Akibat tidak sabar untuk mencuba sukan baru, pemain bola keranjang Putri Qaleysha Edora Muhammad Firdaus, 12 tahun merupakan antara peserta yang pertama untuk tiba di Sekolah Rendah Bedok Green bagi satu klinik bola sepak pada 13 Disember.
Meskipun klinik bola sepak anjuran Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East itu bermula pada 9 pagi, Putri Qaleysha dan enam orang anggota keluarganya termasuk ibu bapa, adik perempuan, dan tiga saudara, tiba di sana seawal 7.40 pagi.
Pada awalnya, Putri Qaleysha berkata dia berasa gementar dan sedikit takut melihat beberapa peserta lebih dewasa daripada dirinya di kantin sekolah. Namun, dia berjaya membuat rakan baru sepanjang sesi latihan tiga jam itu.
“CCA (kegiatan kokurikulum) saya adalah bola keranjang dan sebenarnya adik saya yang bermain bola sepak dalam keluarga kami.
“Tetapi bila ada peluang ini, saya pun beritahu ibu dan bapa yang saya ingin cuba pelajari sukan kegemaran ramai dalam kalangan keluarga saya.
“Daripada latihan, saya rasa mungkin saya boleh jadi penjaga gawang sebab saya selalu gunakan tangan saya ‘handball’ tadi,” kata Qaleysha berseloroh apabila ditemui Berita Minggu (BM) setelah tamat latihan.
Putri Qaleysha yang baru sahaja menerima keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan bakal menerima keputusan penempatan sekolah Menengah 1 tidak lama lagi berharap diterima menyertai Sekolah Menengah Dunman atau Bedok View yang mempunyai pasukan bola sepak perempuan.
Dia juga merupakan antara 30 kanak-kanak dan belia berusia antara 12 hingga 16 tahun yang mengambil bahagian dalam sesi pertama Klinik Bola Sepak @ South East.
Beberapa lagi sesi telah dijadual bagi separuh pertama 2026, yang antara lain membuka tirai program perintis pada pertengahan 2026 yang bertujuan menyediakan latihan bola sepak percuma serta bimbingan akademik kepada belia rentan, kata Mayor CDC South East Encik Dinesh Vasu Dash.
Encik Dinesh, yang juga Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia) berkata:
“Kami berharap bola sepak bukan sahaja dapat meningkatkan minat belia, tetapi juga memperbaiki kecergasan, daya tahan, dan disiplin mereka, kesemuanya boleh digunakan secara langsung jika dilihat dari perspektif akademik.
“Kami mahu pelajar kami cemerlang. Kami mahu pelajar kami menjadi serba boleh, dan sifat-sifat yang anda lihat dalam bola sepak serta apa yang anda lakukan di padang sebenarnya adalah berkesan, bukan sahaja di dalam bilik darjah, tetapi juga dalam kehidupan pada masa hadapan.”
Beliau menambah matlamat utama program perintis itu adalah untuk menyokong belia rentan seperti mereka yang berada dalam situasi sukar di rumah untuk membantu mereka keluar daripada situasi yang dihadapi.
Peserta bagi klinik bola sepak pada 13 Disember tersebut telah dikenal pasti oleh CDC South East dengan kerjasama pihak sekolah, Agensi Perkhidmatan Sosial (SSA) yang berkaitan dengan belia dan Pejabat Perkhidmatan Sosial (SSO) Bedok.
Turut menyertai klinik bola sepak tersebut ialah dua bekas pemain bola sepak nasional Fandi Ahmad dan Yahya Madon yang membantu melatih belia mengawal serta menghantar bola.
Klinik bola sepak itu ditaja oleh syarikat bangunan dan pembinaan Eltraco International Group dan Bosses United iaitu pasukan bola sepak komuniti untuk pemimpin perniagaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg