Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 perkara utama yang disampaikan dalam sidang Parlimen

Sep 22, 2025 | 7:55 PM
Parlimen bersidang pada 22 September.
Parlimen bersidang pada 22 September. - Foto fail

Berikut enam perkara utama yang dikongsi semasa Sidang Parlimen pada 22 September.

1. Singapura akan iktiraf negara Palestin apabila syarat dipenuhi

Singapura akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara apabila beberapa syarat dipenuhi, termasuk kewujudan pemerintah di Palestin yang berkesan dan menerima hak Israel untuk wujud serta secara mutlak menolak pengganasan, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

2. Lebih banyak bantuan kemanusiaan bagi mangsa konflik di Gaza

Singapura akan menyediakan lebih banyak bantuan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan mangsa konflik Gaza di bawah bantuan kemanusiaan yang ke-10 Singapura, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Ini akan menjadikan jumlah bantuan kemanusiaan Singapura untuk Gaza kepada lebih $24 juta. Antaranya:

  1. Usaha pengerahan satu lagi pasukan perubatan ke Mesir bagi merawat lebih ramai pesakit Gaza.
  2. Sediakan bekalan prostetik bagi sekitar 100 rakyat Palestin yang hilang anggota badan dan dirawat di Jordan dan di hospital lapangan Jordan di Gaza.
  3. Sumbangan terkini sebanyak $1.2 juta oleh Palang Merah Singapura (SRC).
  4. Sumbangan sebanyak AS$500,000 ($642,000) di bawah usaha Program Makanan Sedunia untuk memerangi kelaparan di Gaza.

3. Warga, Penduduk Tetap (PR) boleh didakwa jika salah guna etomidate di luar negara

Mereka yang didapati menyalahguna Kpod atau vape yang mengandungi etomidate di luar negara masih boleh didakwa di bawah undang-undang Singapura.

Ini memandangkan etomidate disenaraikan sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) sejak 1 September, kata Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

4. Lebih banyak maklumat bagi laluan pengangkutan alternatif, waktu perjalanan tambahan ketika gangguan rel

Penumpang boleh menjangkakan lebih banyak maklumat berkenaan laluan pengangkutan alternatif dan waktu perjalanan tambahan, sekiranya mereka menghadapi gangguan pada sistem pengangkutan awam pada masa hadapan.

Mereka juga boleh menjangkakan maklumat itu dipaparkan menerusi satu wadah pusat, dengan tunjuk arah yang lebih baik, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.

5. Parti Pekerja (WP) terus laksana kewajipan sebagai pembangkang setia, penyemak pemerintah

WP akan terus menunaikan kewajipannya sebagai pembangkang yang setia, dan akan tumpukan peranan sebagai penyemak atas dasar dan tindakan pemerintah kata Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh.

Beliau, yang juga Setiausaha Agung WP, memberi jaminan kepada Parlimen bahawa WP tidak akan mengajukan soalan “semata-mata untuk menambah bilangan soalan”.

6. Ekonomi Singapura dijangka tumbuh 2-3 peratus setiap tahun bagi dekad seterusnya

Ekonomi Singapura dijangka berkembang sekitar 2 hingga 3 peratus setiap tahun secara purata sepanjang satu dekad seterusnya, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Beliau, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata ini setanding dengan banyak ekonomi kecil dan maju lain seperti New Zealand, Sweden dan Switzerland.

Namun, beliau menggesa untuk menyasarkan perangkaan lebih tinggi dan cuba mencapai kadar pertumbuhan lebih pantas supaya ekonomi menjadi lebih kukuh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg