Topic followed successfully
Go to BHkuPemerintah sediakan pembiayaan sementara bagi kekalkan tambang bas penting
Pemerintah sediakan pembiayaan sementara bagi kekalkan tambang bas penting
Pemerintah sediakan pembiayaan sementara bagi kekalkan tambang bas penting
Pengendali perkhidmatan bas penting, termasuk bas sekolah, akan menerima bantuan kewangan sementara daripada pemerintah. Ini bertujuan mengimbangi kos operasi yang meningkat ekoran kenaikan harga bahan api.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Pendidikan (MOE), Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta Kesihatan (MOH) pada 9 April, pembiayaan ini akan menampung 13 peratus daripada hasil tambang pengangkutan.
Sokongan ini akan disalurkan kepada pengendali yang dilantik atau diberi subsidi pemerintah bagi perkhidmatan pengangkutan tetap ke sekolah rendah dan sekolah pendidikan khas (Sped), serta perkhidmatan bagi golongan kurang upaya, pesakit penjagaan jangka panjang, dan perkhidmatan dialisis dalam masyarakat.
Ketiga-tiga kementerian ini mengumumkan sokongan tersebut akan meliputi perkhidmatan dari April hingga Jun 2026.
“Dengan sokongan ini, pengendali dijangka mengekalkan tambang pada kadar tetap sepanjang tempoh yang ditetapkan,” tegas kementerian-kementerian itu.
Mereka menambah, langkah ini penting untuk membantu penyedia perkhidmatan terus beroperasi tanpa gangguan dalam masa terdekat, terutama berdepan tekanan kos ekoran konflik di Timur Tengah.
Semasa berucap di Parlimen pada 7 April, Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow berkata, dengan kenaikan mendadak harga petrol dan diesel, “pemerintah bertindak pantas”.
Beliau mengumumkan pemerintah akan memberikan bantuan sementara untuk menampung sebahagian peningkatan kos bas penting, memastikan perkhidmatan ini beroperasi tanpa gangguan, namun butiran lanjut tidak diberikan.
Kenyataan kementerian pada 9 April menyebut, kenaikan tambang mungkin berlaku andai harga bahan api terus tinggi.
Pelajar, warga emas, pesakit, dan golongan kurang upaya boleh menggunakan subsidi sedia ada jika mereka tidak mampu menanggung kos pengangkutan.
Bagi bas sekolah, MOE akan menyokong pengendali bas sekolah rendah dan sekolah Sped, termasuk untuk perkhidmatan pengangkutan pelajar.
Langkah ini memberikan masa kepada ibu bapa dan penjaga untuk menyesuaikan urusan pengangkutan sebelum kemungkinan kenaikan tambang jika harga bahan api tidak bertambah baik.
MSF akan menyokong Agensi Perkhidmatan Sosial (SSA) yang menyediakan perkhidmatan untuk golongan kurang upaya dibiayai MSF, dengan menggunakan Subsidi Pengangkutan Pengupayaan (ETS) untuk pengangkutan pengguna seperti pusat aktiviti harian dan bengkel terlindung.
SSA ini diwajibkan menyalurkan geran tersebut kepada pengendali pengangkutan yang dilantik.
MOH pula akan memberikan sokongan kepada penyedia penjagaan jangka panjang dan dialisis yang menawarkan pengangkutan tetap bagi warga emas dan pesakit, merangkumi pusat penjagaan warga emas (SCC) dibiayai MOH, pengendali pengiring dan pengangkutan perubatan (MET), hospis harian, serta pusat dialisis komuniti.

