Bodo tumbangkan gergasi, cipta sejarah ke 16 pasukan terakhir

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bodo tumbangkan gergasi, cipta sejarah ke 16 pasukan terakhir

Jadi pasukan Norway pertama ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, Piala Eropah sejak musim 87/88
Feb 25, 2026 | 3:14 PM

Bodo tumbangkan gergasi, cipta sejarah ke 16 pasukan terakhir

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
artik, san siro, bodo, Bodo/Glimt
Pemain pertahanan Bodo/Glimt, Jostein Gundersen (dua dari kanan), meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan selepas perlawanan timbal balik penentuan kedua di Stadium San Siro, Milan, pada 24 Februari. - Foto AFP

MILAN: Pasukan bola sepak dari Norway, Bodo/Glimt terus mencabar segala ramalan.

Pasukan yang berpangkalan kira-kira 70 batu di dalam Lingkaran Artik, telah lama membina nama sebagai pencetus kejutan. 

Namun pada malam 24 Februari di Milan, Italy, mereka menghasilkan antara kejutan terbesar dalam sejarah Liga Juara-Juara. 

Berdepan Inter Milan, juara tiga kali kejuaraan itu, Bodo tetap berdepan tugas sukar meskipun mendahului 3-1 dari perlawanan pertama.

Sekali lagi mereka bangkit, seperti ketika menewaskan Manchester City dan Atletico Madrid dalam fasa liga.

Ia satu lagi aksi kental di Italy untuk melengkapkan kemenangan timbal balik ke atas Inter pimpinan Cristian Chivu.

Mereka menangkis asakan Inter pada separuh masa pertama sebelum menjaringkan dua gol, meninggalkan pendahulu Serie A itu dengan tugas terlalu berat.

Kemenangan 2-1 itu melengkapkan kejayaan agregat 5-2 dan memastikan Bodo mara ke kelompok 16 pasukan terakhir buat kali pertama, untuk menentang sama ada Manchester City atau Sporting.

“Ia detik bersejarah untuk Bodo dan juga untuk bola sepak Norway,” kata jurulatih Kjetil Knutsen. 

Penyerang Jens Petter Hauge sekali lagi menjadi inspirasi, menjaringkan gol keenamnya musim ini sebelum membuat hantaran kepada pemain tengah Hakon Evjen untuk gol kedua.

“Kedengarannya seperti tidak benar, tetapi kami ada di sana, antara pasukan terakhir dalam kejohanan ini,” kata Hauge, yang kembali ke San Siro tempat beliau pernah beraksi selama dua tahun bersama AC Milan.

“Kami teruja menantikan dua perlawanan seterusnya.” tambah Hauge.

Bodo/Glimt kini menjadi pasukan Norway pertama mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dan yang pertama dalam Piala Eropah sejak Lillestrom pada musim 1987-1988. 

Mereka juga menjadi kelab pertama dari luar lima liga utama Eropah yang memenangi empat perlawanan berturut-turut dalam satu kempen menentang lawan dari England, Sepanyol, Jerman, Italy dan Perancis, sejak Ajax pada 1971-72. 

Hauge pula mencatat jumlah gol terbanyak oleh pemain Norway untuk kelab Norway dalam satu edisi kejohanan ini.

Perjalanan epik itu kelihatan mustahil selepas Bodo gagal memenangi enam perlawanan awal fasa liga, memaksa mereka memburu kemenangan ke atas Manchester City dan Atletico untuk layak ke pusingan penentuan.

Mereka bangkit membuktikan segalanya.

Kemenangan 3-1 ke atas pasukan kendalian Pep Guardiola membawa pujian, sebelum mereka menewaskan Atletico 2-1 di Madrid. 

Pada musim lalu, mereka mara ke separuh akhir Liga Europa, menjadi kelab Norway pertama melakukannya.

Kejayaan mereka sering bermula di padang sendiri di utara Norway, yang terkenal dengan cuaca mencabar dan suhu jauh di bawah sifar.

Keadaan itu memaksa mereka bermain di padang tiruan, sesuatu yang sukar buat lawan yang biasa dengan rumput asli. 

Gabungan faktor itu serta keazaman dan keyakinan pemain menyaksikan ramai lawan tewas di Bodo.

Roma kendalian Jose Mourinho pernah dibelasah 6-1, manakala Celtic, Besiktas, Porto dan Lazio turut menjadi mangsa.

City pasti tidak mahu bertemu Bodo dalam kelompok 16 terakhir, selepas mereka membuktikan tiada siapa perlu digeruni.

“Ia menakjubkan,” kata kapten Patrick Berg.

“Bagi kelab dan bandar ini, ia luar biasa. Ramai tidak menyangka kami boleh menewaskan Manchester City, Atletico dan kini Inter dua kali. Ia hebat.” 

Kini Bodo melangkah ke tahap baru, namun keyakinan mereka jelas. 

Disokong penyokong setia berbaju kuning di Stadium San Siro, ketua jurulatih Bodo/Glimt, Kjetil Knutsen, berkata:

“Saya amat bangga. Kami pasukan daripada bandar kecil. Jika kami boleh melakukannya, semua orang juga boleh. Itulah perkara paling indah dalam cerita ini.” – Agensi berita.

Pemain Bodo/Glimt, Hakon Evjen (kiri) semasa menjaringkan gol kedua pasukannya semasa menentang Inter Milan di Stadium San Siro, Italy pada 24 Februari.
Pemain Bodo/Glimt, Hakon Evjen (kiri) semasa menjaringkan gol kedua pasukannya semasa menentang Inter Milan di Stadium San Siro, Italy pada 24 Februari. - Foto AFP
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg