Topik diikuti
Pergi ke BHkuGimnas Amanda Yap sumbang pingat pertama S’pura di Sukan Komanwel
Gimnas Amanda Yap sumbang pingat pertama S’pura di Sukan Komanwel
Gimnas Amanda Yap sumbang pingat pertama S’pura di Sukan Komanwel
Atlet gimnastik remaja Singapura, Amanda Yap, meraih pingat perak acara palang imbangan (balance beam) pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel di Glasgow pada 28 Julai.
Bersaing di Glasgow International Arena, atlet berusia 16 tahun itu mengutip perak dengan 13.233 mata di belakang juara Australia, Breanna Scott (13.933), manakala Lia-Monica Fontaine dari Canada memenangi gangsa dengan 13.000 mata.
“Ini satu penghormatan besar buat negara kami. Saya sangat gembira dan berharap ia dapat memberi inspirasi kepada orang lain,” kata Yap.
“Ia membuktikan bahawa apa sahaja boleh tercapai jika anda berusaha. Kejayaan ini hasil usaha bersama dan saya berterima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih serta keluarga saya,” tambah beliau.
Ketua jurulatih gimnastik artistik wanita, Georgia-Rose Brown, berkata kejayaan Yap lebih bermakna kerana menghadiahkan pingat pertama Singapura pada Sukan Komanwel 2026.
Menyifatkannya sebagai “detik yang tidak akan dilupakan” buat gimnastik Singapura, Brown berkata Yap membuat persiapan rapi dan menampilkan ketenangan seperti atlet berpengalaman, terutama ketika rutin palang imbangan yang dilakukan dengan cemerlang di bawah tekanan.
Beliau turut memuji kesungguhan para jurulatih, khususnya kerjasama antara Yap dengan Zhang Zhen, yang menurutnya membuktikan kepercayaan, persiapan dan semangat berpasukan yang kukuh.
Dalam final yang menampilkan tiga pemenang pingat Kejohanan Dunia, Yap, peserta termuda dalam kalangan lapan atlet gimnastik, menjadi atlet kedua selepas Philippa Busuttil dari Malta sebelum menunggu keputusan akhirnya.
Beliau kekal di tangga teratas selepas tiga gimnas berikutnya, termasuk pemenang tiga pingat Kejohanan Dunia dari Canada, Elsabeth Black, menamatkan rutin masing-masing sebelum dipintas Breanna Scott.
Yap, yang mengikuti diploma perniagaan di Sekolah Sukan Singapura (SSP) dan Politeknik Republic (RP), menjadi gimnas Singapura keempat memenangi pingat di Sukan Komanwel.
Lim Heem Wei dan David-Jonathan Chan menjadi atlet gimnastik Singapura pertama memenangi pingat pada edisi 2010 di India, manakala Hoe Wah Toon memenangi pingat gimnastik Singapura terakhir sebelum ini menerusi gangsa acara lompat kijang lelaki pada edisi 2014 di Glasgow.
Sebelum itu, Yap menamatkan saingan di tempat ke-14 dalam acara keseluruhan individu wanita dan dijadualkan beraksi dalam final senaman lantai pada lewat 28 Julai.
Beliau meneruskan prestasi cemerlang pada 2025 apabila menjadi gimnas Singapura pertama mara ke final Kejohanan Dunia pada tahun pertamanya sebagai atlet kanan.
Di Jakarta, beliau layak ke final palang imbangan ketika menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ sebelum menduduki tempat keenam.
Pada Mac lalu, beliau turut dinobatkan sebagai Tokoh Muda Singapura oleh The Straits Times.
Selain itu, pada 28 Julai, perenang Singapura, Teong Tzen Wei dan Mikkel Lee, mara ke separuh akhir acara kupu-kupu 50 meter lelaki. Teong mencatat 23.80 saat untuk menduduki tempat kelapan keseluruhan, manakala Lee di tempat ke-10 dengan 23.90 saat.
Juara Olimpik dan dunia dari Australia, Kyle Chalmers, mencatat masa terpantas dalam saringan.
Sehari sebelumnya, atlet angkat berat Singapura, Chua Jiin Linn, mencipta rekod kebangsaan baharu bagi acara ‘clean and jerk’ dengan angkatan 94 kilogram (kg) dalam kategori wanita 53kg, mengatasi rekod lama 83kg yang dicatat Helena Wong pada Sukan SEA 2011. Chua mengumpul jumlah angkatan 168kg untuk menduduki tempat keenam.
Onome Didih dari Nigeria memecahkan rekod Sukan Komanwel bagi ‘snatch, clean and jerk’ dan jumlah keseluruhan untuk memenangi emas, diikuti Gyaneshwari Yadav dari India dan Rebeka Groulx dari Canada.
Pada 27 Julai, perenang England, Adam Ramsay-Peaty, sekali lagi gagal memenangi emas Sukan Komanwel apabila sekadar meraih gangsa dalam acara kuak dada 50 meter, sedang Australia menguasai saingan renang dengan enam pingat emas daripada tujuh acara akhir.
Sam Williamson melengkapkan kemenangan berganda emas acara kuak dada 50 meter dan 100 meter walaupun pernah mengalami koyakan tendon patela pada April 2025 yang hampir menamatkan kerjayanya.
Ramsay-Peaty, yang turut memenangi gangsa acara kuak dada 100 meter, berkata beliau perlu menilai semula pendekatan latihannya menjelang sasaran beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles dalam tempoh dua tahun lagi.
Williamson pula menyifatkan peluang menyarung semula jersi Australia sebagai sesuatu yang tidak pernah disangkakan, sambil berkata kejayaan membawa pulang dua pingat emas menjadikan pencapaiannya lebih istimewa.