Penerbangan Scoot KL-S’pura dibatal kerana kerosakan teknikal
Penerbangan Scoot KL-S’pura dibatal kerana kerosakan teknikal
Satu penerbangan Scoot dari Kuala Lumpur ke Singapura pada 9 Februari terpaksa dibatalkan ekoran kerosakan teknikal yang gagal diperbaiki sebelum waktu berlepas.
Scoot, syarikat tambang rendah milik Singapore Airlines, ketika menjawab pertanyaan media mengesahkan satu “kerosakan teknikal” telah dikesan pada penerbangan TR497 sebelum ia sepatutnya berlepas pada 10 malam.
Pembatalan itu dilakukan kerana jurutera memerlukan lebih masa untuk menyelesaikan masalah itu.
Penumpang yang terjejas disediakan penginapan, makanan ringan, dan pengangkutan darat.
Pesawat yang terlibat itu, menurut data daripada laman web penjejak penerbangan FlightAware, ialah jenis Boeing 787-8.
Para penumpang telah dialihkan ke penerbangan lain, dan mereka yang membatalkan perjalanan ditawarkan bayaran balik penuh.
Seorang penumpang, Encik Mehdi Bensouda Korachi, 42 tahun, dipetik The Straits Times sebagai berkata beliau dan penumpang lain dimaklumkan ketika di dalam pesawat mengenai masalah sistem brek yang memerlukan masa tambahan untuk dibaiki.
Setelah menanti sekurang-kurangnya tiga jam di dalam pesawat itu, penumpang akhirnya diberitahu tentang pembatalan itu sekitar 1 pagi.
Sebuah bas tiba sekitar 2 pagi untuk membawa mereka ke hotel.
Encik Mehdi tiba di hotel sekitar 5.30 pagi, kemudian dibawa kembali ke lapangan terbang pada 7 pagi untuk daftar masuk bagi menaiki penerbangan gantian, SQ107.
Penerbangan itu mendarat di Singapura pada 12.25 petang, 10 Februari.
Encik Mehdi mengakui beliau cuba bertenang, namun para penumpang berasa letih dan kecewa, terutama yang mempunyai penerbangan sambungan di Singapura.
Scoot memohon maaf atas gangguan tersebut dan menegaskan keselamatan pelanggan serta kru penerbangan adalah perkara diutamakan.

