Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) sedang mengadakan latihan dua hala di Republik ini dari 10 hingga 17 Disember.
Latihan ketenteraan bersama yang dinamakan Exercise Cooperation, kini memasuki edisi ketujuh dan akan menumpukan pada operasi memerangi keganasan di kawasan bandar, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 10 Disember.
Mindef berkata latihan yang dimulakan pada 2009 akan menampilkan latihan lapangan peringkat batalion, dan akan dijalankan buat pertama kali di Safti City, lapor The Straits Times (ST).
Kawasan latihan itu dilengkapi alat pintar yang memberikan maklum balas masa nyata bagi menyokong pelbagai jenis operasi, termasuk memerangi keganasan, menurut kementerian itu.
Latihan ini melibatkan 90 anggota daripada Divisyen Singapura ke-3 SAF dan Batalion Komando Pertama, serta 90 anggota daripada Kumpulan Tentera Darat Tentera Komando Teater Selatan PLA, iaitu Kumpulan Tentera ke-74.
Sepanjang latihan, para peserta dari kedua-dua angkatan tentera akan menjalani latihan taktikal, menembak senjata kecil, penggunaan dron untuk peninjauan asas dan rondaan, serta aktiviti pengukuhan perpaduan.
“Interaksi ini bertujuan memperkukuh pertukaran profesional dan meningkatkan hubungan rakyat-dengan-rakyat,” tambah Mindef.
Pada upacara pembukaan pada 10 Disember, Ketua Staf Divisyen Singapura ke-3, Kolonel Yow Thiam Poh, berkata:
“Exercise Cooperation menggambarkan hubungan pertahanan yang mesra dan hangat antara Singapura dan China.
“Ia membina kepercayaan bersama antara PLA dan SAF, serta membolehkan anggota kita dari kedua-dua pihak memperkukuh hubungan dan menjalin ikatan.”
Rakan sejawatnya, Komander Briged bagi Kumpulan Tentera ke-74, Kolonel Kanan Chen Wenyan, berharap semua peserta akan mengekalkan taraf tempur di lapangan, dan mengambil peluang ini untuk memperhalusi kemahiran serta meningkatkan kecekapan operasi.
Beliau menambah: “Kita mesti terus belajar antara satu sama lain, berkongsi pengalaman dan meningkatkan keupayaan bersama.
“Kita mesti terus membina kesepakatan, mendalami pemahaman dan memperkukuh kepercayaan bersama melalui kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak.”
Mindef turut menyatakan bahawa kedua-dua institusi pertahanan berinteraksi secara berkala melalui penglibatan peringkat tinggi, lawatan timbal balik, pertukaran akademik dan kehadiran silang dalam kursus-kursus latihan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg