daripada memandu 12 hingga 14 jam sehari, beliau kini memandu bas sekitar 10 jam serta menerima faedah perubatan dan peluang latihan.