Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) sedang menyemak sebuah kertas penyelidikan yang diterbitkan oleh sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan berpangkalan di Amerika Syarikat, yang mendakwa penjawat awam di Singapura membeli rumah pada kadar tidak seimbang di kawasan berhampiran stesen MRT yang belum diumumkan kepada orang ramai.

PSD pada 14 September berkata pihaknya sedang meneliti data dan metodologi penyelidikan dalam kertas akademik tersebut dan akan merujuk sebarang isu kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) “jika terdapat asas kukuh untuk berbuat demikian”.

Dalam jawapan kepada pertanyaan media, jurucakap divisyen di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu berkata mereka memandang serius terhadap sebarang kebimbangan mengenai integriti.

Biro Penyelidikan Ekonomi Nasional (NBER) – sebuah pertubuhan swasta berpangkalan di Cambridge, Massachusetts – telah menerbitkan satu kertas kerja pada September bertajuk, Do Social Norms Substitute for Enforcement? Evidence from Public Officials’ Home Purchases in Singapore (Adakah norma sosial menggantikan penguatkuasaan? Bukti daripada pembelian rumah pegawai awam di Singapura).

Penulis kertas penyelidikan tersebut ialah Profesor Tomasz Piskorski daripada Universiti Columbia; Profesor Amit Seru dan Encik Chun Zhao daripada Universiti Stanford; serta Profesor Jian Zhang daripada Universiti Hong Kong.

Para penulis itu berkata mereka ingin mengkaji sama ada norma sosial yang menyokong integriti boleh menggantikan penguatkuasaan formal dalam menghalang salah laku oleh pegawai awam.

Kertas kerja berkenaan menyatakan bahawa mereka “mendapat manfaat sangat besar daripada perbincangan” dengan beberapa individu, termasuk ahli ekonomi, Profesor Li Shengwu – anak Encik Lee Hsien Yang – yang juga merupakan anak saudara Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Mereka turut merakamkan penghargaan kepada beberapa ahli akademik semasa dan bekas ahli akademik di Universiti Nasional Singapura (NUS) seperti Profesor Emeritus Bernard Yeung, Profesor Sumit Agarwal, Profesor Jessica Pan dan Dr Ivan Png.

Kertas tersebut meneliti urus niaga perumahan di sekitar kawasan peluasan sistem MRT yang dirancang, menggunakan “keseluruhan data urus niaga perumahan”.

Para penyelidik itu berkata mereka memulakan kajian dengan mengumpul rekod urus niaga hartanah swasta daripada fail perundangan Singapura.

Kemudian, mereka memadankan maklumat pembeli dengan Direktori Interaktif Pemerintah Singapura (SGDI) – sebuah pangkalan data dalam talian bagi pegawai awam – untuk mengenal pasti penjawat awam serta menjejak sejarah urus niaga mereka.

Mereka kemudian menumpukan kajian terhadap pembelian di kawasan berhampiran stesen MRT yang dirancang tetapi belum diumumkan secara awam, pada sekitar tarikh pengumuman berkenaan.

Para penulis itu mendapati bahawa kadar kepadatan pembelian di kawasan berhampiran stesen MRT yang dirancang adalah lebih tinggi dalam kalangan penjawat awam berbanding kumpulan kawalan bukan penjawat awam dengan ciri demografi dan tingkah laku pembelian perumahan yang serupa.

Menurut kertas kerja itu, ketidakseimbangan kadar tersebut tertumpu pada tempoh satu hingga dua tahun sebelum pengumuman awam dibuat, serta dalam kalangan pegawai peringkat pertengahan dan agensi yang terlibat dalam perancangan laluan kereta api.

Penyelidik itu berkata corak pembelian itu menjana “keuntungan peribadi yang ketara” dan turut kelihatan dalam kalangan ahli keluarga mereka, yang menurut penulis tersebut, adalah selari dengan isu kebocoran maklumat.

Kertas kerja itu menggariskan bahawa sebagai kertas kerja yang diterbitkan oleh NBER, ia “diedarkan bagi tujuan perbincangan dan ulasan”.

Ia belum melalui proses semakan semula setara (peer-review) atau tertakluk kepada semakan oleh lembaga pengarah NBER yang lazimnya mengiringi penerbitan rasmi pertubuhan tersebut.

Semakan semula setara ialah proses akademik di mana rakan pakar atau ahli akademik menilai kertas penyelidikan secara bebas bagi menentukan kesahihan dan mutunya, selain beberapa faktor lain.