Topik diikuti
Pergi ke BHkuSCDF perkenal robot pengalih kenderaan untuk tangani kebakaran EV
SCDF perkenal robot pengalih kenderaan untuk tangani kebakaran EV
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memperkenalkan robot sebesar kereta untuk menangani kebakaran kenderaan elektrik (EV), yang semakin popular dalam kalangan pembeli kereta berdasarkan angka terkini.
Robot pengalih kenderaan (VXR) itu memindahkan EV yang terjejas ke tempat yang selamat kerana kenderaan itu berisiko terbakar semula selepas api dipadamkan, sementara operasi diteruskan.
Ketika mengumumkan pelancaran robot itu pada 28 Oktober, Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, berkata EV menyumbang lebih 60 peratus pendaftaran kenderaan baharu di Singapura pada separuh pertama 2026.
Beliau menjangkakan penggunaan EV terus meningkat sambil berkata: “Ini membawa cabaran baharu kepada anggota bomba.”
“Bateri litium-ion boleh mengalami pemanasan melampau yang tidak terkawal, menyebabkan kenderaan terjejas berisiko terbakar semula walaupun api telah dipadamkan.”
Keadaan itu berlaku apabila tindak balas berantai yang tidak terkawal membebaskan haba yang sangat tinggi sehingga mencetuskan pembakaran bahan lain.
Cik Sim berkata robot itu diperkenal sedang SCDF memperkukuh keupayaan menangani kebakaran EV menerusi penyelidikan dan ujian pembakaran bagi meningkatkan peraturan keselamatan kebakaran dan tatacara operasi baharu, disokong peralatan khusus.
Berucap di Ekspo Pengurusan Bencana dan Kecemasan Antarabangsa Singapura di Singapore Expo, Cik Sim berkata VXR mampu memindahkan kenderaan terjejas ke tempat lebih selamat melalui kawalan jauh sehingga 300 meter, membolehkan anggota penyelamat menjaga jarak selamat semasa operasi pemulihan.
Robot yang bergerak menggunakan sistem trek itu mengalihkan kenderaan dengan mengangkat roda hadapannya. Robot itu juga akan menyelubungi kereta dengan air.
VXR akan memulakan ujian operasi di Balai Bomba Punggol pada Oktober 2026 dan Balai Bomba Kallang pada April 2027.
Pada acara yang disertai 48 agensi rakan antarabangsa itu, Cik Sim turut mengumumkan bahawa SCDF memperkukuh perkhidmatan perubatan kecemasan dengan ambulans generasi baharu yang direka sebagai ruang rawatan klinikal bergerak untuk memenuhi keperluan masa depan.
Sepanjang tiga hari berikutnya, lebih 650 peserta dari 45 negara akan bekerjasama untuk bertukar pengetahuan, mempamerkan keupayaan dan menjalin kerjasama pada acara itu.
Cik Sim turut berkata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura dan Pejabat Kabinet Jepun akan mempererat kerjasama dalam teknologi pengurusan bencana serta pertukaran pengetahuan mengenai dasar, rangka kerja dan amalan terbaik pengurusan bencana.
Acara itu menghimpunkan 103 pempamer dari lapan negara yang mengetengahkan teknologi, produk dan perkhidmatan terkini dalam pengurusan bencana.
Antara bahan pameran ialah jaket penyejuk badan, sistem pernafasan, kelengkapan perlindungan anggota bomba, sebuah bangunan tinggi dan dron pemadam kebakaran dari Korea Selatan.