MANCHESTER: Badan pengadil profesional, Pro Ref pada 13 September mengakui keputusan membenarkan gol Erling Haaland dalam kemenangan 1-0 Manchester City ke atas Manchester United sebagai satu “kesilapan dalam pertimbangan”.

Ketika City beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengah Phil Foden dibuang padang kerana menendang pemain tengah United, Bruno Fernandes, penyerang City, Erling Haaland menjaringkan gol pada minit ke-60 menerusi tendangan daripada hantaran lintang pemain pertahanan Josko Gvardiol.

Gol itu pada mulanya dibatalkan kerana Haaland dianggap berada dalam kedudukan ofsaid, namun video pembantu pengadil (VAR) kemudian mengesahkannya selepas mendapati Haaland berada pada kedudukan yang sah.

Bagaimanapun, pemain tengah City, Enzo Fernandez berada di garisan ofsaid dan cuba mendapatkan bola sebelum Haaland.

Fernandez tidak menyentuh bola, menyebabkan gol itu dikira dan menyebabkan Haaland meraikan gol kesembilannya dalam derbi Manchester di Liga Perdana England (EPL).

Pusat Perlawanan Liga Perdana berkata di media sosial selepas gol itu VAR “mendapati Haaland berada di posisi kedudukan onsaid” dan “walaupun Fernandez ofsaid, beliau tidak memainkan bola”.

Bagaimanapun, Pro Ref pada 13 September berkata VAR “gagal mengenal pasti kemungkinan kesan” posisi Fernandez dan “sepatutnya menyarankan semakan di tepi padang”.

“Manchester United sudah dihubungi petang ini bagi mengakui apa yang kami anggap sebagai kesilapan pertimbangan. Kejadian itu akan dikaji semula,” menurut kenyataan itu.

Selepas perlawanan, pengurus United, Michael Carrick berkata adalah “membimbangkan” apabila barisan pegawai perlawanan memutuskan gol Haaland sepatutnya dikira.

Pemain pertahanan United, Lisandro Martinez menjadi tumpuan dalam pertikaian itu.

Pemain Argentina itu berkata kehadiran Fernandez jelas menjejaskannya dan menyifatkan gol City itu sebagai “tidak adil”.

“Saya menghampirinya kerana dia berada di depan saya. Sebab itu Haaland bebas di belakang,” kata Martinez kepada Sky Sports.

“Sukar diterima apabila lima atau enam pegawai melakukan kesilapan seperti ini dalam EPL.

“Kami terpaksa pulang dengan keputusan yang tidak adil ini.”

Pengurus Manchester City, Enzo Maresca meraikan kemenangan bersama pemain tengah Ayyoub Bouaddi dan Enzo Fernandez selepas perlawanan.
Pengurus Manchester City, Enzo Maresca meraikan kemenangan bersama pemain tengah Ayyoub Bouaddi dan Enzo Fernandez selepas perlawanan. - Foto REUTERS

Mengulas aksi City selepas beraksi dengan 10 pemain, pengurus City, Enzo Maresca berkata: “Saya rasa beraksi dengan 10 pemain lebih sukar bagi kami, tetapi ia turut menyukarkan mereka.

“Mereka gemar melancarkan serangan balas dan memanfaatkan ruang di belakang pertahanan. Dengan 10 pemain, kami berundur dan menunggu mereka, tanpa memberi peluang atau ruang di belakang pertahanan.”

Selepas dibelasah Arsenal 3-0 dalam Perisai Masyarakat, ramai menjangkakan City bakal mengharungi musim yang sukar selepas sedekad sarat trofi di bawah kendalian bekas pengurusnya, Pep Guardiola.

Namun, anak buah Maresca bangkit dengan empat kemenangan berturut-turut untuk kekal seiring Arsenal di puncak EPL, selain meraih kemenangan meyakinkan 2-0 di Porto pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara.

Prestasi awal City menunjukkan penyertaan pemain baharu memberi Maresca keupayaan mengekalkan tahap prestasi selepas pemergian Guardiola.

United pula menumpukan urusan perpindahan untuk memperkuat bahagian tengah menerusi penyertaan Youri Tielemans, Andrey Santos dan Carlos Baleba.

Namun, United gagal menandingi kekuatan kewangan City yang disokong Abu Dhabi dalam perebutan mendapatkan pemain antarabangsa England, Elliot Anderson.

Anderson dinobatkan pemain terbaik perlawanan, manakala Fernandez turut menyerlah selepas menyertai City dari Chelsea pada hari terakhir jendela perpindahan dengan nilai £125 juta ($214.1 juta), menyamai rekod perpindahan EPL.

“Kedua-duanya pemain bermutu tinggi,” tambah Maresca.

“Saya sudah beberapa kali berkata, tidak wajar menilai pemain berdasarkan jumlah yang dibayar kelab kerana nilai pasaran semakin meningkat.

“Namun, kedua-duanya masih muda, bakal menjadi pemain penting bagi masa depan kelab ini.”

Perebutan kejuaraan City dan Arsenal berlanjutan hingga minggu terakhir musim lalu. Mereka bakal kembali bersaing sengit musim ini.

Sementara itu, semakin jelas United belum mampu bersaing merebut kejuaraan.

Carrick diberikan jawatan tetap selepas prestasi kukuh pada separuh kedua musim lalu, bermula dengan kemenangan berkuasa 2-0 ke atas City di laman sendiri.

Selepas hanya empat perlawanan musim baharu, United sudah ketinggalan lapan mata daripada pendahulu.

“Kami belum meraih mata sebanyak yang diharapkan sejauh ini. Hakikat itu tidak dapat dinafikan,” kata Carrick.

“Kami perlu bangkit dan kembali mencatat kemenangan.” - Agensi berita