MUNICH: Kapten England, Harry Kane, bakal berehat selama “beberapa bulan” akibat ligamen terkoyak di buku lali kiri ketika Bayern Munich seri 1-1 dengan Cologne dalam saingan Bundesliga pada 20 November.

Penyerang yang memenangi anugerah Bola Emas (Ballon d’Or) sebagai pemain terbaik dunia bulan lalu itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-20 selepas diasak pemain pertahanan Cologne, Joel Schmied.

Kane, 33 tahun, pada mulanya cuba meneruskan permainan sebelum berjalan terhincut-hincut keluar padang dan digantikan pemain tengah Bayern, Tom Bischof.

Menurut kenyataan Bayern, Kane “mengalami ligamen sindesmosis yang terkoyak pada buku lali kirinya” dan oleh itu “akan diketepikan daripada perlawanan selama beberapa bulan akan datang”.

Bayern ketika itu ketinggalan hasil jaringan pemain sayap skuad bawah 21 tahun England, Mikey Moore, yang dipinjamkan Tottenham kepada Cologne.

Bayern kemudian menyamakan kedudukan menerusi gol pemain pertahanannya, Nathaniel Brown.

Perlawanan itu juga menandakan kepulangan ketua jurulatih Bayern, Vincent Kompany, selepas terlepas lima perlawanan.

Kompany terlepas lima perlawanan kerana disahkan mengalami radang meninges, iaitu keradangan membran pelindung yang menyelaputi otak dan saraf tunjang.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Kane cedera pada hari England dipilih menentang Norway pada suku akhir Liga Negara-Negara, dengan dua perlawanan dijadualkan pada 27 dan 30 Mac.

Beliau menjaringkan gol ketika England menewaskan Croatia dan Sepanyol bulan ini, membantu pasukan itu mengungguli kumpulan Liga Negara-Negara Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), selain memecahkan rekod penampilan terbanyak bersama skuad lelaki England.

Kane telah menjaringkan empat gol dan mencatat lapan bantuan jaringan dalam 10 penampilan liga musim ini, selain empat gol dan tiga bantuan jaringan dalam empat aksi Liga Juara-Juara.

Kane mengekalkan kecergasan yang baik sejak berpindah dari Tottenham ke Jerman pada Ogos 2023, namun mempunyai sejarah kecederaan buku lali.

Beliau cedera pada buku lali kiri ketika beraksi untuk Bayern pada Mac 2024, sehingga terlepas perlawanan persahabatan menentang Brazil dan Belgium.

Ketika bersama Spurs, penyerang itu mengalami dua tempoh kecederaan panjang pada separuh kedua musim 2018-2019, menyebabkan beliau terlepas tujuh perlawanan akibat kecederaan ligamen buku lali kiri dan sembilan lagi kerana kecederaan ligamen sisi luar buku lali.

Pada musim 2017-2018, beliau berehat sebulan akibat kecederaan serupa pada buku lali kanan, manakala dua kecederaan berasingan pada musim 2016-2017 menyebabkannya terlepas aksi masing-masing selama enam dan empat minggu. – Agensi berita.