Topic followed successfully
Go to BHkuPemerintah tidak subsidi solar kediaman, yakin faktor ekonomi dorong penggunaan
Pemerintah tidak subsidi solar kediaman, yakin faktor ekonomi dorong penggunaan
Pemilik bangunan privet sudah menunjukkan “minat jauh lebih tinggi” terhadap teknologi tersebut.
Pemerintah tidak subsidi solar kediaman, yakin faktor ekonomi dorong penggunaan
Pemerintah tidak memberi subsidi kepada panel suria bumbung kediaman kerana “keadaan ekonomi kini sangat menggalakkan” bagi pemilik hartanah untuk mempertimbangkan pemasangan, kata Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan, Cik Gan Siow Huang, di Parlimen pada Khamis, 7 Mei.
Teknologi solar kini lebih cekap dan kos pemasangan jauh lebih rendah, katanya.
Pemerintah melihat “minat jauh lebih tinggi” dalam kalangan pemilik bangunan privet, termasuk hartanah kediaman, tambahnya. “Kami percaya faktor ekonomi akan mendorong penggunaan lebih pantas.”
Beberapa Anggota Parlimen (AP) telah bertanya tentang usaha meningkatkan penggunaan solar, dengan Encik Kenneth Tiong dari Parti Pekerja (WP) membuat perbandingan dengan Insentif Penggunaan Awal Kenderaan Elektrik (EEAI) yang memberi subsidi kepada kenderaan elektrik (EV).
Cik Gan menjawab, skim EV “mengandaikan pengguna ingin membeli kenderaan” dan memilih antara pelbagai jenis, mendorong pertimbangan EV walaupun lebih mahal berbanding kenderaan biasa.
Sebaliknya, panel solar ialah pembelian baru bagi pemilik hartanah yang mempunyai kebimbangan lain selain kos pemasangan, katanya, sambil menegaskan ia bukan sekadar kos atau insentif pemerintah.
Sebagai contoh, sesetengah pemilik rumah bimbang tentang kesan terhadap kalis air bumbung atau kebolehpercayaan vendor pemasangan panel suria, tambahnya.
Bagaimanapun, pemerintah akan memantau kadar pemasangan panel suria sektor swasta dengan teliti, dan bersedia mempertimbangkan langkah tambahan, katanya.
Singapura tidak merancang mewajibkan pemasangan panel suria pada bangunan baru, katanya ketika menjawab soalan daripada Dr Choo Pei Ling (GRC Chua Chu Kang).
Sesetengah pemilik bangunan mungkin mengutamakan kegunaan lain bumbung seperti kehijauan, atau kemungkinan ia tidak sesuai atas sebab terteduh oleh bangunan lain, kata Cik Gan.
Menjawab soalan AP Dilantik (NMP), Dr Neo Kok Beng mengenai rancangan Singapura untuk tenaga pasang surut, Cik Gan berkata tiada rancangan semasa untuk melaksanakannya.
Ini kerana ruang laut terhad untuk penempatan peranti tenaga pasang surut, katanya, dengan sebahagian besar perairan daerah Singapura digunakan untuk pelabuhan, kawasan berlabuh dan laluan perkapalan.
“Memandangkan ruang laut terhad, tenaga pasang surut yang boleh dimanfaatkan secara hakikat dianggarkan kurang daripada 1 peratus daripada keperluan tenaga Singapura,” kata Cik Gan.
