Topik diikuti
Pergi ke BHkuCEO Fifa dipecat selepas kecam Infantino
Kevin Lamour sebelum ini kecam lantang rancangan Fifa untuk jual pegangan dalam penganjuran Piala Dunia kepada pelabur swasta
Ketua Pegawai Operasi (CEO) Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Kevin Lamour, dipecat kurang tiga minggu selepas mengecam keras Presidennya, Gianni Infantino, berhubung rancangan yang dibatalkan untuk menjual pegangan dalam penganjuran Piala Dunia kepada pelabur swasta, menurut BBC Sport.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Fifa hanya mengesahkan bahawa “hubungan kerja Fifa dengan Kevin Lamour sebagai CEO berakhir pada 17 Ogos 2026.”
“Fifa berterima kasih kepada Kevin atas khidmatnya selama dua tahun dan mengharapkan yang terbaik bagi masa depannya.”
Kakitangan Fifa dimaklumkan menerusi e-mel Setiausaha Agung Mattias Grafstrom pada petang 17 Ogos bahawa Fifa dan Lamour “bersetuju membawa haluan masing-masing”.
Pada Julai, Lamour menyifatkan rancangan Fifa Forward Enterprise (FFE) yang mengundang bantahan sebagai “projek seorang individu”, sambil berkata “sudah tiba masanya untuk pemimpin politik bola sepak mengajukan soalan dan membuat keputusan yang betul”.
Beliau menambah, pentadbiran Fifa sendiri telah “diperdaya” mengenai projek yang kini dibatalkan itu.
“Misi kami, iaitu misi ratusan kakitangan Fifa yang bersemangat, bersungguh-sungguh dan menjadi teladan, adalah untuk berkhidmat kepada bola sepak,” tambahnya.
“Seorang presiden mesti menyatukan orang ramai dan memberi mereka inspirasi. Hari ini, kami mengalami sebaliknya.”
Lamour mengakui tanggungjawabnya untuk setia kepada majikan, tetapi juga kepada “nilai-nilai tertentu” dan menyokong rakan sekerjanya.
“Jika itu bermakna saya kehilangan pekerjaan, biarlah,” tambahnya. “Saya akan memahami dan menghormati keputusan itu. Sekurang-kurangnya saya dapat tidur lena malam ini.”
Lamour menyertai Fifa pada November 2024 selepas berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), dua peringkat pengurusan di bawah Infantino.
Awal bulan ini, Infantino mendapat sokongan pegawai kanan dalam mesyuarat di Maghribi, tetapi BBC Sport dimaklumkan Lamour tidak dijemput.
Lamour telah dihubungi untuk mendapatkan ulasan.
Dalam surat kepada anggota Majlis Fifa yang dilihat BBC Sport, Grafstrom menulis: “Saya ingin memaklumkan perkembangan penting mengenai perubahan dalam pentadbiran Fifa.
“Selepas perbincangan baru-baru ini, Fifa dan CEO kami, Kevin Lamour, bersetuju membawa haluan masing-masing. Keputusan ini dibuat selepas pertimbangan teliti dan dengan penuh rasa hormat terhadap Kevin, secara peribadi dan profesional… Saya merasakan penting untuk memaklumkan sendiri perkembangan ini dan berterima kasih kepada Kevin atas sumbangan, usaha dan khidmatnya kepada Fifa setiap hari. Saya mengharapkan yang terbaik bagi masa depannya.”
Infantino menghadapi tekanan yang semakin meningkat selepas mencadangkan penubuhan syarikat baharu, FFE, bagi mengurus hak komersial dan penjualan tiket semua pertandingan Fifa, termasuk Piala Dunia.
FFE dibatalkan selepas rancangan Infantino menjual 21 peratus pegangan syarikat itu kepada syarikat pelaburan swasta menerima kritikan meluas.
Uefa, Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (Concacaf), yang mentadbir bola sepak di rantau itu, serta Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) secara terbuka menentang rancangan tersebut, manakala Uefa mengancam untuk tidak menyertai Piala Dunia jika ia diteruskan.
Lamour mengecam Infantino, manakala penasihat kanan Infantino, Carlos Cordeiro, meletakkan jawatan.
Selepas cadangan itu dibatalkan, Uefa dan Concacaf menarik balik sokongan terhadap pencalonan Infantino untuk penggal keempat sebagai presiden pada Kongres Fifa pada Mac 2027.
Beberapa anggota Concacaf, termasuk Mexico, berbeza pendirian dengan badan induk itu dan menyokong Infantino, bersama badan bola sepak Afrika, Amerika Selatan serta Oceania.
Pada Isnin, Persatuan Bola Sepak Scotland menjadi badan terbaharu yang menarik balik sokongannya terhadap Infantino, selepas England, Wales, Ireland Utara dan Republik Ireland.
Badan amal tadbir urus bola sepak FairSquare berkata ia telah menulis surat kepada Fifa menuntut Infantino dilarang bertanding untuk pemilihan semula.
