Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rebut peluang tersaji di sebalik cabaran pandemik 

Cik Nurhani Zailani Shatifan memanfaatkan peluang untuk mendapat sokongan daripada pelbagai inisiatif pemerintah berkenaan penjagaan dan peningkatan kemahiran bagi mengurangkan bebannya dan membolehkan beliau membina semula kerjayanya demi menjalani kehidupan yang diingini.
Jun 26, 2025 | 4:59 PM
Mengenang masa lalu, Cik Nurhani Zailani Shatifan mengimbas saat beliau menjaga arwah bapanya, memegang kain pelikat arwah bapanya yang beliau masih simpan.
Mengenang masa lalu, Cik Nurhani Zailani Shatifan mengimbas saat beliau menjaga arwah bapanya, memegang kain pelikat arwah bapanya yang beliau masih simpan. - Foto SPH MEDIA

BERITA PENGIKLAN

Meskipun diberhentikan kerja sebagai pengurus pelancong secara mendadak pada 2020 tatkala menjaga arwah bapanya yang sakit angin ahmar, Cik Nurhani Zailani Shatifan, 53 tahun, cekal mempertingkatkan kemahiran dan berikhtiar mencari pekerjaan.

Cik Nurhani berusaha menghantar pelbagai permohonan pekerjaan sejurus beliau diberhentikan kerja, tetapi beliau tidak menerima sembarang jawapan.

Dibelenggu ketidaktentuan, Cik Nurhani yang tergolong dalam ‘generasi terhimpit’ bimbang bagaimana dirinya boleh terus menampung kos penjagaan arwah bapanya di samping membesarkan lima orang anaknya yang masih bergantung kepadanya.

Anak-anaknya, empat lelaki dan seorang perempuan, kini berusia antara 17 dan 31 tahun.

Walaupun suaminya masih bekerja, beliau khuatir mereka tidak dapat menampung perbelanjaan keperluan keluarga dengan pendapatan yang berkurangan.

Terbaring di katil selepas diserang penyakit angin ahmar pada 2014, bapa Cik Nurhani (kiri) dijaga rapi dengan penuh kasih sayang oleh keluarga Cik Nurhani termasuk anak-anak kecilnya yang akan berlagak menjadi ‘doktor’ di sisi arwah bapanya.
Terbaring di katil selepas diserang penyakit angin ahmar pada 2014, bapa Cik Nurhani (kiri) dijaga rapi dengan penuh kasih sayang oleh keluarga Cik Nurhani termasuk anak-anak kecilnya yang akan berlagak menjadi ‘doktor’ di sisi arwah bapanya. - Foto NURHANI ZAILANI SHATIFAN

Apatah lagi, beliau menanggung pembayaran seorang pembantu yang menjaga arwah bapanya. Sebelum itu, pembantu itu juga menjaga arwah ibunya yang telah meninggal dunia pada Januari 2020.

Ekoran kehilangan pekerjaannya akibat pandemik, beliau akui ia telah menjejas keadaan kewangan keluarganya yang menyebabkan mereka sekeluarga berpindah daripada sebuah apartmen eksekutif Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) ke flat empat bilik HDB.

Namun, berpandangan positif, Cik Nurhani yang telah membina kerjayanya dalam bidang pengurusan penerbangan korporat dan MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) selama tiga dekad sejak tahun 1992, dengan kepakaran dalam merancang dan mengurus acara serta penerbangan korporat, mencabar dirinya untuk mencuba bidang baru.

Beliau mengambil kursus jurujual hartanah pada 2021 dengan menggunakan Kredit SkillsFuture.

Apabila beliau gagal peperiksaan kursus jurujual hartanah, Cik Nurhani tidak berputus asa. Beliau mendaftar untuk kursus diploma pendanaan SkillsFuture dalam jurusan pimpinan dan pengurusan sumber daya manusia di Institut SSTC.

Pada 2022, selepas arwah bapanya meninggal dunia, Cik Nurhani memberi tumpuan sepenuhnya untuk mencari pekerjaan, menghantar resume kepada pelbagai syarikat berbeza tetapi masih gagal mendapat tawaran pekerjaan.

“Saya tanya diri saya, ‘Apakah kesalahan saya? Saya mempunyai 30 tahun pengalaman bekerja. Mereka sepatutnya dapat melihat sesuatu dalam diri saya’. Tetapi, saya salah dan ketika itu, saya beritahu diri saya bahawa saya perlukan bantuan,” kata Cik Nurhani.

Mujurlah, beliau mendapat tahu bahawa Program Sokongan Bimbingan Kerjaya Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) menawarkan khidmat pembimbing kerjaya dari Ingeus, sebuah Penyedia Padanan Kerjaya yang dilantik oleh WSG.

Dengan bantuan pembimbing kerjayanya, Cik Nurhani mendapati bahawa resume beliau terlalu panjang - mempunyai lapan muka surat - yang menghalangnya mendapat perhatian majikan.

Dengan suami dan anak-anak di sisi, Cik Nurhani (tiga, dari kanan) mengharungi badai diberhentikan kerja, kesedihan dan cabaran menjaga arwah bapanya dan tampil lebih kuat dengan mempertingkatkan kemahirannya dan menerima pekerjaan baru.
Dengan suami dan anak-anak di sisi, Cik Nurhani (tiga, dari kanan) mengharungi badai diberhentikan kerja, kesedihan dan cabaran menjaga arwah bapanya dan tampil lebih kuat dengan mempertingkatkan kemahirannya dan menerima pekerjaan baru. - Foto SPH MEDIA

Lalu, beliau mengemaskini resumenya supaya ia lebih relevan dan bekerjasama dengan pembimbing kerjayanya, Cik Dorothea Wong, yang mengajarnya cara menggunakan LinkedIn dan rangkaian lain untuk mencari pekerjaan.

Melalui bantuan yang diterimanya, Cik Nurhani menjadi lebih konfiden dan terdedah kepada industri pekerjaan berbeza, di mana kemahirannya boleh dimanfaatkan dan menjadi aset.

Beliau juga mendapat tip praktikal mengenai temu duga virtual dan komunikasi di tempat kerja menerusi program ‘Women At Work’ (W@W) Yayasan Mendaki pada 2022.

Tidak lama kemudian, beliau mendapat temu duga di sebuah institusi pendidikan, Sekolah Perniagaan INSEAD.

Hasil daripada persiapan untuk sesi temu duga bersama pembimbing kerjayanya, Cik Nurhani akhirnya berjaya mendapat pekerjaan di Sekolah Perniagaan INSEAD, sebuah institusi perniagaan terkemuka.

Kini, Cik Nurhani merupakan seorang penyelaras kanan di jabatan lanjutan di Sekolah Perniagaan INSEAD, di mana, beliau menganjur acara untuk para pelajar dan alumni institusi pendidikan itu. Beliau juga berpeluang untuk ke kampus INSEAD di Perancis untuk menganjurkan acara di sana.

WSG sedia sokongan buat pencari kerja 

Sikap terbuka Cik Nurhani yang sanggup mempertingkatkan kemahiran dan mendapat bantuan pembimbing kerjaya sangat dialu-alukan pihak WSG. 

Menurut pihak WSG, pencari kerja yang sudah berumur, terutama 40 tahun ke atas sering kali menghadapi halangan emosi dan psikologi apabila mereka mencari pekerjaan baru. Perubahan mendadak boleh membuat mereka berasa kecewa, geram dan hilang daya keyakinan, terutama apabila bersaing bersama pencari kerja lebih muda. 

Lantaran itu, WSG menyediakan sokongan komprehensif untuk pencari kerja pertengahan kerjaya selain perkhidmatan bimbingan kerjaya untuk membantu mereka kembali ke alam pekerjaan.  

Melalui Program Penukaran Kerjaya (CCP) yang boleh didapati dalam sekitar 30 sektor, pencari kerja pertengahan kerjaya boleh melatih semula dan beralih kepada peranan baru dengan potensi pertumbuhan yang kuat.

Bagi individu yang menghadapi kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba, Skim Sokongan Pencari Kerja SkillsFuture menyediakan mereka dengan sokongan kewangan sementara mereka mencari pekerjaan yang menggunakan kemahiran dan pengalaman mereka dengan lebih baik. 

Pemohon yang layak boleh menerima sehingga $6,000 dalam tempoh melebihi enam bulan sambil mereka menyelesaikan aktiviti pencarian pekerjaan. 

WSG juga membantu memadankan pencari kerja dengan jawatan relevan melalui MyCareersFuture, portal pekerjaan dalam talian. 

Ciri terbarunya, CareersFinder, menyediakan cadangan yang diperibadikan untuk peningkatan kemahiran dan peluang kerjaya dengan menganalisis profil unik individu, membantu mereka memperoleh cerapan dalam trajektori kerjaya yang berpotensi dan kemahiran sepadan yang diperlukan, sambil mempertimbangkan aspirasi kerjaya mereka.

Mujurlah, ada sokongan daripada sudut penjagaan 

Mujurlah, sebelum kehilangan pekerjaan, Cik Nurhani mendapat tahu tentang Penjagaan Peribadi di Rumah yang ditawarkan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).

Ia diperkenalkan oleh seorang pekerja sosial ketika kedua ibu bapanya masih hidup dan telah meringankan sedikit beban kewangannya.

“Saya membuat permohonan untuk perkhidmatan Perubatan di Rumah dan Perawatan di Rumah, di mana doktor dan jururawat datang untuk memeriksa keadaan arwah ibu bapa saya,” kata Cik Nurhani.

Beliau juga berupaya mendapat Geran Penjagaan di Rumah (HCG) yang menawarkan bayaran tunai bulanan bagi perbelanjaan penjagaan dan Dana Mobiliti dan Pengupayaan Warga Emas (SMF) yang membantu warga emas membeli peranti mobiliti serta barangan penjagaan kesihatan di rumah.

Bantuan AIC yang diterima Cik Nurhani merupakan antara program dan perkhidmatan AIC buat penjaga di rumah.

Mengulas tentang program dan perkhidmatan AIC tersebut, jurucakap dari AIC berkata:

“Skim-skim kewangan AIC bertujuan mengurangkan beban kewangan dan perkhidmatan penjagaan. Kami mengalu-alukan penjaga yang layak untuk membuat permohonan bagi geran atau perkhidmatan AIC menerusi pekerja sosial perubatan mereka di hospital, atau kaunter AIC Link yang diadakan di hospital individu.”

Mulai Januari 2026, peningkatan selanjutnya akan dilaksanakan secara bertahap bagi skim HCG dan SMF. Penjaga yang kini layak akan menerima sehingga $600 sebulan di bawah HCG dan liputan SMF akan diperluaskan.

Bimbingan kerjaya memberi Cik Nurhani (depan, paling kiri) daya konfiden untuk membina kerjayanya semula. Kini, beliau merupakan seorang penyelaras kanan di jabatan lanjutan di Sekolah Perniagaan INSEAD, di mana beliau mendapat peluang untuk pergi ke kampus Eropah sekolah perniagaan itu di Perancis untuk kerja.
Bimbingan kerjaya memberi Cik Nurhani (depan, paling kiri) daya konfiden untuk membina kerjayanya semula. Kini, beliau merupakan seorang penyelaras kanan di jabatan lanjutan di Sekolah Perniagaan INSEAD, di mana beliau mendapat peluang untuk pergi ke kampus Eropah sekolah perniagaan itu di Perancis untuk kerja. - Foto NURHANI ZAILANI SHATIFAN

Banyak peluang kini untuk mempertingkatkan diri 

Berada di persekitaran berpendidikan kini mendorong Cik Nurhani untuk merebut peluang mengambil kursus yang boleh meningkatkan kemahirannya seperti berkenaan kecerdasan buatan (AI).

“Saya percaya, jika kita mahukan sesuatu dan melakukannya dengan sepenuh jiwa raga, kita pasti berjaya,” kata Cik Nurhani yang juga menggalakkan suami dan anak-anaknya untuk belajar sepanjang hayat.

Cik Nurhani (bertudung, dua dari kiri) merupakan juga menyelaras acara Kempen Robin Hood INSEAD, menyokong usaha mengumpul dana anjuran penuntut Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di institusi tersebut.
Cik Nurhani (bertudung, dua dari kiri) merupakan juga menyelaras acara Kempen Robin Hood INSEAD, menyokong usaha mengumpul dana anjuran penuntut Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di institusi tersebut. - Foto NURHANI ZAILANI SHATIFAN

Justeru, apakah nasihat beliau kepada mereka yang ingin kembali bekerja selepas bertahun-tahun tidak bekerja?

“Saya mahu menggalakkan mereka untuk merenung kekuatan mereka dan tanya diri sendiri, apa yang mereka benar-benar mahu dan ingin capai. Terdapat banyak peluang kini, walaupun dari rumah—sama ada untuk memulakan sebuah perniagaan kecil berdasarkan hobi seperti memasak atau membuat kuih dan ini adalah pilihan baik jika mereka perlu menjaga anak-anak di rumah. Apa yang penting ialah untuk mengambil langkah pertama dengan konfiden,” kata Cik Nurhani.

Beliau menambah bahawa wanita tidak seharusnya dipaksa memilih antara kerjaya dan keluarga. Sebaliknya, majikan perlu memainkan peranan dalam menyokong golongan ibu yang bekerja agar mereka dapat membina kerjaya dengan seimbang, dan dalam masa yang sama menjadi ibu yang terbaik untuk keluarga mereka.

Sila layari laman web, https://go.gov.sg/tfbroadshows-beritaharian, untuk mendapat maklumat lanjut tentang skim dan program dalam Laporan Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Singapore.

Rencana ini dibawakan oleh gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg