Apabila beliau berada di tempat duduk penonton di Stadium Choa Chu Kang pada 28 September lalu, penyerang Albirex Niigata, Manami Fukuzawa, berasa mual ketika menyaksikan perlawanan Liga Perdana Wanita (WPL) antara Still Aerion dengan Lion City Sailors.
Ia bukan sekadar perlawanan biasa. Manakan tidak, keputusan perlawanan itu bakal menentukan sama ada Albirex berjaya merangkul gelaran liga dengan baki satu perlawanan, atau terpaksa menunggu hingga pusingan terakhir musim 2025.
Sehari sebelumnya, Albirex sudah semakin hampir merangkul kejuaraan itu selepas menewaskan Balestier Khalsa 10-1, sekali gus menduduki tangga teratas dengan 42 mata – hasil daripada 14 kemenangan dalam 15 perlawanan liga yang disertai sembilan pasukan.
Sementara itu, Aerion, yang mengumpul 37 mata, perlu menewaskan juara bertahan tiga musim berturut-turut, Sailors, untuk mengekalkan harapan mereka menjelang perlawanan penentu menentang Albirex pada 5 Oktober, lapor The Straits Times (ST).
Namun keputusan dramatik seri 2-2 mengesahkan Albirex sebagai juara. Sejurus wisel penamat dibunyikan, ia mencetuskan sorakan kegembiraan dalam kalangan penyokong mereka.
“Saya rasa macam nak muntah. Apabila Aerion mendahului 2-0, saya sudah mula memikirkan tentang perlawanan minggu depan.
“Sejak pasukan ini ditubuhkan, jurulatih utama kami, Kana (Kitahara), selalu tekankan kepada semua pemain bahawa sasaran kami ialah menjadi juara.
“Maka, saya sangat gembira kerana akhirnya berjaya meraih kejuaraan ini,” kata Fukuzawa, 34 tahun, yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik WPL di Anugerah Liga Amatur Musim 2024, Februari lalu.
Selepas babak pertama tanpa jaringan, Aerion mendahului pada minit ke-60 menerusi Sunisa Srangthaisong, yang memanfaatkan kelalaian pertahanan Sailors, sebelum menendang tinggi bola melepasi pertahanan mereka.
Sepuluh minit kemudian, pemain penyerang, Jaruwan Chaiyarak, menambah gol kedua, meletakkan Aerion di kedudukan selesa.
Namun, kebangkitan Sailors memaksa Aerion menjaringkan gol sendiri pada minit ke-79, sebelum sepakan percuma Sarah Zu’risqha pada masa kecederaan menyamakan kedudukan.
Keputusan itu bermakna Aerion kini mengumpulkan 38 mata, manakala Sailors, yang mempunyai kurang satu perlawanan, dengan 32 mata.
Keputusan itu sekali gus meletakkan Albirex di puncak liga itu tanpa boleh dikejar, dan menamatkan dominasi Sailors yang menjuarai WPL tiga musim berturut-turut sebelum ini.
Jika Fukuzawa gelisah, penjaring terbanyak Albirex, Ruriko Takashima – yang telah meledak lebih 20 gol musim ini – pula tenang sepanjang perlawanan.
Bagi pemain tengah berusia 35 tahun itu, keputusan perlawanan tidak begitu penting kerana tumpuannya tetap pada aksi terakhir musim ini.
“Buat masa ini, saya masih belum boleh hadam berita ini. Rasa seperti kami belum jadi juara lagi.
“Kami masih mahu menang minggu depan. Selepas itu, barulah saya mungkin boleh benar-benar menerima hakikat bahawa kami juara,” katanya.
Jurulatih yang juga pemain, Kitahara, yang menyertai Albirex pada 2022, berasa lega kerana akhirnya berjaya menjulang trofi selepas dua musim hanya bergelar naib juara.
“Kami sudah menyasarkan kejuaraan sejak beberapa tahun lalu dan akhirnya berjaya mencapainya.
“Setiap tahun, tidak ada seorang pun pemain yang kekal (bersama pasukan) dari awal, pasukan sentiasa berubah.
“Tahun ini (2025) juga berlaku perubahan besar, tetapi semua bekerja keras, jadi saya sangat berterima kasih kepada pasukan musim ini,” kata anggota skuad Jepun yang menjadi naib juara Piala Dunia Wanita 2015 itu.
Walaupun membuka tirai musim dengan kekalahan 1-2 kepada Sailors, Albirex bangkit untuk mengekalkan rekod sempurna.
Takashima, yang baru menyertai musim ini, menyifatkan semangat berpasukan sebagai faktor utama kejayaan mereka.
“Saya baru sertai tahun ini, tetapi semua orang sangat mesra dan ramah. Saya cepat serasi dengan pasukan,” jelasnya.
Meskipun Albirex sudah merangkul gelaran, sambutan juara ditangguhkan kerana berbaki satu perlawanan.
Kitahara akur kehebatan Aerion, maka beliau sudah bersedia jika ia menjadi perlawanan penentu pada 5 Oktober.
“Nasib baik kami dapat pastikan kejuaraan lebih awal hari ini. Namun, kami tetap perlu sasarkan kemenangan dalam perlawanan seterusnya,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg