Meskipun sudah bergelar juara dunia dengan deretan pingat dan pencapaian membanggakan, jaguh pencak silat Singapura, Muhammad Iqbal Abdul Rahman dan Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin, tetap dahagakan lebih banyak kejayaan.
Bagi kedua-dua pendekar ini, gelanggang Sukan SEA 2025 dianggap medan tempur yang perlu diberi tumpuan.
Di sinilah jaguh-jaguh silat terbaik Asia Tenggara bersaing, masing-masing bertekad membuktikan kehebatan.
Misi Iqbal, juara dunia acara seni tunggal, jelas terpahat.
Beliau berazam merampas semula pingat emas yang pernah dimenanginya di Vietnam pada 2022, susuli kekalahan mengecewakan pada Sukan SEA Kemboja pada 2023.
Sementara itu, perjuangan Ferdous pula masih belum selesai.
Juara dunia dan Asia itu kini memburu satu-satunya gelaran yang terlepas daripada genggamannya – pingat emas Sukan SEA.
Ferdous memberitahu Berita Harian (BH) bahawa beliau menyifatkan matlamat merangkul pingat emas Sukan SEA ibarat “impian menjadi kenyataan”.
Setelah gagal merebut emas dalam lima edisi Sukan SEA yang lalu, pesilat berusia 29 tahun itu kini lebih yakin dapat menamatkan kemarau panjang itu.
Ini kerana buat kali pertama, beliau akan bertanding dalam kategori kegemarannya – Kelas I (85-90 kilogram).
Keyakinan itu memuncak selepas kejayaan Ferdous kembali ke kelas kegemarannya di Kejohanan Pencak Silat Dunia 2024 Abu Dhabi, dan beliau meraih semula gelaran juara dunia buat kali pertama sejak 2018.
“Bila saya kembali ke kategori asal saya dan menang semula, rasanya macam saya tak pernah pun berundur. Saya harap dapat ulang kejayaan itu pada Sukan SEA kali ini,” ujar Ferdous.
Beliau menambah: “Ada tempoh di mana saya tidak bertanding dalam kelas asal saya… saya perlu mengurangkan berat badan sebanyak 10 hingga 15 kilogram.
“Tempoh itu memang mencabar dan bukanlah sesuatu yang mudah.”
Setelah hanya mampu meraih dua gangsa dan dua perak dalam lima penampilan sebelumnya, beliau mendamba harapan kesudahan yang lebih manis apabila beraksi di temasya Bangkok ini.
Keinginan untuk merangkul pingat emas turut dikongsi oleh veteran pesilat Seni Tunggal, Iqbal.
Walaupun sudah menikmati gelaran juara dunia dan Asia, masing-masing sebanyak tiga dan lima kali, pingat emas Sukan SEA tetap mempunyai nilainya selepas lebih dua dekad berbakti dalam skuad negara.
Atlet berusia 32 tahun itu berkata: “Ia merupakan perjalanan yang penuh cabaran... mengalami kekalahan dan kemudian bangkit semula untuk memenangi semula gelaran… menjadi juara kali ini tentunya akan bertambah manis berbanding kejayaan kali pertama.”
Antara cabaran yang diharungi oleh Iqbal adalah kecederaan yang berulang,
Selain matlamat peribadi untuk menggandakan kemenangannya, Iqbal turut mahu memanfaatkan pengalaman luasnya untuk membantu pembangunan generasi pesilat yang baru.
Beliau akur generasi pesilat muda menjadikan beliau serta rakan-rakan veteran lain sebagai sumber perangsang.
“Saya rasa pesilat muda kami menunjukkan azam kuat untuk bekerja keras… masa depan kami terjamin. Adalah bagus kami mampu menjadi inspirasi kepada mereka,” katanya.
Iqbal menambah, pesilat berpengalaman sering memberi nasihat demi membantu anak-anak muda menjadi lebih yakin dan mencorak jalan yang sesuai untuk diri mereka.
Pengalaman luas itu juga membawa kematangan dalam persediaan menjelang aksi gelanggang.
Kededua Iqbal dan Ferdous akur cabaran hebat menanti mereka di Sukan SEA kali ini.
Ferdous berterus terang: “Sukan SEA bukanlah pertandingan yang mudah kerana semua jaguh silat berada di sana.
“Semua pesaing ibarat raksasa. Sesiapa sahaja yang anda berdepan di gelanggang pasti cabaran yang sukar.”
Iqbal pula berkata: “Ia (Sukan SEA) sentiasa persaingan yang sengit bagi kami.”
Lantas, kededua jaguh itu percaya persiapan masing-masing akan membantu mereka kekal tenang dan unggul apabila turun beraksi di Impact Arena, Bangkok, nanti.
“Saya rasa persiapan saya sudah mantap, dan dari situlah lahirnya keyakinan saya.
“Saya berlatih dengan keras. Saya jaga pemakanan. Saya dapat cukup tidur. Saya lakukan segalanya dengan betul,” ujar Ferdous.
Persiapan dan keyakinan itu bakal bermanfaat jika Ferdous berdepan dengan bakal seteru dari Vietnam, Nguyen Duy Tuyen.
Mereka kali terakhir bertemu di Kejohanan Pencak Silat Asia pada Julai 2025, dan Ferdous ditewaskan oleh Nguyen dalam perlawanan terakhir.
Ferdous akur tentang kebolehan Nguyen, memandangkan lawannya pernah menjuarai Sukan SEA dalam kelas sendirinya.
“Saya menghormati kebolehannya tetapi kini kami berada di kelas yang setara. Kami sudah kenal kekuatan satu sama lain,” kata Ferdous.
Muhammad Iqbal turut selesa dan percaya dalam rutin persiapannya yang sudah diperhalusi selama 20 tahun bersaing.
Walaupun giat bersiap sedia untuk Sukan SEA 2025, mereka berdua sudah menyasarkan untuk beraksi di Sukan SEA 2029 di Singapura.
Muhammad Iqbal berkata: “Saya tak ada rancangan untuk bersara. Mungkin Sukan SEA di Singapura merupakan yang terakhir, tetapi saya kekal menumpu kepada berlatih dan bersaing.”
Ferdous menambah: “Saya masih ada azam, dan akan terus beraksi sehingga tubuh saya tak mampu lagi.”
Jelas, api perjuangan Ferdous dan Muhammad Iqbal untuk mencapai kecemerlangan tidak pernah pudar dan akan terus berkobar.
Jadual acara Silat
13 Disember
14 Disember
15 Disember
16 Disember
17 Disember


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg