Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas jurulatih renang sirip negara dipenjara kerana memalsukan keputusan pertandingan
Bekas jurulatih renang sirip negara dipenjara kerana memalsukan keputusan pertandingan
Bekas jurulatih renang sirip negara dipenjara kerana memalsukan keputusan pertandingan
Seorang bekas jurulatih pasukan renang sirip atau ‘fin swimming’ kebangsaan dipenjara seminggu selepas mengaku bersalah berkomplot memalsukan keputusan perlumbaan pada kejohanan di luar negara.
Muhammad Faiz Suhaimi, 33 tahun, mengaku bersalah pada 26 Ogos kerana memalsukan keputusan kejohanan di luar negara yang kemudian digunakan untuk menyokong pencalonan enam atlet mewakili Singapura pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh.
Renang sirip ialah sukan yang melibatkan atlet berenang di permukaan atau bawah air dengan memakai sirip pada kaki.
Ketika menjatuhkan hukuman pada 14 September, Hakim Daerah Ong Luan Tze memuji keberanian Faiz mendedahkan kesalahannya secara sukarela, namun berkata hukuman penjara singkat masih diperlukan.
Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju denda berat memadai bagi Faiz kerana kes itu terbongkar selepas beliau sendiri tampil mendedahkannya.
Hakim berkata: “Saya bersetuju faktor ini wajar diberi pertimbangan yang besar sebagai faktor yang meringankan hukuman. Pertama, ia menunjukkan penyesalan yang tulus. Kedua, jelas terdapat kepentingan awam untuk menggalakkan orang ramai tampil ke hadapan dan mengakui kesalahan mereka.
“Bagaimanapun, faktor ini perlu dipertimbangkan bersama beratnya kesalahan serta kepentingan awam untuk mencegah kesalahan sedemikian daripada berlaku.”
Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa ketika itu, Faiz merupakan pengurus pasukan dan jurulatih renang sirip di Persekutuan Bawah Air Singapura (Singapore Underwater Federation), dan bertugas di bawah Naib Presiden merangkap Ketua Jurulatih, Ho Ho Huat, 56 tahun.
Rancangan itu bermula pada Disember 2022, selepas Ho mengetahui beberapa acara renang sirip digugurkan daripada Sukan SEA 2023, menyebabkan beberapa atlet pilihannya tidak lagi layak, termasuk anak perempuannya.
Ho mahu mencalonkan lebih ramai atlet ke temasya itu menerusi proses rayuan, tetapi mereka perlu mempunyai keputusan kelayakan daripada pertandingan yang diiktiraf.
Selepas mengetahui pertandingan akan diadakan di Malaysia pada Januari 2023, Ho memutuskan menghantar lima atlet lelaki untuk menyertainya.
Ho dan Faiz menghadiri pertandingan itu dan mengetahui lima atlet itu tidak menyertai acara ganti renang permukaan 4 x 200 meter.
Beberapa hari selepas pertandingan itu, Ho mencadangkan kepada Faiz supaya memalsukan keputusan acara itu. Faiz pada mulanya teragak-agak tetapi akhirnya bersetuju.
Pihak pembelaan berhujah Faiz berbuat demikian kerana Ho lebih berpangkat tinggi dan beliau takut mempersoalkannya. Pada 18 Januari 2023, Faiz menggunakan perisian komputer untuk menghasilkan rekod elektronik palsu keputusan pertandingan di Malaysia itu.
Akibat rekod palsu itu, enam atlet yang sepatutnya tidak layak mewakili Singapura akhirnya menyertai Sukan SEA.
Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) menanggung kos tambahan $15,691.15 untuk menghantar enam atlet itu ke Sukan SEA.
Faiz mendedahkan rancangan itu kepada seorang pemberi maklumat yang identitinya dirahasiakan pada Januari 2024, selepas Ho disingkirkan daripada Persekutuan Bawah Air Singapura pada Disember 2023.
Kes Ho telah ditetapkan untuk persidangan pra-perbicaraan pada 1 Oktober.
Hakim berkata: “Menyarung jersi Singapura di acara antarabangsa seperti Sukan SEA adalah impian ramai atlet... Kita bertanggungjawab kepada mereka dan semangat kesukanan untuk memastikan peluang mewakili negara ditentukan hanya melalui penilaian jujur dan keputusan yang benar-benar tepat.”
