Dengan isterinya masih hilang dalam banjir Nepal-Tibet, Encik Selvaganesh, 43 tahun, buntu memikirkan apakah yang harus disampaikan kepada anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun.

Isterinya, Cik Shalinny Deavy, 40 tahun, sedang dalam perjalanan beribadah ketika banjir dan tanah runtuh melanda beberapa kawasan di tengah Nepal dan Tibet pada 26 Ogos.

Pada malam itu, Encik Selvaganesh memberitahu anak tunggal mereka ibunya hilang.

Pasangan Singapura itu telah mendirikan rumah tangga selama 10 tahun.

Encik Selvaganesh berkata: “Saya hanya memberitahu anak saya, ‘Amma (ibu) hilang’. Dia kata dia rindukan Amma, dan sebelum ke sekolah pada siang hari itu, dia telah berpesan agar memberitahu Amma supaya menelefonnya petang itu nanti kerana mahu bercakap dengannya.”

“Saya tidak tahu apa lagi yang perlu diberitahu kepadanya.”

Lebih 1,400 orang dilaporkan hilang akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal dan Tibet pada 26 Ogos, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 362 orang.

Lembaga Pelancongan Nepal berkata lebih 500 warga asing masih tidak dapat dihubungi, termasuk dari India, Amerika Syarikat, Ukraine, Malaysia dan Australia. Sembilan daripadanya warga Singapura.

Mesej terakhir Cik Shalinny kepada suaminya dihantar sekitar 9.15 pagi 26 Ogos, ketika beliau hendak melepasi imigresen di sempadan Nepal-China.

Beliau berkata akan memaklumkan perkembangan apabila berkesempatan.

Petang itu, seorang rakan menghubunginya untuk bertanya keadaan isterinya. Selepas mengetahui tentang banjir itu, beliau mula bimbang.

Apabila beliau memeriksa kedudukan isterinya menerusi aplikasi Find My, isterinya tidak dapat ditemui, dan kali terakhir dikesan di imigresen sempadan.

“Saya mengharapkan yang terbaik. Saya tidak tahu apa lagi yang boleh dilakukan,” katanya.

Bencana itu disifatkan sebagai tsunami daratan, yang bergerak hampir 170 kilometer (km) menyusuri lembah Bhote Koshi hingga ke tengah Nepal.

Rakaman video menunjukkan gelombang besar lumpur dan runtuhan menghanyutkan bangunan, pokok, kenderaan dan manusia dalam beberapa saat.

Cik Shalinny menyertai kumpulan 25 orang, termasuk dua lagi warga Singapura, dalam lawatan beribadah selama 15 hari di Nepal dan Tibet anjuran sebuah syarikat pelancongan Malaysia.

Perjalanan itu bermula pada 23 Ogos dari ibu negara Nepal, Kathmandu, menuju ke sempadan Tibet.

Seorang lagi anggota kumpulan warga Singapura, Encik S. Maniam, 66 tahun, kali terakhir menghubungi keluarganya sekitar 8 pagi pada 26 Ogos.

Beliau memaklumkan mereka akan memasuki China menjelang 1 petang dan hanya boleh dihubungi kira-kira sembilan jam kemudian.

Abangnya, yang tidak mahu dikenali, berkata keluarga mereka terus berdoa agar semua anggota kumpulan itu selamat.

Mereka menerima perkembangan daripada agensi pelancongan di Malaysia dan Nepal, dan sedang cemas menanti berita daripada pihak berkuasa Singapura.

“Kami terus berharap walaupun buntu, dan tidak pasti apa lagi yang boleh dilakukan,” katanya.

Warga Nepal, Encik Tom Shrestha, 56 tahun, pemilik Tims Restaurant & Cafe di Toa Payoh, berasal dari Chitwan, Nepal.

Beliau tidak mengenali sesiapa yang terjejas akibat banjir itu dan sedang berhubung dengan Persatuan Warga Nepal Singapura yang mewakili warga Nepal di sini.

Encik Shrestha berkata warga Nepal di sini pernah menyelaraskan kutipan sumbangan pada April 2015 bagi mangsa gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang mengorbankan kira-kira 9,000 orang dan mencederakan sekitar 22,000 di Nepal dan negara sekitarnya.

Beliau berkata: “Kami menerima terlalu banyak bekalan hingga restoran penuh. Banyak barangan terbuang dan lewat tiba di Nepal. Kali ini, lebih baik kita tunggu arahan pihak berkuasa.”

Presiden persatuan itu, Encik Indra Bahadur Gurung, berkata beliau mengadakan mesyuarat tergempar bersama jawatankuasa pada 26 Ogos.

Menurutnya, tiada sesiapa daripada masyarakat Nepal sini – yang terdiri daripada kira-kira 1,000 orang warga Nepal, tidak termasuk anggota Gurkha – berada di Nepal pada masa kejadian itu berlaku.

“Kami belum dapat memastikan jumlah mangsa yang terkorban atau cedera. Pihak berkuasa berkata penilaian mungkin mengambil masa beberapa hari atau minggu,” katanya.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pada 27 Ogos bahawa Kementerian Ehwal Luar (MFA) sedang berhubung dengan pihak berkuasa Nepal dan China bagi memberikan bantuan konsular kepada warga Singapura yang terjejas.

Menyampaikan takziah kepada keluarga terjejas, Encik Wong berkata: “Ingatan kami bersama rakyat Nepal dan China dalam waktu sukar ini, serta pihak berkuasa dan anggota kecemasan yang bertungkus lumus dalam usaha penyelamatan dan pemulihan. Kami berharap mereka yang hilang kembali dengan selamat.”

Dalam nasihat pada 27 Ogos, MFA meminta warga Singapura di Nepal supaya mengelakkan kawasan terjejas banjir seperti Rasuwa, Nuwakot, Dhading, Gorkha dan Chitwan, serta menjauhi sungai, tebing sungai, jambatan dan dataran rendah.

Warga Singapura yang melancong atau menetap di Nepal harus mendaftar melalui eRegister MFA di eregister.mfa.gov.sg

Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Singapura di New Delhi atau talian MFA 24 jam di +65-6379-8800/8855.

Palang Merah Singapura (SRC) berikrar menyumbang $50,000 dalam bantuan kemanusiaan dan akan melancarkan kutipan dana awam bagi membantu mangsa yang terjejas.

Mereka di Singapura yang terputus hubungan dengan ahli keluarga terdekat di kawasan terjejas boleh menghubungi rfl@redcross.sg