Usia tidak menjadi penghalang untuk Encik Muhammad Azhar Ismail (gambar), 49 tahun, meningkat kemahirannya dan menceburi bidang baru dalam industri membangun.
Malah, beliau yang telah berkecimpung dalam sektor keselamatan dan logistik sekitar 26 tahun, kini bercita-cita ingin menjadi Jurutera Awan (Cloud Engineer) pada masa depan.
“Semakin saya berusia, kerja logistik pun menjadi semakin mencabar. Tidak seperti dulu bila saya masih muda. Jadi saya rasa penting untuk saya orak langkah mencari pekerjaan baru yang lebih sesuai.
“Saya pun memang minat ingin tingkat diri saya agar saya boleh bekerja dalam sektor yang mempunyai permintaan tinggi pada masa depan seperti keselamatan siber dan kejuruteraan awan,” kata Encik Azhar, yang tinggal di sebuah flat sewa awam bersama keluarganya di Cassia Crescent.
Beliau, yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak, telah mendaftar dan menjalani Program Jurutera Sokongan Desktop di bawah Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture (SCTP) NTUC LearningHub dari Mac hingga September.
Program tersebut menyediakan peserta untuk menceburi kerjaya dalam bidang IT dengan kemahiran teknikal dan pengetahuan seperti dalam sistem pengendalian Windows Microsoft, macOS Apple, ITIL 4 Foundation dan prinsip pentadbiran komputer peribadi.
Antara contoh pekerjaan dikaitkan dengan kemahiran tersebut termasuk Jurutera Sokongan Desktop Kanan, Pentadbir Sistem, Pentadbir Rangkaian, Pengurus IT atau Penganalisis Keselamatan Siber.
Namun, bagi Encik Azhar, beliau tidak berhenti di situ sahaja.
Beliau kini telah mendaftar untuk sebuah Sijil Profesional Lanjutan bagi Program Kejuruteraan Infrastruktur Awan yang dikendalikan oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU) secara sambilan dari Disember hingga Jun 2025.
Menerusi kursus tersebut, Encik Azhar bakal terdedah kepada pengetahuan infrastruktur asas, teknologi pengkomputeran awan serta produk-produk awan yang sering digunakan oleh pengamal kejuruteraan awan.
“Setelah menjalani beberapa kursus IT, saya mula minat dengan aspek kejuruteraan awan. Saya harap setelah melalui kursus ini, saya boleh mendapat kerja baru dalam bidang tersebut.
“Saya tidak fikir usia akan menjadi penghalang kerana industri ini masih memerlukan bakat dan kemahiran. Jadi, saya rasa, inilah peluang saya,” ujar Encik Azhar.
Pengalamaan Encik Azhar adalah antara contoh usaha berterusan antara Yayasan Mendaki dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), di bawah inisiatif M3, untuk menggalak masyarakat mempelajari kemahiran dan meneroka kerjaya baru dalam industri membangun dan baru muncul seperti teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Bercakap di sidang media pada 9 Oktober bagi membentangkan Laporan Lima Tahun M3 di bawah Mendaki, Timbalan Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, berkata M3 akan terus menyokong dan menggalak lebih ramai pekerja Melayu/Islam untuk meningkatkan kemahiran baru dan beralih ke industri baru muncul.
Ini katanya, adalah sebahagian daripada usaha menyediakan pekerja Singapura untuk kekal bekerja dan tingkat daya kerja untuk ekonomi masa depan memandangkan pekerjaan akan berubah disebabkan pendigitalan dan automasi.
“Sifat pekerjaan akan berubah. Itulah sebabnya kami banyak menumpukan pada peningkatan kemahiran.
“Sesetengah pekerjaan akan berubah pada masa hadapan. Jika kita tidak bersedia untuk ini, satu-satunya kebimbangan saya ialah masyarakat kita akan ketinggalan,” kata Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia).
Encik Azhar berkata pihak Mendaki juga memberi sokongan kepadanya dengan menyorot beberapa peluang kerja baru serta kursus peningkatan kemahiran.
Selain menjalani kursus, pegawai NTUC LearningHub, yang bekerjasama dengan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), turut memberi nasihat kerjaya kepadanya dan membantu menyemak resumenya.
“Insya-Allah, setelah saya tamat kursus saya tahun depan, saya akan cuba sekali lagi untuk mendapat nasihat Mendaki, NTUC dan juga e2i untuk teroka peluang pekerjaan baru dalam bidang ini,” ujar Encik Azhar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg