LONDON: Chelsea telah berjaya menandatangani pemain tengah England, Morgan Rogers, daripada Aston Villa pada 21 Julai dalam urus niaga, yang menurut media Britain bernilai 117 juta paun ($202 juta) – memecahkan rekod yuran pemindahan pemain Britain.

“Pemain berusia 23 tahun itu telah menandatangani kontrak di Stamford Bridge sehingga 2033,” kata Chelsea (The Blues) menerusi laman web mereka.

Rogers menjalani pemeriksaan perubatan pada 20 Julai selepas kembali daripada Piala Dunia.

“Saya sangat teruja. Bagi saya, Chelsea ialah kelab terbesar di London dan kelab yang sentiasa saya kagumi sejak kecil.

“Saya benar-benar teruja dengan projek bersama pengurus baru, pemain yang dimiliki dan hala tuju kelab ini. Itulah sebabnya saya berada di sini,” kata Rogers.

Pemindahan itu mengatasi rekod yuran pemindahan pemain Britain sebelum ini, yang dicatatkan Manchester City apabila mereka mendapatkan pemain tengah, Elliot Anderson, daripada Nottingham Forest dengan nilai 116 juta paun pada awal Julai.

Rogers kini menjadi pembelian termahal dalam sejarah Chelsea, mengatasi 107 juta paun yang dibayar untuk mendapatkan Enzo Fernandez daripada Benfica pada 2023.

Pemindahan itu menunjukkan cita-cita Chelsea, yang berjaya meyakinkan Rogers untuk meninggalkan Villa walaupun The Blues tidak akan beraksi dalam Liga Juara-Juara musim akan datang.

Chelsea memburu Rogers selama dua tahun dan telah dapat mengatasi Arsenal selepas juara Liga Perdana England (EPL) itu enggan memenuhi bayaran tinggi yang dituntut Villa.

Pemergian Rogers menambah tekanan kepada pengurus Villa, Unai Emery, selepas pemindahan pemain tengahnya, Youri Tielemans, ke Manchester United dan bek kirinya, Lucas Digne, yang dijangka menyertai Paris Saint-Germain.

“Seorang pemain yang memiliki etika kerja tinggi dan keazaman yang tidak boleh dipertikaikan, Morgan meninggalkan Aston Villa dengan ucapan selamat maju jaya daripada seluruh warga kelab,” umum Villa.

Rogers menjaringkan 21 gol dalam 85 penampilan liga bersama Villa dan memainkan peranan penting ketika kelab itu menjuarai Liga Europa dengan menewaskan Freiburg pada final pada Mei.

Musim lalu, beliau menjaringkan 14 gol serta melakukan 11 bantuan jaringan dalam 55 penampilan.

Pengurus baharu Chelsea, Xabi Alonso, kini perlu mencari jalan untuk menggabungkan Rogers bersama Cole Palmer, Pedro Neto, Estevao Willian dan seorang lagi yang hampir ditandatangani, Geovany Quenda, di bahagian serangan.

Selepas ketibaan Rogers, pemain sayap, Argentina Alejandro Garnacho, dijangka dijual sebelum jendela pemindahan ditutup.

Kehadiran Rogers membuktikan Chelsea masih mampu menarik pemain bertaraf dunia walaupun gagal layak ke saingan Eropah selepas menamatkan musim EPL di tangga ke-10.

Beliau akan menyertai Chelsea selepas berehat susulan kempen England di Piala Dunia. – Agensi berita.

“Saya sangat teruja. Bagi saya, Chelsea ialah kelab terbesar di London dan kelab yang sentiasa saya kagumi sejak kecil. Saya benar-benar teruja dengan projek bersama pengurus baru, pemain yang dimiliki dan hala tuju kelab ini. Itulah sebabnya saya berada di sini.”
Morgan Rogers.