Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura lancar pelan pendidikan Asean dengan tumpuan kepada AI dan STEM
S’pura lancar pelan pendidikan Asean dengan tumpuan kepada AI dan STEM
S’pura lancar pelan pendidikan Asean dengan tumpuan kepada AI dan STEM
Singapura mengenal pasti kecerdasan buatan (AI), sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), serta pembangunan murid secara menyeluruh sebagai tumpuan utama sistem pendidikan rantau Asean menerusi pelan kerja pendidikan baharu lima tahun.
Pelan Kerja Pendidikan Asean 2026–2030 dilancarkan pada 22 Julai oleh Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, bersama menteri pendidikan Asean lain.
“Pelan kerja ini mencerminkan tekad bersama untuk membangunkan sistem pendidikan yang mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan dunia dan teknologi, di samping memastikan peluang pendidikan bermutu yang saksama, menyokong kesejahteraan murid serta mengukuhkan hubungan serantau,” kata Encik Lee pada Mesyuarat Menteri Pendidikan (AEMM) Asean Ke-14 di Hotel Shangri-La.
Singapura turut menjadi tuan rumah kepada AEMM Asean Plus Three Ke-8 yang melibatkan negara Asean, China, Jepun dan Korea Selatan, dan AEMM Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-8 yang turut disertai Australia, India, New Zealand, Russia dan Amerika Syarikat pada 22 hingga 23 Julai.
Mesyuarat dua hari itu adalah yang pertama bagi Singapura sebagai Pengerusi Pendidikan Asean bagi 2026-2027. Delegasi akan melawat sekolah dan pusat pengajian tinggi tempatan, manakala Encik Lee mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya.
Pelan kerja itu bertujuan membina sistem pendidikan yang saksama dan bersedia menghadapi masa depan melalui penggunaan AI serta teknologi digital lain secara selamat dan bertanggungjawab, di samping membentuk murid yang seimbang, tenaga kerja berkemahiran serta identiti bersama Asean.
Pelan itu menggariskan enam matlamat termasuk menyediakan peluang pendidikan yang adil pada setiap peringkat kehidupan, memastikan pembelajaran murid selaras dengan pekerjaan masa depan dan keperluan ekonomi, serta meningkatkan keberkesanan pembelajaran serta kesejahteraan murid.
Ini dilakukan dengan memberi tumpuan kepada pembelajaran asas, memperkukuh penggubalan dan pelaksanaan dasar serta tadbir urus sistem yang bertanggungjawab, menggalak kerjasama Asean dan berkongsi sumber, serta memupuk identiti bersama yang lebih kukuh dalam kalangan murid, guru dan pihak berkepentingan lain di rantau ini.
Encik Lee turut mengemukakan tiga keutamaan memandangkan sistem pendidikan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan politik sejagat, perubahan ekonomi dan kesan AI yang semakin ketara.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga kesan AI berkembang sepenuhnya sebelum menyesuaikan kurikulum, pedagogi dan kaedah penilaian kita,” katanya.
Encik Lee turut menekankan kepentingan pendidikan STEM serta pembangunan menyeluruh yang merangkumi akhlak, keprihatinan dan pertimbangan yang baik, yang semakin penting apabila AI semakin meluas dalam kehidupan seharian.
Bagi tujuan itu, Singapura akan melaksanakan beberapa program serantau, katanya.
Singapura akan menganjurkan beberapa program serantau, termasuk Kem STEM Belia Asean Plus Three pada Mei 2027 dan Kem Pengembaraan Pelajar Asean pada November 2027, yang kedua-duanya akan diadakan di Singapura.