Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekilas perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan
Sekilas perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan
Langkah bendung guna kenderaan pendaftaran sudah dibatal
Pemilik kenderaan yang mahu mengeksport kenderaan yang pendaftarannya sudah dibatalkan tidak lama lagi wajib berbuat demikian menerusi pengeksport bertauliah yang dilantik oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
LTA menyasarkan untuk melaksanakan Skim Pengeksport Bertauliah itu pada suku keempat 2027, setelah berunding dengan pihak industri, kata Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, di Parlimen pada 7 Oktober.
Semasa perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan, beliau berkata langkah itu akan mengurangkan risiko kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya daripada terus kekal di Singapura walaupun diisytiharkan telah dieksport.
Menyentuh tentang usaha pemerintah untuk membendung penggunaan kenderaan sedemikian, Encik Baey berkata pindaan itu bertujuan mengekalkan keberkesanan kawal selia pengangkutan darat.
Menerusi skim yang diumumkan itu, beliau berkata kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya hanya boleh dilupuskan menerusi pengeksport berlesen yang tertakluk kepada syarat pematuhan ketat.
“Skim baharu ini mewajibkan agar kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya dan bertujuan untuk dieksport dilupuskan hanya melalui pengeksport yang diberi kuasa oleh LTA, yang tertakluk kepada keperluan pematuhan,” kata Encik Baey.
Di samping itu, beliau berkata tempoh ihsan bagi pemilik kenderaan untuk menyerahkan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya kepada pengeksport, pusat sekerap atau pengendali Zon Pemprosesan Eksport bertauliah dipendekkan daripada sebulan kepada 14 hari.
Pesalah yang gagal memenuhi syarat pelupusan selepas disabitkan kesalahan di mahkamah pula akan berdepan denda harian sehingga $500, sampai kenderaan itu dilupuskan secara rasmi.
Perkemas peraturan cas kenderaan elektrik
Bagi menguruskan beban pematuhan pengecasan kenderaan elektrik (EV), pemerintah akan memansuhkan pemeriksaan wajib setiap dua tahun bagi pengecas EV yang dipasang di rumah privet.
Tindakan penguatkuasaan terhadap pengecasan EV secara haram, seperti penggunaan pengecas tidak berdaftar, penggunaan pengecas di lokasi terlarang atau secara tidak dibenarkan, juga akan dipermudahkan.
Menyentuh mengenai peraturan EV, Encik Baey berkata pemansuhan pemeriksaan berkala bagi pengecas di rumah privet dilaksanakan kerana kemudahan berkenaan menimbulkan risiko keselamatan awam yang lebih rendah.
Melalui perubahan ini, Encik Baey berkata pemerintah dapat mengurangkan kos pematuhan berulang yang ditanggung oleh pemilik pengecas EV.
“Pemilik pengecas akan terus bertanggungjawab terhadap kerja-kerja penyelenggaraan, dan LTA masih mempunyai kuasa untuk mengarahkan pemeriksaan ke atas pengecas tersebut sekiranya timbul kebimbangan khusus mengenai aspek keselamatan,” tambahnya.
Berhubung usaha memudahkan penguatkuasaan terhadap pengecasan EV secara haram pula, undang-undang baharu itu menetapkan bahawa seseorang yang didapati menyambungkan pengecas (haram) kepada EV, akan dianggap telah mengecas kenderaan tersebut, melainkan dibuktikan sebaliknya.
Langkah itu, kata Encik Baey, diambil kerana sering kali sukar untuk memastikan bahawa tenaga elektrik benar-benar dipindahkan daripada pengecas ke kenderaan, terutama bagi pengecas yang terletak di kawasan premis privet.