Salah, Slot raih malam penuh kelegaan dalam musim bergolak Liverpool
Salah, Slot raih malam penuh kelegaan dalam musim bergolak Liverpool
Ketua jurulatih Arne Slot merasai sambutan mesra Liga Juara-Juara, manakala penyerang utama, Mohamed Salah, kembali disambut sorakan Anfield, stadium Liverpool, pada satu malam tenang yang jarang hadir buat pasukan itu musim ini.
Namun ketenangan itu berbeza dengan kenyataan pahit di pentas domestik.
Usaha mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England (EPL) Liverpool penuh kekalutan, meningkatkan tekanan ke atas Slot selepas kejayaan musim pertamanya.
Ledakan emosi Salah di Elland Road pada Disember 2025, apabila beliau mendakwa telah “dikorbankan” selepas diketepikan, hanya menambahkan lagi suasana bergolak di kelab itu.
Di tengah-tengah segala kesukaran itu, Liga Juara-Juara hadir sebagai kelegaan buat Liverpool.
Mampukah kejohanan itu menyelamatkan musim mereka dalam pemburuan kejuaraan ketujuh?
Walaupun bergelut dalam liga domestik, Liverpool kelihatan jauh lebih selesa di pentas Eropah.
Kemenangan 6-0 ke atas Qarabag pada 28 Januari memastikan tempat automatik ke pusingan 16 terakhir tanpa perlu melalui pusingan penentuan.
Sejarah menunjukkan Liverpool sering mendapat dorongan tambahan apabila beraksi di Anfield dalam fasa kalah mati.
Mungkin agak keterlaluan untuk menganggap pasukan ini calon juara berdasarkan prestasi semasa, namun Liverpool tetap berbahaya dalam format dua perlawanan.
Selepas musim yang bergolak, inilah malam yang sangat diperlukan oleh Slot dan Salah.
Ia merupakan perlawanan paling selesa mereka setakat ini.
Kemenangan tersebut tidak serta-merta mengalihkan perhatian daripada Slot ketika prestasi liga masih hambar, namun di pentas Eropah, Liverpool menikmati perlawanan yang paling selesa musim ini.
Qarabag tidak memberikan tentangan kuat, berbeza dengan pasukan EPL yang sering mengambil kesempatan terhadap kelemahan Liverpool.
Ia merupakan kemenangan terbesar Slot sebagai pengurus Liverpool dalam 91 perlawanan, serta kemenangan terbesar kelab itu sejak menewaskan Manchester United 7-0 pada Mac 2023.
Namun seperti kelaziman musim ini, kegembiraan itu tercalar apabila Jeremie Frimpong sekali lagi mengalami kecederaan otot selepas beraksi kurang dua minit.
Walaupun prestasi Qarabag begitu lemah, kemenangan tetap menjadi berita baik buat Slot, yang jelas mendapatkan yang terbaik daripada pasukannya di Eropah selepas kemenangan 3-0 di Marseille.
Ia juga malam bersejarah buat Salah apabila membuat penampilan ke-80 Liga Juara-Juara bersama Liverpool, menyamai rekod kelab Jamie Carragher.
Yang lebih penting, beliau mempamerkan sentuhan klasiknya untuk memastikan dirinya dikelilingi sorakan yang berbeza dan lebih memuaskan berbanding apa yang didengarnya sepanjang musim ini.
Salah tidak menjaringkan gol dalam lapan perlawanan bersama Liverpool sejak kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa di Anfield pada 1 November.
Kekecewaan sepanjang tempoh itu akhirnya memuncak dengan serangan terbukanya selepas tidak diturunkan dalam keputusan seri 3-3 menentang Leeds United.
Salah hadir dengan hanya lima gol daripada 22 penampilan musim ini, satu pulangan sederhana berbanding kerjaya gemilangnya bersama Liverpool.
Namun pada minit ke-50, selepas Liverpool mendahului 2-0, beliau akhirnya memperoleh detik yang dinantikan.
Pemain asal Mesir itu dijatuhkan di tepi kotak penalti dan menghukum Qarabag dengan menyambar sentuhan pantas Dominik Szoboszlai sebelum melepaskan sepakan percuma kaki kiri yang melencong melepasi penjaga gol, Mateusz Kochalski, ke penjuru atas gawang.
Beliau diraikan rakan sepasukan sebelum berdiri di hadapan Kop, bahagian penyokong paling lantang di Anfield, sambil memegang lencana di jersinya dengan senyuman lega.
Selepas wisel penamat, Salah kembali menghadap penyokong pada satu malam kegembiraan yang jarang hadir musim ini.
Ia menutup satu malam bermakna dalam musim penuh ketidakpastian buat Slot, Salah dan Liverpool, yang kini kembali mempunyai ruang harapan untuk berjaya di Eropah.

