Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penterjemah pastikan sari kata, lirik lagu Melayu tepat semasa NDP 2025

Sukarelawan Penterjemah Kita sumbang kemahiran, beri saranan kandungan vernakular yang dipapar di skrin sewaktu perbarisan
Aug 10, 2025 | 5:30 AM
penterjemah kita, ndp2025, sg60
Cik Sanesa Salleh (kiri) dan Cik Nurussolehah Jaini bertugas sebagai penterjemah bahasa Melayu untuk Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025. Mereka menyokong Jawatankuasa Multimedia NDP 2025 dengan menyunting kandungan vernakular yang dipaparkan di semua skrin LED serta mencadangkan pembetulan kepada sari kata dan mesej yang disiarkan sewaktu perbarisan di Padang. - Foto MDDI

Apabila kita sebut tentang Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), seringkali yang menjadi perhatian adalah peserta yang mengambil bahagian secara fizikal dalam acara itu seperti pasukan tentera, komander perbarisan atau penyanyi serta penari.

Namun, tidak ramai yang tahu ada segolongan sukarelawan yang bertungkus-lumus di belakang tabir untuk memastikan kandungan yang ditayangkan semasa perbarisan itu diterjemahkan dengan baik dan boleh difahami oleh semua lapisan masyarakat.

Inilah yang dilakukan oleh penterjemah sukarelawan, Cik Sanesa Salleh dan Cik Nurussolehah Jaini.

(Dari kiri) Para Penterjemah Kita Cik Nurussolehah Jaini; Cik Sanesa Salleh; Cik Chandrakala Kalyanasundaram; Encik Foong Wei Xiong; Encik Harie Azhari; Cik Koh Hui Wen dan Cik Shanthi Natarajan yang tiada dalam gambar, terlibat dalam persiapan sambutan NDP 2025 dengan memberi saranan penterjemahan dan mencadangkan pembetulan kepada sari kata dan mesej penting yang disiarkan sewaktu sambutan.
(Dari kiri) Para Penterjemah Kita Cik Nurussolehah Jaini; Cik Sanesa Salleh; Cik Chandrakala Kalyanasundaram; Encik Foong Wei Xiong; Encik Harie Azhari; Cik Koh Hui Wen dan Cik Shanthi Natarajan yang tiada dalam gambar, terlibat dalam persiapan sambutan NDP 2025 dengan memberi saranan penterjemahan dan mencadangkan pembetulan kepada sari kata dan mesej penting yang disiarkan sewaktu sambutan. - Foto MDDI

Sejak Jun 2025, kededuanya yang merupakan penterjemah sukarelawan di bawah program Penterjemah Kita di samping empat penterjemah lain untuk bahasa Tamil dan Cina, menyokong Jawatankuasa Multimedia NDP 2025 dengan menyunting kandungan vernakular seperti sari kata dan lirik lagu yang dipaparkan di semua skrin LED di Padang.

Selain itu, mereka memberi saranan penterjemahan dan mencadangkan pembetulan kepada sari kata dan mesej penting yang disiarkan sewaktu perbarisan.

Program Penterjemah Kita diperkenalkan pada 2021 oleh Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) dengan tujuan merekrut sukarelawan daripada pelbagai kerjaya dan peringkat umur bagi menterjemah dan memperhalusi bahan komunikasi dan mesej pemerintah.

Didorong oleh rasa cinta terhadap bahasa Melayu, Cik Sanesa, 60 tahun yang masih aktif bertugas sebagai jurulatih guru bahasa Melayu di Institut Pendidikan Awal Kanak-kanak (NIEC) dan menulis buku kanak-kanak, berkata:

“Kami memastikan lirik lagu dan kandungan bahasa Melayu yang dipaparkan tepat.

“Kami juga memilih perkataan Melayu yang memberi makna perkataan Inggeris dengan lebih baik.

“Saya dan Cik Nurussolehah bersyukur pihak penganjur menghargai apa sahaja cadangan yang kami berikan.”

Beliau yang tampil secara sukarela sebagai penterjemah sejak 2022, berkata beliau terdorong menyumbang tenaga kerana rasa cinta terhadap bahasa Melayu.

“Saya sayang sangat dengan bahasa Melayu... sifat prihatin dan peka terhadap penggunaan bahasa Melayu yang sesuai dan betul memang ditanam dalam jati diri saya,” kata Cik Sanesa.

Menjelaskan lebih lanjut, Cik Nurussolehah, 31 tahun, yang menceburi bidang penterjemahan sejak 2024, menjadi penterjemah sukarelawan untuk sambutan NDP 2025 kerana mahu memperkasakan penggunaan bahasa Melayu.

“Saya mahu menambah ilmu penggunaan bahasa Melayu dan dekatkan diri saya dengan pakar bahasa Melayu yang lebih berpengalaman, ” tambah Cik Nurussolehah.

Menurut Cik Nurussolehah yang pernah bertugas sebagai penterjemah untuk data kecerdasan buatan (AI) dalam bahasa Melayu, rentak persembahan NDP yang pantas merupakan antara cabaran dalam tugas mereka.

“Semasa latihan NDP, terjemahan di skrin akan dipaparkan untuk beberapa saat sahaja.

“Kami berdua haruslah menyemak dengan satu sama lain untuk memastikan penterjemahan kami terperinci dan kami dapat memerhatikan sebanyak mungkin kesalahan untuk dibaiki,” kongsi Cik Nurussolehah.

Mereka bertugas sedemikian untuk lima latihan sambutan NDP di Padang pada setiap malam Jumaat dan pernah menyemak terjemahan acara sambutan NDP hingga 1 pagi.

Peranannya sebagai penterjemah pada perbarisan kali ini bertambah manis untuk Cik Sanesa kerana beliau turut menyambut ulang tahunnya yang ke-60 pada 2025, sama dengan Singapura.

“Memandangkan saya seusia dengan negara kita, saya lebih teruja dan bersemangat menyumbang kepada negara... perbarisan ini haruslah sempurna,” tambahnya.

Bagi Cik Nurussolehah pula, tugas penterjemahan untuk NDP 2025 bersempena dengan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60), merupakan cara untuknya berkhidmat kepada negara.

Menurutnya, ini juga pengalaman berbeza berbanding dengan penyertaannya dalam perbarisan NDP 2008.

“Semasa NDP 2008, saya masih remaja apabila menyertai persembahan silat, jadi saya tidak begitu faham apakah yang berlaku di sebalik acara itu atau proses menganjurkannya.

“Namun kini saya terlibat sebagai seorang dewasa, pengalamannya sangat berbeza kerana kali ini saya boleh melihat sendiri dan memberi cadangan tentang persiapan NDP,” kongsi Cik Nurussolehah.

Ternyata, kededua Cik Sanesa dan Cik Nurussolehah bangga dengan peluang membantu para penonton menikmati persembahan dan kemeriahan sambutan NDP dengan lebih mudah.

“Usaha kami juga meraikan keindahan bahasa.

“Kesatuan dan harmoni rakyat Singapura boleh dilihat melalui penterjemahan pelbagai bahasa.

“Saya gembira sangat dapat melakukan tugas ini untuk penonton,” kata Cik Sanesa.

Cik Nurussolehah pula berkata: “Kami harap penterjemahan kami membantu masyarakat Melayu agar lebih memahami mesej di sebalik NDP.

“Saya juga berharap anak muda dapat mempelajari tentang penggunaan bahasa Melayu melalui penterjemahan lirik lagu dan kosa kata.”

Usaha kami juga meraikan keindahan bahasa. Kesatuan dan harmoni rakyat Singapura boleh dilihat melalui penterjemahan pelbagai bahasa. Saya gembira sangat dapat melakukan tugas ini untuk penonton.
Cik Sanesa Salleh.

Kami harap penterjemahan kami membantu masyarakat Melayu agar lebih memahami mesej di sebalik NDP.
Cik Nurussolehah Jaini. 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg