Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, Sweden perluas kerjasama dalam teknologi baharu, tenaga mampan
Presiden Tharman: Negara sehaluan perlu gabung keupayaan; kerjasama rapat tangani cabaran, rebut peluang bersama
S’pura, Sweden perluas kerjasama dalam teknologi baharu, tenaga mampan
Singapura dan Sweden akan memperluas kerjasama dalam tenaga mampan dan teknologi baharu, termasuk teknologi kuantum.
Institusi penyelidikan kededua negara juga akan bekerjasama dalam teknologi penentuan lokasi menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian mudah alih 6G generasi seterusnya, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam, pada 19 Oktober.
Teknologi itu bertujuan meningkatkan keupayaan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) yang lazim.
Kededua negara memeterai perisytiharan bersama bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam teknologi yang dipercayai dan inovatif di ibu pejabat Ericsson, Stockholm, pada 19 Oktober.
Tuan Presiden, yang berada di Sweden bagi lawatan negara selama lima hari, berkata kededua negara yakin bahawa ketika dunia semakin berpecah belah dan tidak menentu, “negara sehaluan perlu menggabungkan keupayaan masing-masing dan bekerjasama rapat untuk menangani cabaran serta merebut peluang bersama”.
Bercakap selepas sambutan rasmi di Istana Diraja Stockholm, Tuan Presiden berkata kededua negara kecil itu mencapai kemakmuran menerusi inovasi dan hubungan antarabangsa.
“Kami percaya akan kepentingan melabur dalam pembangunan rakyat, membina institusi kukuh dan memupuk perpaduan,” katanya bersama Raja Sweden, Carl XVI Gustaf.
Beliau berkata kededua negara turut mempertahankan undang-undang antarabangsa dan sistem kerjasama pelbagai hala berasaskan peraturan.
Perisytiharan itu ditandatangani oleh Setiausaha Tetap Penyelidikan dan Pembangunan Negara di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Singapura, Encik Ng Chad-Son, dan Ketua Pengarah Hal Ehwal Sedunia Sweden, Encik Mikael Lindvall, dengan disaksikan Tuan Presiden dan Raja Carl.
Perisytiharan itu menyatakan kededua negara akan meneroka kerjasama merangkumi bidang semikonduktor, Internet Pelbagai Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI), teknologi kuantum serta aplikasi 5G dan 6G.
Mereka juga mahu memperkukuh keselamatan siber, kriptografi pos kuantum dan daya tahan teknologi maklumat.
Ia termasuk meneroka pertukaran pengalaman dalam tadbir urus AI, transformasi digital, kawal selia dan kesediaan tenaga kerja.
Secara berasingan, Institut Teknologi Diraja Sweden, Ericsson dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) bersetuju membangunkan teknologi kedudukan generasi baharu.
Menurut NTU pada 19 Oktober, teknologi itu boleh menentukan lokasi robot, dron dan sistem berautonomi dengan tepat walaupun isyarat terhalang.
Tenaga mampan turut menjadi keutamaan, dengan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura dan Kementerian Iklim dan Perusahaan Sweden meneroka kerjasama lanjut.
Ini termasuk penjanaan elektrik rendah karbon melalui pembakaran langsung ammonia, yang boleh menjadi yang pertama di dunia.
Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP) juga akan memperkukuh kerjasama penyelidikan dengan Institut Teknologi Diraja dan Sekolah Ekonomi Stockholm, membuka lebih banyak peluang penyelidikan dan pertukaran akademik.
Tuan Presiden mengalu-alukan penglibatan Sweden dengan Asean, termasuk penyertaannya dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) pada Julai bersama Lithuania, Poland dan Romania.
Penyertaan dalam TAC diwajibkan bagi negara yang ingin menjalin kerjasama rasmi dengan Asean.
Dengan Singapura bakal menjadi pengerusi Asean pada 2027, beliau melihat peluang memperkukuh hubungan Sweden dengan Asia Tenggara dan Eropah.
Raja Carl berkata lawatan itu mempererat kerjasama sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kededua negara.
Sweden boleh mempelajari pengalaman Singapura dalam AI dan prasarana berdaya tahan, katanya.
Beliau turut memuji kejayaan Singapura menggabungkan perancangan bandar mampan dengan pertumbuhan dan inovasi.
Kepakaran kededua negara dalam automotif dan perdagangan maritim juga boleh memacu pengangkutan mampan.
Pada 17 Oktober, Tuan Presiden meninjau operasi ‘Connecting Stockholm’, usaha sama ComfortDelGro dan Go-Ahead Group, di stesen metro Kungstradgarden.
Sejak November 2025, syarikat itu mengendalikan tujuh laluan Metro Stockholm, merangkumi 100 stesen dan enam depoh.
Operasi kereta api terbesar ComfortDelGro di luar Singapura itu turut meliputi penyelenggaraan, perancangan perkhidmatan dan khidmat pelanggan.
Tuan Presiden turut menyebut Temasek sebagai syarikat Singapura yang memperluas kerjasama di Sweden.
Syarikat Sweden pula telah lama menyumbang kepada pembangunan inovasi Singapura.
AstraZeneca, misalnya, memulakan pembinaan kemudahan pengeluaran ubat barah bernilai AS$1.5 bilion ($1.9 bilion) pada 2024, yang pertama seumpamanya dalam industri farmaseutikal dunia.
Teknologi pertahanan Sweden juga menyokong pembangunan tentera laut dan udara Singapura selama lebih 40 tahun, diperkukuh melalui perjanjian pada 2024.
Mengimbau kembali lawatannya ke Singapura pada 2024, Raja Sweden menegaskan tekad bersama terhadap sistem peraturan antarabangsa, sains, inovasi dan kemampanan.
Beliau berkata hubungan enam dekad itu berasaskan sikap saling menghormati, kepentingan bersama dan kerjasama erat.