Lebih 3,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara 3 hingga 16 tahun berpeluang membawa pulang bola sepak edisi khas – selepas berpeluang bermain sukan itu di Stadium Negara.
Ini merupakan sebahagian daripada Fiesta Akademi Bola Sepak ActiveSG (AFA) yang berlangsung dari 2 hingga 3 Ogos.
Dinamakan ‘Football Everyday’, acara itu bertujuan memupuk budaya bola sepak dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.
Dibiayai sebahagiannya oleh Yayasan Olimpik Singapura, inisiatif itu juga menggalakkan pemain muda menjadikan bola sepak sebahagian daripada rutin harian mereka.
Bola sepak percuma diedarkan kepada kanak-kanak daripada AFA, Pusat Pembangunan Nasional (NDC) dan SportCares – cabang dermawan Sport Singapore yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa belia yang terpinggir.
Bola sepak yang diedarkan semasa fiesta tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif yang lebih besar, dengan lebih 5,000 biji bola sepak bakal diagihkan kepada pemain bola sepak muda daripada ketiga-tiga program tersebut.
Pengetua AFA yang juga merupakan bekas pemain antarabangsa Singapura, Aleksandar Duric, berkata fiesta itu merupakan satu wadah yang memberi peluang kepada kanak-kanak dari pelbagai tahap keupayaan untuk bermain di Stadium Negara.
“Bagi ramai daripada mereka, inilah impian – untuk suatu hari nanti kembali bermain di pentas seperti ini sebagai wakil pasukan kebangsaan.
“‘Football Everyday’ boleh membantu mereka merealisasikan impian tersebut. Dengan memiliki bola sepak sendiri, mereka boleh berlatih kemahiran asas seperti kawalan bola dan menimang bola setiap hari sebelum beralih kepada kemahiran lain.
“Walaupun hanya berlatih selama 20 hingga 30 minit sehari, mereka akan menjadi lebih selesa dengan bola dan berkembang menjadi pemain bola sepak yang lebih baik,” katanya.
Pada hari pembukaan Fiesta Bola Sepak pada 2 Ogos, lebih 200 pasukan dari 19 pusat AFA seluruh negara, Pusat Pembangunan Negara (NDC) dan SportCares telah mengambil bahagian.
Ia turut dihadiri Pengerusi Sport Singapore, Encik Kon Yin Tong; dan Pengerusi SOF, Encik Ng Ser Miang.
Acara itu merupakan sebahagian daripada kempen GetActive! Singapore yang berlangsung sepanjang Ogos, merangkumi karnival sukan, inisiatif sukan akar umbi dan pelbagai pertandingan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg