Topik diikuti
Pergi ke BHkuRodri bangkit daripada kecederaan, dinobat Pemain Terbaik Piala Dunia 2026
Rodri bangkit daripada kecederaan, dinobat Pemain Terbaik Piala Dunia 2026
Kejayaan diraih ketika beliau masih usaha kembali ke tahap terbaik kurang dua tahun selepas ligamen lutut putus
Rodri bangkit daripada kecederaan, dinobat Pemain Terbaik Piala Dunia 2026
NEW JERSEY: Tonggak utama di bahagian tengah Sepanyol, Rodrigo Hernández Cascante (Rodri), berharap generasi muda dapat mengambil iktibar daripada pengalamannya mengatasi dugaan, selepas menjulang Piala Dunia pada 19 Julai, yang melengkapkan koleksi kejuaraan utama bola sepak kurang dua tahun selepas ligamen lututnya putus.
Pemain berusia 30 tahun itu dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan, menyertai legenda pertahanan Jerman, Franz Beckenbauer; legenda penyerang Jerman, Gerd Müller; serta legenda pemain tengah Perancis, Zinedine Zidane, sebagai empat pemain lelaki yang pernah memenangi Piala Dunia, Kejohanan Eropah, Piala Eropah/Liga Juara-Juara, dan Ballon d’Or.
Pencapaian Rodri itu lebih mengagumkan kerana beliau bermain di Piala Dunia 2026 ketika beliau masih berusaha mendapatkan kembali prestasi terbaiknya, yang pernah membawanya meraih Ballon d’Or 2024, selepas membantu Sepanyol menjuarai Kejohanan Eropah dan memimpin kelabnya, Manchester City, mencatat rekod 74 perlawanan tanpa kalah setiap kali beliau diturunkan.
“Rasanya seperti jalan cerita yang sempurna.
“Saya sendiri tidak menjangkakannya,” katanya selepas menerima anugerah Pemain Terbaik Kejohanan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), yang turut dikenali sebagai Anugerah Bola Emas, sama seperti anugerah Ballon d’Or, yang diberikan majalah France Football.
“Saya berharap generasi muda melihat bahawa pemain yang pernah berada di puncak, kemudian terjerumus ke lembah paling sukar, masih mampu bangkit.
“Ini pengajaran tentang cara mengatasi dugaan.”
Walaupun Rodri pemain paling berpengaruh pasukan Sepanyol, La Furia Roja (nama gelaran bagi pasukan Sepanyol) tetap mengutamakan kekuatan berpasukan.
Beliau memuji ketabahan kental pasukannya menentang Argentina sebelum akhirnya menang 1-0 menerusi jaringan penyerang Sepanyol, Ferran Torres, pada babak kedua masa tambahan.
“Itulah rahsia pasukan kebangsaan kami.
“Kami tidak berhenti berjuang. Akhirnya, Tuhan mengurniakan ganjaran. Kami telah menunjukkan keberanian.
“Kami benar-benar berada di puncak kegembiraan,” katanya.
“Skuad ini luar biasa. Kami kini juara Piala Dunia dua kali.
“Ini kejohanan Piala Dunia paling sukar dalam sejarah. Kami menewaskan pasukan Argentina yang hebat, dibarisi penyerang Argentina, Lionel Messi, pemain terbaik dalam sejarah,” tambah Rodri.
Walaupun perlawanan terakhir berlangsung sengit, Rodri yakin Sepanyol layak mengulangi pencapaian mereka pada 2010 dengan menjulang trofi terunggul dalam bola sepak.
“Argentina ialah juara dunia.
“Mereka tidak banyak mencipta peluang menjaringkan gol, tetapi bertahan begitu baik sehingga sukar ditembusi.
“Pasukan Sepanyol sangat bermutu dan akhirnya keputusan ini adalah adil,” kata Rodri. – Agensi berita.
