Singapura dan Argentina telah membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala termasuk peluang memperluas kerjasama dalam bidang seperti tenaga dan ekonomi digital di samping menekankan kepentingan mempererat hubungan antara Parlimen kededua negara.
Ini menjadi isu teras yang dibentangkan dalam pertemuan antara Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dengan Presiden Kumpulan Persahabatan Parlimen Argentina-Singapura dan Timbalan Negara bagi wilayah Cordoba, Cik Belén Avico, di Kongres Kebangsaan Argentina pada 20 Oktober.
Turut serta dalam perbincangan itu adalah Timbalan Negara bagi bandar Buenos Aires dan Presiden Suruhanjaya blok dagangan Amerika Selatan, Mercosur, di Dewan Rakyat, Encik Eduardo Valdés.
Mercosur yang ditubuhkan pada 1991 dianggotai Argentina, Bolivia, Brazil, Paraguay dan Uruguay sebagai anggota penuh, manakala Chile, Colombia, Ecuador, Guyana, Panama, Peru dan Suriname adalah anggota bersekutu.
Dalam satu kenyataan pada 20 Oktober, jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Encik Lee dan para Anggota Parlimen (AP) Argentina mengalu-alukan hubungan mesra antara kedua-dua negara, yang juga meraikan ulang tahun hubungan diplomatik ke-50 pada 2024.
“Encik Lee dan para AP Argentina mengalu-alukan hubungan mesra antara Singapura dengan Argentina yang telah bertahan selama 50 tahun.
“Mereka turut membincangkan langkah-langkah memperkukuh hubungan dua hala, termasuk peluang memperluas kerjasama dalam bidang tenaga dan ekonomi digital, serta menekankan kepentingan mempererat hubungan antara institusi perundangan kedua-dua negara,” kata PMO.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Kebangsaan bagi wilayah Salta, Cik Yolanda Vega; Timbalan Kebangsaan bagi wilayah Santa Fe, Encik Esteban Paulón; Pengarah Diplomasi Parlimen dan Kerjasama Antarabangsa di Dewan Rakyat, Cik Luciana Términe; serta Pengarah Asia dan Oceania, Kementerian Luar Negeri Argentina, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat, Encik Luis del Solar Dorrego.
Encik Lee kini dalam lawatan kerja ke Buenos Aires, Argentina, yang bermula dari 20 hingga 24 Oktober.
Dalam pada itu, Encik Lee juga mengalu-alukan komitmen para AP Argentina untuk mempercepat proses pengesahan Perjanjian Dagangan Bebas Mercosur-Singapura (MCSFTA) sebaik sahaja ia dibentangkan di Kongres Argentina, tambah PMO.
Perjanjian perdagangan itu, antara lain, dijangka menggalak keusahawanan serta mempercepat pendigitalan, pembangunan mampan dan keselamatan bekalan makanan, lapor The Straits Times (ST) pada Disember 2023.
Ia juga membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) memajukan perniagaan di lima ekonomi, merangkumi Singapura serta empat negara, Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay, yang dikenali sebagai sebahagian Mercosur.
Sebelum ini, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, berkata perjanjian itu akan menjadi Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) yang pertama antara kumpulan Mercosur dengan sebuah negara Asia Tenggara, dan akan membuka peluang pasaran baru bagi perniagaan Singapura dengan blok Amerika Selatan yang besar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg