Lebih $1.45 juta berjaya dikumpulkan melalui EmployWell, usaha utama Yayasan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF Foundation), bagi membantu golongan rentan supaya mendapatkan pekerjaan yang sesuai.
Menurut SBF, dana itu disumbang oleh 22 syarikat korporat selepas lebih 1,000 peserta mengambil bahagian dalam acara pertama ‘EmployWell–Walk for Work’ 2025 pada 9 November di Marina Bay.
Pemimpin perniagaan dan pekerja daripada lebih 40 syarikat menyertai acara berjalan sejauh 4 kilometer (km) itu, yang bertujuan mempromosi pengambilan pekerja secara terangkum dan penyertaan semula pekerjaan, lapor The Straits Times (ST).
Antara syarikat yang turut serta ialah Micron Semiconductor, SBS Transit (SBST) dan Stahl Asia Pacific, masing-masing menghimpunkan lebih 100 pekerja bagi acara yang dilancarkan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam itu.
“Pengambilan pekerja secara terangkum bukan sekadar tanggungjawab sosial korporat,” kata Tuan Presiden, yang juga penaung Yayasan SBF, cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR) SBF.
“Apabila kami membuka peluang kepada mereka yang melalui perjalanan sukar, kami membina pasukan dengan pandangan yang lebih luas,” kata Tuan Presiden.
EmployWell ialah program penyertaan semula pekerjaan yang menghubungkan individu rentan, termasuk mereka tanpa tempat tinggal, yang pulih daripada masalah kesihatan mental serta wanita yang berdepan cabaran peribadi atau sosial, dengan majikan yang menyediakan persekitaran kerja mantap dan menyokong.
Sejak dilancar pada 2022, program itu telah membantu 900 individu mendapat pekerjaan di lebih 140 syarikat terangkum.
Kira-kira 70 peratus kekal bekerja selepas tiga bulan, menunjukkan sokongan di tempat kerja penting bagi mengekalkan pekerjaan jangka panjang.
Hasil kutipan daripada ‘Walk for Work’ 2025 akan digunakan bagi latihan, penempatan dan penglibatan majikan di bawah EmployWell.
SBF akan turut memperluas sokongan kepada golongan rentan lain melalui latihan semula, kerjasama dengan majikan dan model kerja fleksibel.
“Kami berterima kasih kepada masyarakat perniagaan bukan sahaja kerana hadir, malah atas sumbangan dermawan mereka,” kata Cik Jean Tan, Ketua Eksekutif Yayasan SBF.
“’Walk for Work’ 2025 mencerminkan kepercayaan bersama bahawa ekonomi berdaya tahan ialah ekonomi yang menghargai setiap pekerja, iaitu menilai kejayaan bukan sekadar melalui pertumbuhan ekonomi, malah melalui kemajuan sosial dan tujuan bersama,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg