Tindakan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) terhadap pembekal produk tempat perlindungan bom yang tidak mematuhi peraturan akan menjadi lebih mudah jika cadangan pindaan undang-undang keselamatan kebakaran diluluskan.

Rang Undang-Undang Perlindungan Awam dan Keselamatan Kebakaran (Pindaan Pelbagai), yang dibentangkan di Parlimen pada 4 Ogos, turut mencadangkan supaya tempoh sah lesen dan permit keselamatan kebakaran dilanjutkan.

Jika diluluskan, pindaan itu akan membolehkan SCDF mengambil tindakan terhadap pihak yang menjual produk tempat perlindungan yang tidak mematuhi peraturan, termasuk yang digunakan untuk mengubah suai ruang perlindungan bom di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Rang undang-undang itu juga mencadangkan agar had tempoh sah lesen dan permit yang dikeluarkan di bawah Akta Keselamatan Kebakaran dilanjutkan daripada tiga tahun kepada lima tahun.

SCDF berkata langkah itu akan mengurangkan beban pematuhan perniagaan.

Rang undang-undang itu turut memperkenalkan sistem pelesenan kelas bagi bahan petroleum dan bahan mudah terbakar yang berisiko rendah.

Bahan tersebut digolongkan mengikut kelas yang menentukan keperluan pelesenan bagi penyimpanan, pengangkutan, import dan saluran paip.

Peraturan ini meliputi penyimpanan bahan berkenaan di tapak pembinaan, stesen minyak, makmal tertentu serta bangunan yang menyimpan diesel semata-mata untuk penjana kecemasan mereka.

Langkah itu bertujuan mengurangkan beban kawal selia terhadap perniagaan.

Pelanjutan tempoh sah yang baharu itu tidak melibatkan lesen kelas ini kerana lesen tersebut tidak tertakluk kepada tempoh tertentu.

SCDF berkata di bawah sistem baharu itu, pemilik tapak yang layak tidak lagi perlu mendapatkan kelulusan lesen secara individu. Namun, mereka masih perlu memenuhi keperluan keselamatan kebakaran dan peraturan yang ditetapkan.

Pemegang lesen kelas, seperti stesen minyak, dibenarkan menyalurkan petroleum dan bahan mudah terbakar di tapak mereka mengikut syarat lesen kelas masing-masing.

Aktiviti berisiko tinggi yang melibatkan petroleum dan bahan mudah terbakar akan terus memerlukan lesen individu.

SCDF kini mengerahkan pegawai penguat kuasa tambahan untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan kebakaran.

Rang undang-undang itu turut mencadangkan pelantikan pegawai berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan pematuhan terhadap pengangkutan petroleum dan bahan mudah terbakar.

Langkah itu akan membolehkan pegawai SCDF memberi tumpuan kepada siasatan dan kejadian yang lebih rumit.

Cadangan pindaan lain termasuk memberi kelonggaran terhadap tempoh pelantikan panel siasatan serta memansuhkan Akta Senjata Kimia (Larangan) (Pindaan).

SCDF berkata rang undang-undang itu memperkukuh rangka kerja kawal selianya bagi mengekalkan kesediaan pertahanan awam dan piawaian keselamatan kebakaran, sambil menyokong persekitaran yang menggalakkan perusahaan dan mesra perniagaan.