Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WP tubuh panel disiplin tentukan jika Pritam langgar perlembagaan parti

Jan 3, 2026 | 2:06 PM
Pritam Singh, workers party, wp
Ketua Pembangkang dan Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, bercakap kepada media di luar Mahkamah Agung pada 4 Disember 2025. - Foto ST

Parti pembangkang, Parti Pekerja (WP), akan membentuk sebuah panel disiplin bagi menilai sama ada ketua partinya, Encik Pritam Singh, melanggar perlembagaan parti susulan sabitannya di mahkamah.

Parti itu berkata dalam satu kenyataan pada 3 Januari bahawa jawatankuasa eksekutif pusat (CEC), iaitu badan penentu keputusan tertinggi parti yang turut disertai Encik Pritam, telah mengarahkan pembentukan panel tersebut.

WP berkata CEC bermesyuarat sehari sebelumnya bagi membincangkan perkara yang timbul daripada penghakiman Mahkamah Tinggi Singapura pada 4 Disember, yang mengekalkan sabitan Encik Pritam atas dua pertuduhan berbohong kepada sebuah jawatankuasa Parlimen.

Mesyuarat pada 2 Januari itu turut membincangkan satu permohonan terbaru untuk mengadakan persidangan khas anggota kader, lapor The Straits Times (ST).

Parti itu sebelum ini berkata dalam satu kenyataan pada 28 Disember bahawa satu permohonan untuk mengadakan persidangan khas tersebut telah dikemukakan, dan pengerusi parti, Cik Sylvia Lim, mengakui penerimaan permohonan berkenaan.

WP berkata dalam kenyataannya pada 3 Januari, CEC juga membuat kesimpulan adalah wajar untuk mengadakan persidangan khas anggota kader selepas panel disiplin selesai menjalankan tugasnya, dengan mengambil kira keperluan mematuhi proses sewajarnya.

CEC terdiri daripada 19 anggota, termasuk 12 Anggota Parlimen (AP) yang dipilih, antaranya Encik Pritam dan pengerusi parti, Cik Lim.

Bekas AP GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, yang merupakan naib pengerusi parti, serta Encik Low Thia Khiang, bekas setiausaha agung, juga merupakan anggota jawatankuasa itu.

Menurut WP: “Bagi mengelakkan kelewatan yang tidak wajar, CEC menetapkan garis masa supaya proses disiplin ini diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

“Notis persidangan khas anggota kader akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu selepas proses disiplin itu selesai.”

Walaupun parti itu tidak merujuk kepada mana-mana peruntukan perlembagaannya dalam kenyataan tersebut, Encik Pritam sebelum ini, ketika mengumumkan peletakan jawatan dua anggota parti pada 2023 ekoran hubungan sulit sebelumnya, berkata “Perlembagaan WP menghendaki calon bersikap jujur dan berterus terang dalam urusan mereka dengan parti dan rakyat Singapura”.

Perlembagaan itu juga menyatakan persidangan khas anggota kader boleh diadakan pada bila-bila masa oleh pengerusi parti, CEC, atau 10 peratus daripada keanggotaan kader atau sekurang-kurangnya 20 anggota kader, mengikut mana yang lebih tinggi.

Sumber parti mengesahkan kepada ST yang lebih 20 anggota kader telah menandatangani dan mengemukakan sepucuk surat bagi menggesa persidangan khas diadakan pada Februari.

Antara isu yang mereka ingin bangkitkan ialah sama ada Encik Pritam perlu berundur sebagai ketua parti, kata mereka dengan syarat identiti dirahsiakan memandangkan anggota parti tidak sepatutnya bercakap kepada media.

Anggaran terdahulu mengenai jumlah anggota kader WP dilaporkan sekitar 100 orang.

Hanya anggota kader, yang dilantik oleh CEC, dibenarkan hadir dan mengundi dalam persidangan anggota kader.

Perkembangan ini berlaku menjelang perbincangan di Parlimen pada Januari mengenai tindak balas yang wajar terhadap sabitan Encik Pritam.

Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, berkata sabitan Encik Pritam membawa kesan kepada pemimpin parti, Cik Sylvia Lim dan Encik Faisal Manap.

Perkara ini akan menjadi sebahagian daripada perbincangan Parlimen yang akan bersidang pada 12 Januari.

Memandangkan kes mahkamah Encik Pritam telah selesai dan beliau didapati bersalah berbohong, perkara-perkara ini akan dibangkitkan untuk dibincangkan, kata Cik Indranee dalam satu kenyataan pada 22 Disember.

Pada 4 Disember, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan Encik Singh pada 17 Februari atas dua pertuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP), yang turut melibatkan denda $14,000.

COP pada Februari 2022 telah mengeluarkan satu laporan yang menyatakan “tindakan yang sesuai” terhadap Encik Pritam, Cik Lim dan Encik Manap akan ditangguhkan.

Penangguhan itu berkait dengan peranan mereka dalam ketidakbenaran mantan AP ahli WP, Cik Raeesah Khan, kepada Dewan dan COP, sementara siasatan atau prosiding jenayah terhadap Encik Pritam diselesaikan.

Perbicaraan Encik Pritam bermula pada Oktober 2024.

Mahkamah kemudian mendapati beliau telah berbohong kepada COP mengenai dua isu utama, iaitu sama ada beliau telah memberitahu Cik Khan supaya membawa bohongnya ke kubur, dan maksud sebenar beliau apabila berkata tidak akan menghakiminya.

WP berkata pada 17 Disember ia telah memulakan “proses dalaman” parti susulan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 4 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg