Skim pemulangan bekas minuman akan bermula pada 1 April, namun tempoh peralihan telah dilanjutkan daripada tiga bulan kepada enam bulan menyusuli maklum balas daripada pihak berkepentingan, umum Menteri Negara Kanan Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, Encik Janil Puthucheary.
Di bawah skim ini, pengguna akan membayar tambahan deposit 10 sen bagi minuman dalam botol dan tin antara 150 mililiter hingga tiga liter.
Deposit tersebut akan dipulangkan sepenuhnya apabila bekas minuman kosong yang mempunyai tanda Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS) dipulangkan di pusat pemulangan yang ditetapkan di seluruh Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Pelanjutan tempoh peralihan hingga 1 Oktober bermakna kebanyakan bekas minuman yang layak menerima deposit 10 sen hanya akan berada di rak jualan lebih hampir ke tarikh tersebut, walaupun skim bermula pada 1 April.
Dr Janil berkata dalam satu catatan Facebook pada 3 Januari, pelaksanaan skim ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pengendali BCRS, sebuah syarikat bukan meraih keuntungan yang ditubuhkan oleh konsortium pengeluar minuman seperti Coca-Cola Singapore Beverages, F&N Foods dan Pokka, yang bertanggungjawab menyelia pelaksanaan skim tersebut.
Menurut laman web Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), sepanjang tempoh peralihan, kedua-dua stok tanpa label BCRS dan stok berlabel BCRS boleh dijual.
Stok tanpa label tidak dikenakan deposit, manakala stok berlabel BCRS akan termasuk deposit 10 sen.
Sebelum ini, diumumkan tempoh peralihan hanya berlangsung sehingga 30 Jun bagi membolehkan industri minuman dan runcit menghabiskan stok lama yang tidak layak untuk bayaran balik.
Lebih 1,000 pusat pemulangan pula akan disediakan di pasar raya dan kawasan awam lain.
Berkata lebih lanjut, Dr Janil menyifatkan skim ini sebagai satu langkah penting ke arah matlamat ekonomi kitaran Singapura, dengan menggalakkan kitar semula bekas minuman seperti tin logam dan botol plastik.
Skim ini dijangka beroperasi selama tujuh tahun sehingga 31 Mac 2033.
Beliau menjelaskan maklum balas yang diterima menunjukkan tempoh peralihan asal selama tiga bulan mungkin tidak mencukupi untuk syarikat menghabiskan stok sedia ada.
Sehubungan itu, tempoh tersebut dilanjutkan kepada enam bulan, dari 1 April hingga 1 Oktober.
Dalam minggu-minggu akan datang, BCRS akan berkongsi lebih banyak maklumat kepada orang ramai, termasuk cara mengenal pasti tanda skim pada bekas minuman dan lokasi pusat pemulangan.
Dr Janil turut menambah usaha mendampingi dan libat urus dengan pengilang, peruncit serta premis makanan dan minuman akan dipergiatkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai skim ini.
Pelaksanaan skim ini menyusuli beberapa kelewatan sejak 2020, apabila NEA pada mulanya menyasarkan pelaksanaan menjelang 2022, sebelum tarikh tersebut ditunda beberapa kali.
Dr Janil menggesa orang ramai supaya menyokong perubahan ini, sambil mengingatkan setiap bekas yang dipulangkan memberi kesan kepada generasi akan datang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg