Dalam dunia yang semakin dilanda ketidaktentuan dan perpecahan, usaha negara-negara untuk kekal terbuka, memperkukuh hubungan dan bekerjasama demi kemakmuran bersama, kini menjadi lebih penting daripada sebelumnya.

Dengan semangat ini, saya akan melawat China minggu ini untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Shenzhen, sebelum meneruskan lawatan ke Beijing.

Saya berharap dapat memperkukuh kerjasama dua hala kita dan membincangkan cara kita boleh menyumbang kepada pembentukan rantau Asia Pasifik yang lebih terbuka, saling terhubung dan makmur.

Shenzhen merupakan tuan rumah yang sesuai bagi mesyuarat Apec tahun ini (2026).

Dalam tempoh beberapa dekad sahaja, bandar itu telah berubah daripada sebuah pekan kecil menjadi pusat teknologi dan inovasi bertaraf dunia.

Pembangunannya yang luar biasa mencerminkan kejayaan dasar pembaharuan dan keterbukaan China, serta semangat dinamik dan daya cipta rakyatnya.

Kisah kejayaan Shenzhen turut membawa pengajaran yang lebih luas.

Dengan menerima perubahan, mengalu-alukan pelaburan dan menjalin hubungan dengan dunia luar, bandar-bandar dan negara-negara dapat membuka peluang baharu serta mengubah kehidupan rakyat mereka.

Pembangunan Singapura juga berteras keterbukaan.

Sebagai negara kecil dengan sumber terhad, kita sentiasa perlu melihat ke luar sempadan negara.

Kita telah menjalin hubungan dengan pasaran dunia dan mencari peluang untuk belajar daripada negara lain.

Penghargaan bersama terhadap keterbukaan dan hubungan dengan dunia luar menjadi asas penting dalam hubungan Singapura-China.

Persahabatan kita sudah terjalin lama sebelum hubungan diplomatik dimulakan pada 1990.

Generasi pemimpin terdahulu, termasuk mantan Perdana Menteri Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew, dan mantan pemimpin China, mendiang Encik Deng Xiaoping, telah meletakkan asas bagi hubungan yang lebih erat.

Generasi pemimpin seterusnya meneruskan usaha ini berlandaskan sikap saling menghormati, mempercayai dan memahami.

Tahun lalu (2025), kita menyambut ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik.

Sepanjang beberapa dekad, hubungan kita berkembang menjadi kerjasama yang erat dan bermakna.

Saya telah kerap melawat China dan menyaksikan sendiri kepesatan pembangunan serta perubahan luar biasa negara itu.

Seiring dengan perkembangan ekonomi China, kerjasama kita turut berkembang.

Tiga projek antara pemerintah kita menggambarkan perkembangan ini.

Kita bermula dengan Taman Perindustrian Suzhou (SIP) bagi menyokong pembangunan industri.

Kemudian, kita membangunkan Bandar Ekologi Tianjin untuk meneroka pendekatan baharu terhadap kehidupan bandar yang mampan.

Baru-baru ini, Inisiatif Ketersambungan Chongqing memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perdagangan dan hubungan antara daerah barat China dengan Asia Tenggara.

Setiap projek mencerminkan peluang dan keutamaan pada zamannya.

Secara keseluruhan, projek-projek ini menunjukkan bagaimana kerjasama kita terus menyesuaikan diri dengan perubahan, dengan kededua pihak saling belajar dan mencari pendekatan baharu untuk bekerjasama demi manfaat bersama.

Begitu juga, sejak Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) dua hala kita berkuat kuasa pada 2009, kita telah mempertingkatkannya secara berperingkat mengikut perubahan keperluan.

Kini, kerjasama kita tidak lagi terbatas kepada perdagangan dan pelaburan tradisional, malah merangkumi bidang baharu seperti ekonomi digital, kemampanan dan inovasi.

Saya percaya masih terdapat banyak ruang untuk kita memperluas kerjasama.

China sedang melaksanakan Rancangan Lima Tahun ke-15 yang menekankan pembangunan bermutu tinggi, inovasi dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Singapura pula telah menyelesaikan Semakan Strategi Ekonomi (ESR) bagi memperkukuh daya saing, memanfaatkan teknologi baharu dan mewujudkan pekerjaan yang baik untuk rakyat kita.

Ekonomi kita jauh berbeza dari segi saiz dan struktur, namun kita menghadapi cabaran yang sama.

Kita perlu mengharungi perubahan teknologi yang pesat, bersiap sedia menghadapi penuaan penduduk, melengkapkan pekerja dengan kemahiran baharu dan beralih kepada pertumbuhan yang lebih mesra alam dan mampan.

Cabaran-cabaran ini turut membuka peluang kerjasama baharu, khususnya dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) merentas pelbagai industri dan pembangunan teknologi baharu yang lain.

Kerjasama kita bukan sahaja penting bagi Singapura dan China, malah bagi seluruh rantau ini.

Kemajuan ekonomi Asia yang luar biasa dibina berteraskan keterbukaan, perdagangan, pelaburan dan hubungan yang semakin erat antara ekonomi.

Namun, pendekatan pertumbuhan ini menghadapi tekanan yang semakin hebat.

Ketegangan politik sejagat semakin memuncak.

Halangan perdagangan semakin meningkat.

Negara-negara kini lebih mengutamakan keselamatan ekonomi dan daya tahan rantaian bekalan mereka.

Kebimbangan ini boleh difahami.

Pemerintah mempunyai tanggungjawab untuk melindungi ekonomi dan rakyat mereka daripada gangguan.

Namun, sifat terbuka dan daya tahan tidak semestinya bercanggah.

Malah, hubungan yang lebih kukuh dan pelbagai dapat meningkatkan daya tahan ekonomi kita.

Dengan memperkukuh rangkaian serantau dan menegakkan peraturan yang jelas serta boleh dijangka, kita dapat menghadapi kejutan ekonomi dengan lebih baik sambil membuka peluang pertumbuhan baharu.

Oleh itu, Singapura kekal sebagai penyokong teguh kerangka ekonomi yang terbuka, melibatkan semua pihak dan berasaskan peraturan.

Kita percaya kerjasama serantau harus merapatkan hubungan antara negara, bukannya memecahbelahkan mereka kepada blok-blok yang saling bersaing.

Apabila Singapura mengambil alih jawatan Pengerusi Asean pada 2027, kita akan bekerjasama dengan negara anggota Asean lain untuk memperkukuh hubungan ekonomi serantau dan memperluas kerjasama dengan semua rakan kongsi, termasuk China.

Asean dan China sudah menjalin hubungan ekonomi yang erat dan bermakna.

Kawasan perdagangan bebas Asean-China telah membantu memperkukuh hubungan ini.

Peningkatan terbaharu perjanjian itu, meliputi ekonomi digital dan hijau, hubungan rantaian bekalan serta inovasi, akan membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan dan rakyat kita.

Apec menyediakan satu lagi wadah penting bagi kerjasama.

Tema Apec China bagi 2026, “Membina Masyarakat Asia Pasifik untuk Makmur Bersama”, amat bertepatan dengan keadaan semasa.

Penekanan terhadap sifat terbuka, inovasi dan kerjasama mencerminkan keperluan rantau kita untuk terus berkembang dan makmur.

Singapura berharap dapat bekerjasama dengan China dan semua ekonomi Apec yang lain untuk mencapai hasil yang bermakna di Shenzhen.

Kita akan meneruskan usaha ini apabila Singapura menjadi pengerusi Apec pada 2030.

Singapura dan China telah membina kerjasama yang kukuh selama beberapa dekad.

‘Perkongsian Berorientasikan Masa Depan Bermutu Tinggi Secara Menyeluruh’ kita mencerminkan kepelbagaian bidang kerjasama kita serta tekad kita bersama untuk terus memperkukuhkannya.

Ketika dunia menghadapi perpecahan yang semakin ketara, Singapura dan China boleh bekerjasama, bersama rakan kongsi lain, untuk menunjukkan bahawa keterbukaan, dialog dan kerjasama mempunyai nilai berkekalan.

Dengan memperkukuh hubungan dan bukannya mewujudkan halangan, kita dapat membantu membentuk rantau Asia Pasifik yang lebih berdaya tahan dan makmur, serta mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk rakyat kita semua.