Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenjara bagi lelaki ditangkap dengan peranti e-rokok, tembakau panas bernilai $277,000
Penjara bagi lelaki ditangkap dengan peranti e-rokok, tembakau panas bernilai $277,000
Penjara bagi lelaki ditangkap dengan peranti e-rokok, tembakau panas bernilai $277,000
Akibat masalah kewangan, seorang pemandu lori bagi sebuah syarikat logistik di Malaysia meminta pinjaman daripada majikannya dan diberitahu dia boleh menghantar ‘barangan haram’ ke Singapura sebagai bayaran.
Jegathiswaran Nagalingam, 28 tahun, menerima tawaran itu walaupun majikannya, dikenali sebagai ‘David’, enggan memberikan butiran lanjut mengenai barangan tersebut.
Pada 2 Februari, kira-kira pukul 5.30 pagi, dia memandu lori ke Pusat Pemeriksaan Tuas.
Selepas pemeriksaan, pihak berkuasa Singapura menemui kira-kira 37,000 barangan terlarang termasuk peranti rokok elektronik (e-rokok) atau vape bernilai hampir $277,000.
Pada 16 April, pesalah warga Malaysia itu dijatuhi hukuman penjara 22 minggu selepas mengaku bersalah mengimport barangan termasuk 14,700 pod e-rokok.
Dua lagi tuduhan, termasuk yang melibatkan ‘heatsticks’ (batang tembakau yang dipanaskan, bukan dibakar) turut diambil kira.
Pendakwa daripada Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Cik Jolene Chia, berkata tertuduh sebelum ini meminta pinjaman RM5,000 ($1,600) daripada ‘David’.
Beliau menambah ‘David’ mencadangkan tertuduh menghantar barangan haram yang disembunyikan bersama penghantaran sah syarikat sebagai bayaran.
“Tertuduh tidak mengetahui jumlah bayaran yang bakal diterimanya, hanya dia akan dibayar selepas berjaya menghantar barangan itu. Ini kali pertama dia dengan sedar mengimport barangan haram ke Singapura.”
Jegathiswaran menerima tawaran itu dan memandu lori dari kawasan syarikat di Malaysia pada 2 Februari, sekitar pukul 4 pagi.
Dia tidak memeriksa kandungan kenderaan itu dan ditahan selepas pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menjalankan pemeriksaan pada pagi itu.
Pada 16 April, pendakwa menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman sehingga 22 minggu penjara terhadap Jegathiswaran, sambil menekankan kesalahannya melibatkan sejumlah besar barangan terlarang.
Beliau juga menyatakan jumlah barangan itu mencerminkan tahap kesalahan.
Jegathiswaran, tanpa diwakili peguam, memberitahu mahkamah melalui jurubahasa Tamil dia menghadapi masalah kewangan ketika itu dan merupakan pencari nafkah tunggal keluarganya.
Dia juga menyatakan bapanya mengalami masalah penglihatan, manakala ibunya yang sukar berjalan perlu menjalani pembedahan lutut.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Lim Tse Haw bersetuju dengan pihak pendakwa kes ini melibatkan sejumlah besar barangan terlarang.
Beliau juga menyatakan perlu menghalang warga asing daripada menyeludup barangan sedemikian ke Singapura.
