Topik diikuti
Pergi ke BHkuRang perketat penguatkuasaan terhadap khidmat pengangkutan tidak berlesen
Tindakan mungkin diambil ke atas pengguna khidmat P2P haram pada masa depan
Rang perketat penguatkuasaan terhadap khidmat pengangkutan tidak berlesen
Pemerintah tidak menolak kemungkinan mengenakan hukuman ke atas penumpang yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) haram.
Ini meskipun fokus utama pemerintah adalah untuk membanteras perkhidmatan sedemikian dengan memperketat undang-undang terhadap penyedia khidmat tersebut.
“Pengguna tidak seharusnya menggunakan perkhidmatan ini kerana ia sering kali tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
“Buat masa ini, kami belum lagi memperkenalkan penalti khusus terhadap pengguna bagi penggunaan perkhidmatan P2P haram. Namun, kami mungkin berbuat demikian pada masa hadapan,” kata Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan di Parlimen pada 7 Oktober.
Seramai 24 Anggota Parlimen (AP) dan AP Dilantik (NMP) bangkit untuk mengajukan soalan berkenaan rang undang-undang tersebut.
Undang-undang baharu yang diluluskan itu, antara lain, menaikkan denda maksimum bagi penyedia perkhidmatan sedemikian daripada $3,000 kepada $10,000.
Ia juga melarang penerbitan dan promosi iklan perkhidmatan P2P tanpa lesen, serta memanjangkan tempoh sitaan bagi kenderaan yang dirampas.
Langkah-langkah baharu itu adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh pemerintah untuk memperketat penguatkuasaan terhadap perkhidmatan pengangkutan tidak berlesen.
Ini demi melindungi keselamatan awam serta memelihara mata pencarian pemandu berlesen yang sah, tambah Encik Baey.
“Perkhidmatan sedemikian menimbulkan risiko keselamatan kepada penumpang dan menjejas mata pencarian pemandu P2P yang berlesen,” kata Encik Baey.
“Oleh itu, kami akan memperkukuh langkah pencegahan dan meningkatkan keupayaan kami untuk menguatkuasakan tindakan terhadap perkhidmatan haram seumpama itu.”
Di bawah undang-undang baharu itu, perbuatan menyiarkan, memajukan atau berkongsi iklan perkhidmatan P2P tidak berlesen menerusi aplikasi mesej dalam talian dan platform media sosial turut dijadikan satu kesalahan jenayah baharu.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) juga akan diberi kuasa undang-undang untuk mengarahkan pengiklan menurunkan iklan itu serta menghendaki pengendali platform menyerahkan maklumat terperinci mengenai pengiklan terbabit.
Menyentuh mengenai operasi penguatkuasaan terkini, Encik Baey mendedahkan bahawa LTA telah memperkemas operasi dan berjaya menyita kira-kira 240 kenderaan yang menyediakan perkhidmatan P2P tidak berlesen sejak Julai 2025.
Namun demikian, beliau menyatakan bahawa proses siasatan yang rumit terhadap kes sedemikian memakan masa antara tiga hingga empat bulan.
Justeru, beliau berkata undang-undang baharu itu membolehkan pemerintah memanjangkan tempoh penahanan mandatori bagi kenderaan yang disita daripada sebulan kepada tiga bulan.
Perubahan ini membolehkan LTA mempunyai ruang dan masa yang mencukupi untuk menjalankan siasatan menyeluruh serta membina kes pendakwaan yang kukuh dan lengkap sebelum mengemukakannya ke mahkamah.
Selain langkah penguatkuasaan yang dipertingkat terhadap perkhidmatan pengangkutan P2P tidak berlesen, undang-undang baharu itu turut menyaksikan perubahan kepada beberapa perkara lain.
Ini termasuk langkah-langkah untuk membendung penggunaan kenderaan dinyahdaftar daripada terus digunakan di jalan raya dan memperketat kawalan jualan dalam talian dan keselamatan bateri peranti mobiliti aktif (AMD)
Ia juga memperkemas proses kawal selia dan memudahkan peningkatan skala secara berperingkat bagi robot mudah alih autonomi yang dikerahkan di laluan awam (AVPP) serta mempermudah peraturan pengecas kenderaan elektrik (EV) di rumah privet.