RIYADH: Tempoh perpindahan pemain bagi Liga Pro Saudi telah ditutup, mengakhiri perbelanjaan pecah rekod bagi kelab-kelab Saudi, walaupun Al-Ittihad gagal memikat Mohamed Salah daripada Liverpool.
Al-Ittihad, yang kini dipimpin Nuno Espirito Santo, cuba membeli Salah daripada Liverpool dengan menawarkan bayaran £150 juta ($255 juta), tetapi tidak berjaya.
Beberapa pengurus Liga Perdana England (EPL) telah mengecam hakikat tempoh perpindahan pemain di Saudi ditutup hampir seminggu selepas tempoh perpindahan Eropah ditutup.
Dalam laporannya, BBC berkata perbelanjaan yang dikeluarkan kelab-kelab Saudi, terutama oleh empat kelab yang dimiliki Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, iaitu Al-Ahli, Al-Hilal, Al-Nassr dan Al-Ittihad adalah yang paling lumayan dalam kalangan kelab-kelab di luar Eropah.
Keseluruhannya, kelab-kelab di Saudi membelanjakan sekitar £700 juta pada musim panas ini, angka yang hanya diatasi perbelanjaan kelab-kelab di Liga Perdana England, Liga Satu Perancis dan La Liga Sepanyol, menurut data Deloitte.
Segugus pemain bertaraf bintang dari EPL kini beraksi di Saudi, dibeli dengan harga sekitar £250 juta. Mereka menyertai pemain bertaraf bintang yang kini menyarung jersi kelab-kelab Saudi.
Bekas penyerang Paris St-Germain (PSG), Neymar, telah menyertai Al-Hilal dengan bayaran £77.6 juta, sementara kelab-kelab Saudi yang lain telah menarik bekas rakan sepasukannya di PSG termasuk Georginio Wijnaldum ke sana. Pemenang anugerah pemain terbaik di dunia atau Ballon d’Or, Karim Benzema, juga telah berpindah dari Real Madrid ke Saudi.
Bekas pemain Bayern Munich dan Liverpool, Sadio Mane; bekas kapten Inter Milan, Marcelo Brozovic; bekas pemain Barcelona, Franck Kessie; bekas pemain Celtic, Jota; dan bekas pemain Lazio, Sergej Milinkovic-Savic kesemuanya kini beraksi di negara Teluk itu.
Malah, Kylian Mbappe juga telah cuba dipikat Al-Hilal, tetapi tawaran £259 juta oleh kelab itu telah ditolak Mbappe sekalipun ia diterima PSG.
Sementara itu, dalam kalangan penyokong Liverpool sebelum ini, ada keprihatinan Al-Ittihad akan mengemukakan tawaran baru kepada Liverpool untuk membeli Salah.
Keadaan itu juga mencetus keprihatinan dalam pentadbir kelab yang tahu mereka tidak akan dapat membeli pemain pengganti kerana tempoh perpindahan pemain di Eropah telah ditutup.
Salah kekal pemain ‘azimat’ bagi Liverpool dan telah menjaringkan 188 gol dalam 309 permainan sejak berpindah dari Roma ke sana pada 2017.
Al-Ittihad dijangka mengemukakan tawaran baru bagi Salah pada Januari atau pada musim panas depan.
Kontrak Salah dengan Liverpool masih berbaki dua tahun dan hanya luput pada akhir musim 2024-2025. – Agensi berita.
“Kunci kemenangan bagi Liverpool ialah Salah,” kata bekas bintang Blackburn Rovers, Chris Sutton.
“Apabila Salah berada dalam kesebelasan utama, Liverpool boleh bersaing dengan Manchester City. Tanpanya, Liverpool tidak akan berdaya berbuat demikian,” kata beliau lagi.
Bekas pemain Liverpool, Jamie Carragher, yang kini menjadi pengamat bola sepak, berkata Liverpool telah memulakan musim dengan hebat dan perlukan Salah untuk meneruskan momentum itu. Namun keadaan boleh berubah pada masa depan, katanya.
Menurut Carragher, Liverpool juga sedar Salah tidak boleh dibiarkan meninggalkan kelab itu secara percuma apabila kontraknya luput.
“Diam tak diam, kontraknya akan luput dan beliau bebas beredar secara percuma,” kata Carragher.
“Dalam kalangan peminat Liverpool, kita tahu kita boleh mengikat Salah bagi musim ini sahaja. Dari sudut perniagaan, Liverpool boleh menjualnya untuk mendapatkan dana membeli pemain baru pada musim depan.
“Pemain seperti Salah sukar diganti, tetapi Liverpool mempunyai tempoh setahun ini untuk mencarinya dan pemain, tidak kira berapa handal pun, akan keluar masuk kelab ini,” kata Carragher lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg