Tiga tahun di sebuah syarikat media sosial telah membuatkan Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria saksi kepada peningkatan kandungan pemalsuan mendalam (deepfake) intim janaan kecerdasan buatan (AI), yang sering sekali menyasarkan wanita dan kanak-kanak.

Sebahagian tugasnya ketika itu adalah memadam kandungan sedemikian daripada platform tersebut.

Namun, beliau sedar bahawa tindakan memadam kandungan selepas ia tersebar sahaja tidak memadai.

“Bila kandungan ‘deepfake’ itu sudah tersebar, kesannya boleh berterusan. Walaupun kandungan asal sudah saya padam, ia boleh disimpan atau dirakam di platform lain dan juga boleh dihasilkan semula.

“Dari situ saya terfikir tentang mangsa pula. Kesannya boleh berpanjangan walaupun video itu sudah dipadam. Kita tak boleh bertindak saja selepas kemudaratan berlaku. Kita perlu fikirkan tentang dasar dari awal,” kata Cik Aisyah, 29 tahun.

Pengalaman itu antara yang mendorong beliau meninggalkan pekerjaannya pada 2025 untuk mendalami program Dwi Sarjana dalam Teknologi dan Hal Ehwal Global di Sciences Po Paris, Perancis dan Universiti IE di Madrid, Sepanyol.

Tekadnya mendapat suntikan apabila beliau menjadi antara 72 penerima biasiswa yang diiktiraf Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 12 Ogos di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.

Majlis tersebut dihadiri Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, serta Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

“Seiring dengan langkah Singapura mempercepat transformasi digitalnya, Keluarga MDDI terus melabur dalam membangunkan generasi pemimpin teknologi, media dan maklumat seterusnya.

“Biasiswa ini merupakan sebahagian daripada usaha kolektif Keluarga MDDI untuk memupuk bakat serta memperkukuh keupayaan dalam sektor-sektor berkenaan, sekali gus mempersiapkan mereka untuk menerajui pelbagai usaha pembangunan digital dan komunikasi pemerintah dalam sektor awam dan swasta bagi menyokong transformasi digital Singapura,” kata MDDI dalam satu kenyataan.

Keluarga MDDI merujuk kepada Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA), Agensi Teknologi Pemerintah Singapura (GovTech), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Cik Aisyah menerima Biasiswa Digital SG IMDA (Pascasiswazah), yang akan membiayai yuran pengajian serta menyediakan elaun sepanjang tempoh pengajian dua tahun itu.

Anugerah tersebut sekali gus membantu Cik Aisyah mengejar impiannya untuk merapatkan jurang dalam pengetahuan teknikalnya.

“Apabila bekerja, saya sedar bahawa saya masih kekurangan ilmu dari segi teknikal. Kalau saya mahu mendalami lagi dasar AI, saya perlu memahami teknologi itu sendiri.

“Dari situ saya rasa mungkin peluang untuk saya menceburi bidang ini dengan lebih lanjut adalah dengan membuat sarjana saya,” katanya.

Satu bidang yang juga ingin diterokainya ialah pembangunan AI yang lebih inklusif bagi masyarakat Asia Tenggara, khususnya melalui bahasa Melayu.

Cik Aisyah, pengasas bersama kumpulan penulis Meja Conteng, berkata pembangunan AI boleh melebarkan jurang bahasa kerana kebanyakan model kini didominasi data bahasa Inggeris.

“Kebanyakan model AI hari ini dilatih menggunakan data Inggeris. Disebabkan itu, saya rasa sumber data banyak dalam bahasa Inggeris dan akibatnya masyarakat kita kurang menggunakan bahasa Melayu apabila menggunakan AI, menyebabkan Bahasa Melayu kurang diwakili.

“Dari situ saya melihat ada cara untuk saya menyumbang kembali kepada bahasa dan juga masyarakat menggunakan AI,” katanya.

Malah, bagi Cik Aisyah, bahasa menjadi unsur pengikat yang menghubungkan minatnya dalam penulisan, pemerkasaan belia dan kini AI.

Selepas tamat pengajian pada Julai 2027, Cik Aisyah berharap dapat kembali menyumbang kepada ekosistem AI Singapura, khususnya dalam keselamatan AI dan pembangunan teknologi.

“Saya mahu kembali dan menyumbang kepada ekosistem, terutama dalam keselamatan AI kerana ia sesuatu yang sangat dekat di hati saya.

“Matlamat saya selepas sarjana adalah untuk menjadi lebih kukuh secara teknikal, tetap berpandangan global dan pada masa yang sama masih berakar di tanah air,” katanya, yang juga penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian (BH) 2025.