MASSACHUSETTS (Amerika Syarikat): Ketua jurulatih England, Thomas Tuchel, mendakwa bahawa kemenangan pasukannya ke atas Croatia dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia membuat beliau berasa amat teruja.

Mungkin, keputusan seri tanpa jaringan yang diraih pasukannya dalam perlawanan seterusnya dengan Ghana pada 23 Jun (24 Jun waktu Singapura) kini memaksa beliau dan pasukannya kembali ke alam nyata.

Cara England menewaskan Croatia – dengan menguasai sebahagian besar permainan – menambah jangkaan ke atas anak didik Tuchel itu dalam perlawanan kedua, tetapi daya tahan, kekuatan fizikal dan susunan pertahanan Ghana membentuk benteng yang gagal ditembusi.

Namun, England masih mendahului Kumpulan L dan berada dalam kedudukan baik untuk layak ke pusingan kalah mati.

Pemain tengah, Declan Rice, menegaskan bahawa pasukannya kekal tenang dan positif menjelang perlawanan menentang Panama.

Walaupun kekurangan kreativiti jelas kelihatan ketika berdepan pertahanan Ghana yang ampuh, pasukan Tuchel masih berada dalam kedudukan yang baik.

Jika kemenangan ke atas Croatia menghiburkan, perlawanan terbaru itu menyaksikan England kembali bergelut dan gagal memecahkan kebuntuan.

Dua perlawanan pertama England memberikan cabaran yang berbeza.

Croatia mengasak benteng England, manakala Ghana bersifat bertahan dan membiarkan England menguasai bola sebanyak 78.2%.

Jurulatih Ghana, Carlos Queiroz, berulang kali menegaskan bahawa England buntu merintis gol dalam perlawanan itu, sesuatu yang diakui Tuchel.

Tuchel mengakui sukar untuk menembusi pasukan yang bermain dengan formasi 4-5-1 yang sangat bertahan dan berdisiplin serta meraikan keputusan 0-0 seperti satu kemenangan.

“Itu pendekatan yang berbeza dan mereka wajar dipuji. Kami tidak boleh hilang pertimbangan kerananya,” katanya.

Ketika menentang Croatia, larian pemain England di sayap dan tengah memberi ancaman.

Namun, apabila Ghana membina benteng ‘berlapis’ untuk bertahan , England gagal menghasilkan sentuhan istimewa.

Pemain sayap England, Bukayo Saka, memberi kesan sebagai pemain gantian, menonjolkan keperluan Tuchel untuk mempertimbangkan perubahan di bahagian sayap.

Anthony Gordon sekali lagi kurang menyerlah sebelum digantikan oleh Saka 25 minit sebelum tamat perlawanan, memaksa penjaga gol Ghana, Benjamin Asare, melakukan satu penyelamatan penting.

Petunjuk awal menunjukkan Saka dan Marcus Rashford mungkin akan mengambil alih posisi sayap England.

Bekas kapten England, Wayne Rooney, menjangkakan perubahan semasa menentang Panama pada 27 Jun (28 Jun waktu Singapura) dan berpendapat England tidak melakukan hantaran lintang secukupnya selama 90 minit untuk memecahkan blok rendah Ghana.

Kapten England, Harry Kane, pula dikawal rapi dan hanya menyentuh bola dua kali di dalam kotak penalti Ghana pada separuh masa pertama.

Bahagian tengah The Three Lions (gelaran bagi England) tidak menawarkan serangan yang pelbagai, hingga menimbulkan persoalan sama ada pemain kreatif seperti Morgan Gibbs-White, serta Adam Wharton, yang pintar membuat pelbagai jenis hantaran, mampu memberikan perbezaan.

Penyerang tengah Chelsea, Cole Palmer, dan pemain tengah Manchester City, Phil Foden, yang kedua-duanya tidak beraksi, mungkin mampu membantu pecahkan benteng Ghana, tetapi prestasi kelab mereka tidak cukup baik untuk menjamin tempat dalam skuad, dan mudah untuk membuat penilaian selepas sesuatu berlaku.

Walaupun Tuchel tetap mempercayai gandingan Declan Rice dan Elliot Anderson dapat membina bahagian tengah, England jelas kekurangan idea serta variasi serangan untuk tempoh yang panjang.

Rice berkata Ghana bertahan rapat dalam formasi 5-4-1, tetapi mengakui England boleh memanfaatkan penguasaan bola dengan lebih baik sambil menegaskan, pasukannya perlu terus positif.

Rice memuji Ghana sebagai lawan yang sukar dan bermutu, sambil menegaskan bahawa England masih berpeluang menjuarai kumpulan serta perlu kekal positif kerana banyak pasukan besar juga tercicir mata.

England tiba sebagai antara pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia, tetapi mereka perlu meningkatkan prestasi jika mahu menggerunkan pasukan seperti Sepanyol, Perancis, Brazil, Argentina dan Portugal.

Pasukan itu hanya meningkatkan tempo pada lewat perlawanan, namun masih hampir menang apabila pemain gantian, Nico O’Reilly, terkena palang dan tandukan pemain pertahanan, Marc Guehi, diselamatkan di atas garisan gol.

Namun, bagi sebahagian besar perlawanan itu, England kekurangan ilham, manakala serangan balas Ghana turut mendedahkan kelemahan pertahanan mereka.

Queiroz turut berhujah bahawa Ghana sepatutnya diberikan penalti selepas Ezri Konsa dilihat hanya menyentuh pemain Ghana, Prince Kwabena Adu, tanpa menyentuh bola.

Pengadil Said Martinez menolak rayuan tersebut, menyebabkan Queiroz menyindir bahawa “VAR (video bantuan pengadil) pergi minum kopi”.

Ghana sememangnya mempunyai tuntutan penalti yang kuat, yang boleh menjadikan keputusan itu lebih mengecewakan buat England.

Pasukan Tuchel mempamerkan kekuatan dan kelemahan dalam dua perlawanan pertama mereka, dengan pertahanan serta kemampuan menghadapi penyerang bertaraf dunia terus menjadi persoalan utama.

Bekas penjaga gol England, Joe Hart, berkata persembahan itu tidak semestinya akan menggerunkan Perancis, Sepanyol atau Portugal.

“Mereka akan merujuk kepada perlawanan Croatia kerana mereka akan menyerang England,” katanya.

England masih mengawal nasib mereka sendiri, tetapi perlawanan hambar itu membawa mereka kembali ke bumi nyata. – Agensi berita.