Liga Perdana Wanita (WPL) 2026 akan bermula pada 24 Januari dengan beberapa perubahan penting, termasuk jumlah hadiah yang lebih besar, pengenalan pasukan B WPL dalam Liga Nasional Wanita (WNL) sebagai liga peringkat kedua, serta kembalinya sistem promosi dan penyingkiran.
Walaupun juara liga sembilan pasukan itu masih mengekalkan hadiah $25,000, ganjaran untuk naib juara melonjak kepada $20,000 daripada $10,000, manakala tempat ketiga meraih $17,000, lebih sekali ganda berbanding $7,500 musim lalu, umum Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam kenyataan media pada 13 Januari.
Bagi mengukuhkan pembangunan pemain, kelab WPL akan dibenarkan menyenaraikan pasukan pembangunan B dalam divisyen kedua.
Pasukan ini tidak layak ke divisyen lebih tinggi, namun kelab dibenarkan menyenaraikan sehingga lima pemain pasukan B dalam skuad perlawanan mereka.
Musim WNL 2026, yang dijadualkan bermula pada 31 Januari, akan menampilkan 11 pasukan, termasuk skuad B daripada kelab WPL Still Aerion dan Lion City Sailors.
Menurut FAS, perubahan struktur dan peraturan ini direka untuk mengukuhkan persaingan, menyediakan laluan pembangunan pemain yang lebih jelas, serta menyokong persiapan pasukan kebangsaan bagi kejohanan penting sepanjang tahun.
Sistem promosi dan penyingkiran kali terakhir dilaksanakan pada 2019, sebelum pertandingan dibatalkan pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19.
Juara WNL 2026 akan dinaikkan secara automatik ke WPL, menggantikan pasukan WPL di tempat terakhir.
Pasukan kedua tercorot WPL pula akan menentang naib juara WNL dalam perlawanan play-off atau perlawanan penentuan, dengan pemenang memperoleh status WPL musim berikutnya.
Pertahanan Sailors, Tyan Foong, berkata perubahan ini mewujudkan persekitaran yang lebih sihat untuk pertumbuhan jangka panjang serta meningkatkan tahap persaingan dan taraf bola sepak wanita di Singapura.
Pemain berusia 16 tahun itu yakin pasukan B akan menyediakan lebih banyak minit permainan dan pendedahan perlawanan untuk bakat muda.
Sailors, juara 2022 hingga 2024, berhasrat merampas kembali kejuaraan daripada juara bertahan Albirex Jurong.
Musim WPL yang sebelum ini bermula pada bulan Mac kini diawalkan bagi mengelakkan pertindihan dengan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita pada 17 hingga 26 Julai, serta kelayakan Piala Asia AFC U17 pada 3 hingga 11 Oktober.
Perlawanan musim ini akan diadakan di Stadium Bukit Gombak dan Stadium Choa Chu Kang, yang menjadi gelanggang utama bagi kebanyakan aksi musim lalu.
Pemain tengah Geylang International, Nasriah Ibrahim, percaya masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan bola sepak wanita di Singapura.
Beliau berkata masih banyak yang perlu diperbaiki, termasuk keadaan padang, infrastruktur, dan sistem sokongan.
Beliau turut menggesa liputan media yang lebih luas untuk menarik minat generasi muda.
Pemilik Still Aerion, Simon Tan, menyambut baik kenaikan hadiah wang tunai, namun meluahkan kebimbangan mengenai isu perpindahan pemain dalam liga amatur yang tidak terikat kontrak.
Beliau mencadangkan agar diwujudkan sistem pampasan bagi memastikan keadilan antara kelab.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg