Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsul daya tahan makanan, kurang pembaziran bakal dikemuka di Parlimen
Bertujuan pastikan rakyat S’pura terus punyai akses kepada bekalan berpatutan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik, iklim
Satu usul yang bertujuan memastikan rakyat Singapura terus mempunyai akses kepada bekalan makanan yang berpatutan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan risiko berkaitan iklim telah dikemukakan oleh sebuah Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Bercakap kepada wartawan pada 2 September, Pengerusi GPC bagi Kemampanan dan Sekitaran, Cik Poh Li San, berkata usul tersebut, yang akan dikemukakan oleh beliau bersama Timbalan Pengerusi GPC berkenaan, Cik Nadia Ahmad Samdin, dalam persidangan Parlimen akan datang, antara lain bertujuan membina usaha sedia ada Singapura dalam memperkukuh daya tahan makanan dengan menyokong petani setempat, memperkukuh sistem rantaian bekalan dan logistik makanan, serta mengurangkan pembaziran makanan.
“Rakyat Singapura telah mengalami kenaikan harga makanan dan ini sememangnya disebabkan oleh pelbagai peristiwa di luar Singapura, termasuk konflik di Timur Tengah serta kejadian berkaitan iklim, seperti fenomena El Niño tahun ini (2026) yang menjejaskan hasil tanaman.
“Akhir sekali, kami juga prihatin dengan masalah pembaziran makanan yang semakin meningkat di Singapura dan, sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Tanpa Sisa Singapura, bagaimana kita boleh melakukan lebih banyak usaha untuk mengurangkan pembaziran makanan,” ujar beliau, yang juga Anggota Parlimen (AP) SMC Sembawang West.
Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Singapura menghasilkan 790,000 tan sisa makanan pada 2025, bersamaan purata 128 kilogram (kg) bagi setiap orang.
Usul itu juga bertujuan memperkukuh pengeluaran dan bekalan sumber makanan alternatif di Singapura, seperti protein alternatif, tambah beliau.
Menerusi Kisah Makanan Singapura 2.0 (SFS2), Singapura membina daya tahan makanannya berdasarkan empat tonggak utama iaitu mempelbagaikan sumber import, membina perkongsian global, menyimpan stok barangan makanan penting serta meningkatkan pengeluaran makanan setempat.
Pada masa ini, Singapura menyasarkan untuk menghasilkan 20 peratus daripada penggunaan serat tempatan dan 30 peratus daripada penggunaan protein tempatan menjelang 2035 di bawah rangka kerja SFS2 yang diperbaharui.
Menyentuh tentang SFS2, Cik Nadia berkata terdapat peluang untuk melengkapi usaha di bawah tonggak meningkatkan pengeluaran makan tempatan dengan memperkukuh daya tahan petani setempat.
Menurut beliau, prinsip kepelbagaian yang menjadi keutamaan SFS2 juga boleh diterapkan dalam pengeluaran makanan tempatan, termasuk dengan meningkatkan keupayaan ladang menyesuaikan diri bagi menghadapi perubahan.
“Bagi SFS2, kepelbagaian merupakan keutamaan utama. Saya berpendapat idea yang sama tentang kepelbagaian, keupayaan menyesuaikan diri dan fleksibiliti juga perlu diterapkan di bawah tonggak berkenaan,” katanya.
Sebagai contoh, Cik Nadia berkata daya tahan ladang boleh dipertingkatkan dengan memastikan sektor tersebut tidak terlalu bergantung kepada input yang sama.
“Apabila kita memikirkan tentang daya tahan, jika 10 ladang kita bergantung kepada 10 input yang sama, contohnya apabila kos elektrik naik, adakah kita benar-benar mempunyai daya tahan?” jelasnya.
Dalam pada itu, Cik Poh turut berkata terdapat peluang untuk memperkukuh kerjasama dengan negara-negara serantau dalam bidang keselamatan makanan apabila Singapura mengambil alih jawatan pengerusi Asean pada 2027.
“Apabila Singapura mengambil alih jawatan pengerusi Asean, usaha membina sistem makanan yang terjamin juga merupakan salah satu agenda utama. Mungkin terdapat peluang untuk bekerjasama dengan rakan-rakan serantau dan negara-negara lain bagi meningkatkan keselamatan makanan di seluruh rantau Asean,” ujar beliau.
Selain pengeluaran makanan setempat, dua lagi anggota GPC tersebut, Cik Valerie Lee dan Encik Ng Shi Xuan, dijangka menyentuh aspek lain berkaitan daya tahan makanan dalam ucapan mereka, termasuk rantaian bekalan makanan dan protein alternatif.
