LONDON: Nasib pemain ‘midfield’ serangan Chelsea yang baru, Christopher Nkunku, untuk bermain dalam perlawanan pertama pasukannya menentang Liverpool masih belum ditentukan.
Ini kerana, pemain asal Perancis itu dikhabarkan mengalami kecederaan lutut agak serius.
Menurut laporan media, Nkunku telah bertembung dengan Mats Hummels, pemain bek tengah Borussia Dortmund dalam perlawanan persahabatan mereka baru-baru ini, yang berkesudahan seri 1-1.
Akibatnya Nkunku, 25 tahun, digantikan dengan Mykhailo Mydryk.
Nkunku menyertai Chelsea dari RB Leipzig selepas menandatangani kontrak enam tahun dengan pasukan Liga Perdana England (EPL) itu.
Selain bermain di bahagian ‘midfield’ serangan, Nkunku juga mampu bertindak sebagai penyerang kedua.
Beliau yang juga menyarung jersi antarabangsa Perancis mula berlatih di Akademi Paris Saint-Germain (PSG).
Seorang pengamat bola sepak dan mantan pemain bek kanan England, Micah Richards, berkata kepada media, beliau tertarik dengan persembahan Nkunku selain Nicolas Jackson yang juga pemain Chelsea.
Menurut beliau, kededua pemain itu bergabung baik semasa perlawanan pramusim Chelsea di Amerika Syarikat baru-baru ini.
“Sumbangan mereka membantu kelab itu meneruskan perjuangan tanpa sebarang kekalahan sejauh ini,” katanya.
Malah Nkunku merupakan penjaring terbanyak Chelsea sejauh ini dengan tiga gol. – Agensi berita.