Ye Kung: Dasar terbaru MOH peralihan penting, daripada rawatan kepada pencegahan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: Dasar terbaru MOH peralihan penting, daripada rawatan kepada pencegahan

Cara terbaik bendung kos penjagaan kesihatan ialah untuk pastikan warga kekal sihat
Mar 8, 2026 | 3:38 PM

Ye Kung: Dasar terbaru MOH peralihan penting, daripada rawatan kepada pencegahan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
penyakit kronik
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, ketika bertemu wartawan di Woodlands Mart pada 8 Mac. - Foto ST

Pengumuman Kementerian Kesihatan (MOH) di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) 2026 baru-baru ini bukan perubahan dasar yang besar, tetapi peralihan penting yang menandakan penilaian semula terhadap dasar yang telah lama diamalkan, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung pada 8 Mac.

Bercakap kepada wartawan di Festival Wanita Sembawang West di Woodlands Mart, Encik Ong menekankan bahawa dasar kesihatan kini beralih daripada pendekatan tradisional yang hanya tertumpu kepada rawatan ketika sakit, kepada mengutamakan perubatan pencegahan.

MOH telah mengumumkan beberapa perubahan semasa COS Belanjawan 2026, antaranya menaikkan had pengeluaran MediSave dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menangani penyakit kronik.

Mengulas lanjut, Encik Ong berkata:

“Kami (pemerintah) kini bersedia untuk meluaskan MediShield Hayat bagi merangkumi pembedahan pencegahan, sesuatu yang tidak pernah kami lakukan sebelum ini,” katanya, merujuk kepada skim insurans kesihatan nasional tersebut.

Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, menambah bahawa ini mampu dilakukan disebabkan kemajuan sains, terutamanya dalam bidang genomik dan AI.

“Anda dapat mengelakkan rawatan yang menyakitkan di kemudian hari, selain ia lebih menjimatkan kos dan sebenarnya tidak membebankan sistem kewangan kita,” katanya.

Beliau menambah: “Cara terbaik membendung kos penjagaan kesihatan adalah dengan kekal sihat... dan itu merupakan teras utama transformasi penjagaan kesihatan kami: untuk memastikan kita mengamalkan penjagaan pencegahan yang baik.”

Perubahan kepada skim MediSave juga menunjukkan bahawa ia tidak lagi mempunyai satu objektif tradisional sahaja, kata Encik Ong.

Beliau menjelaskan bahawa apabila MediSave dilaksanakan berdekad-dekad yang lalu, objektif utamanya adalah untuk mengadakan simpanan bagi kegunaan hari hujan, termasuk pembedahan kecemasan, atau penginapan di hospital bagi jangka masa yang lama.

Menurutnya, dengan jangka hayat yang semakin panjang, pemerintah mengiktiraf bahawa MediSave kini mempunyai dua objektif.

Satu lagi objektif MediSave adalah membolehkan penduduk mengamalkan penjagaan pencegahan yang baik dan menguruskan penyakit kronik dengan berkesan, kata Encik Ong.

“Oleh itu, kita kini perlu mengimbangi kedua-dua objektif tersebut dalam sistem MediSave.”

Ditanya wartawan sama ada had pengeluaran baharu dana MediSave bagi rawatan penyakit kronik masih terlalu rendah, Encik Ong menjawab bahawa pengurusan dana MediSave adalah satu “permainan campur-tolak” atau zero-sum game.

Ia adalah sesuatu yang perlu diuruskan dengan berhati-hati, kerana menggunakan lebih banyak keperluan hari ini bermakna simpanan yang tinggal untuk masa hadapan akan berkurangan.

Semasa COS pada 5 Mac, Encik Ong telah menekankan tiga inisiatif di Parlimen bagi menyokong keperluan penjagaan kesihatan Singapura yang sedang berkembang.

Ia adalah penggunaan AI dalam memperkukuh penyampaian penjagaan kesihatan, ujian genetik untuk penjagaan pencegahan, dan menjadikan MediSave lebih fleksibel bagi membantu pesakit memenuhi keperluan penjagaan kronik dan pencegahan mereka dengan lebih baik.

Dianggarkan seramai 2,000 orang layak mendapat manfaat itu setiap tahun, dengan ujian tersebut juga akan ditawarkan kepada ahli keluarga terdekat bagi mereka yang diuji positif.

Bermula 1 Januari 2027, pemerintah juga akan menaikkan had mengeluarkan Wang MediSave atau dikenali sebagai MediSave500/700.

Skim itu buat masa ini membenarkan rakyat Singapura mengeluarkan sehingga $500 setahun daripada akaun MediSave mereka untuk rawatan pesakit luar bagi keadaan kronik di bawah Program Pengurusan Penyakit Kronik (CDMP).

Ini berserta vaksinasi dan ujian pencegahan terpilih.

Mereka yang mempunyai keadaan kronik yang kompleks dan memerlukan rawatan lebih intensif kini boleh mengeluarkan sehingga $700 setahun.

Skim itu akan dinamakan semula sebagai skim Penjagaan Kronik dan Pencegahan MediSave, dan had pengeluaran masing-masing akan dinaikkan kepada $700 dan $1,000.

CDMP, yang merangkumi 23 keadaan kronik utama termasuk kencing manis melitus, darah tinggi dan angin ahmar, juga akan diperluaskan untuk merangkumi gangguan tiroid, dengan rancangan untuk menambah keadaan lain seperti ekzema pada masa hadapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg